Kelantan menghampiri final
KEMENANGAN 1-0 Kelantan ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin mencerahkan peluang mereka untuk melangkah ke pentas akhir musim ini.
Pengurus The Red Warriors, Azman Ibrahim berkata, beliau belum mahu mendabik dada dengan keputusan tersebut, sebaliknya mahu pemainnya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan kedua di Shah Alam nanti.
"Keputusan ini belum selamat buat kita kerana perlawanan masih berbaki 90 minit untuk diharungi. Bagaimanapun, saya gembira kerana kita tidak melepaskan gol pada perlawanan ini.
"Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan Kelantan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini," katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, The Red Warriors yang beraksi di hadapan 25,000 penyokong setia terpaksa menunggu sehingga minit ke-62 untuk memperoleh jaringan tunggalnya menerusi Nor Farhan Mohamad.
Ketika ditanya mengenai ketua pasukannya, Mohd. Badri Radzi yang tidak diturunkan dalam perlawanan tersebut, Azman memberitahu pemain itu terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
"Insya-Allah Badri akan kembali beraksi dalam perlawanan kedua di Shah Alam nanti.
"Kehadirannya dijangka akan memantapkan lagi jentera tengah skuad Kelantan," tegasnya.
Sementara itu, penjaring gol kemenangan Kelantan dalam perlawanan itu Nor Farhan memberitahu, jaringan tersebut menjadi pembakar semangat buat pasukannya untuk mengharungi perlawanan kedua nanti.
"Bekalan satu gol menjadi pembakar untuk dibawa ke Shah Alam.
"Kami akan memberikan yang terbaik untuk memastikan laluan kita ke perlawanan akhir terjamin.
"Gol yang saya jaringkan malam ini (kelmarin) adalah hasil kerjasama rakan-rakan sepasukan yang banyak memberikan sokongan.
"Kejayaan ini menguatkan lagi semangat saya untuk menjulang Kelantan menjadi juara musim ini," katanya.
kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan