Parlimen Turki beri kebenaran serang balas Syria
, |
(Parlimen Turki luluskan serangan jika perlu)
ANKARA: Parlimen Turki telah memberi kebenaran untuk menjalankan tindakan ketenteraan merentas sempadan terhadap Syria, jika dianggap perlu oleh kerajaan.
Mandat tersebut yang sah dalam tempoh satu tahun, telah diluluskan oleh 320 undi dari 550 kerusi parlimen Turki, lapor agensi berita Anatolia Khamis lalu.
Besir Atalay, Timbalan Perdana Menteri Turki, berkata kebenaran menggunakan tindakan ketenteraan di Syria bukanlah satu pengisytiharan perang tetapi bertujuan sebagai mempertahankan diri.
Undi itu dibuat setelah Turki membuat serangan ke atas pangkalan tentera Syria pada pagi Khamis sebagai tindakan balas terhadap serangan mortar Syria yang membunuh lima rakyat Turki - seorang wanita dan empat kanak-kanak dari keluarga yang sama - di sempadan tenggara Turki
"Syria mengakui apa yang telah mereka lakukan dan telah pun meminta maaf," ujar Atalay.
Media kerajaan Turki berkata serangan oleh unit artileri yang berpangkalan di bandar sempadan Akcakale masih berterusan.
Sementara itu, keganasan masih berterusan di Syria. Aktivis pembangkang melaporkan beberapa letupan besar di pinggir Damsyik.
Kumpulan pemantau yang berpangkalan di London melaporkan 63 kematian di seluruh negara pada Khamis lalu
Sumber Al Jazeera
Tiada ulasan:
Catat Ulasan