Haji Mabrur Bukan Marlboro
Ahmad Baei Jaafar
Saya masih terngiang-ngiang kata-kata pembimbing haji ketika
di Makkah tahun lalu, kalau tidak buat haji betul-betul yang dapatnya haji
marlbaro bukan haji mabrur. Dengarnya kelakar tetapi setelah berada di tanah
air sekarang, baru terasa benar kata-katanya.
Rupa-rupanya untuk dapatkan haji mabrur tidak semudah
tuturan lidah. Banyak halangan dan rintangan yang perlu ditempuh. Ada latihan
yang perlu dilalui dan ada ujian yang mesti diterima. Kalau semua itu dapat
dikecapi dengan sempurna, peluang mendapat haji mabrur itu agak cerah.
Sebenarnya cabaran yang getir bagi jemaah haji ialah semasa
berada di Mina untuk acara melontar tiga jamrah. Jemaah berasak-asak pada hari
ke 10 Zulhijjah ke jamrah aqabah untuk membolehkan mereka melepasi tahallul
awal. Waktu melontar disertakan doa:
عَنْ زَيْدٌ أَبُو
أُسَامَةَ قَالَ : " رَأَيْتُ
سَالِمَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَعْنِي ابْنَ عُمَرَ ، اسْتَبْطَنَ الْوَادِيَ ,
ثُمَّ رَمَى الْجَمْرَةَ بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ ، يُكَبِّرُ مَعَ كُلِّ حَصَاةٍ :
اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ حَجًّا مَبْرُورًا
وَذَنْبًا مَغْفُورًا وَعَمَلا مَشْكُورًا ، فَسَأَلْتُهُ عَمَّا صَنَعَ , فَقَالَ
: حَدَّثَنِي أَبِي ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ
يَرْمِي الْجَمْرَةَ فِي هَذَا الْمَكَانِ ، وَيَقُولُ كُلَّمَا رَمَى بِحَصَاةٍ
مِثْلَ مَا قُلْتُ " .
Zaid Abu Usamah berkata
aku melihat Salim bin Abdullah bin Umar memasuki Mina, kemudian dia melontar jamarat
sebanyak tujuh biji batu kerikel, dia bertakbir setiap kali melontar; Allahu
Akbar, Allahu Akbar, Allahumaj-‘alhuhajjan mabrura, wazamban maghfura wa amalan
masykuran. Maka aku bertanya tentang apa yang dilakukannya. Dia berkata bapaku
menceritakan bahawa Nabi SAW melontar jamarat di tempat ini, dan dia membaca setiap
kali melontar seperti yang aku baca.” (Riwayat al-Baihaqi)
Hari ke 11 hingga ke
13 mereka masih berkampung di Mini untuk melengkapkan wajib haji. Ketiga-tiga
jamarat; ula, wusta dan aqabah perlu dilontar setiap hari. Amalan yang sama
akan dilakukan setiap kali melontar jamrah. Doa yang sama perlu dibaca. Namun
siapa dalam kalangan jemaah haji yang dapat menghayati doa itu.
“Allah maha besar 2x,
ya Allah jadikan lontaran itu haji yang diterima sebagai baik dan jadikan juga
lontaran itu dosa yang diampunkan, dan jadikan juga lontaran itu sebagai amalan
yang disyukuri.” Demikian maksud doa yang jemaah patut membacanya. Cuma
persoalannya sewaktu membacanya apakah mereka faham.
Biasanya jemaah haji
diajar supaya berniat merejam syaitan waktu melontar jamrah itu. Tetapi berapa
banyak syaitan yang telah berjaya dilontar? Tidak salah kita niat begitu tetapi
kalau kita niat mencampak dosa kita tentu lebih baik dan relevan. Kalau dosa
kita berjaya dicampak ke dalam jamarat sudah tentu kebaikan dan pahala akan
bertambah. Inilah yang dijamin Rasulullah dalam hadis berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ , أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ
كَفَّارَةُ مَا بَيْنَهُمَا , وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلا
الْجَنَّةَ "
Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: “Umrah ke satu
Umarah menghapuskan dosa antara keduanya, dan Haji yang mabrur (baik) tiada baginya
balasan kecuali syurga.” (Riwayat
al-Hakim)
Saya percaya kalau
semua jemaah haji dapat merealisasikan amalan di Mina sudah cukup untuk mendidik
mereka menjadi orang yang baik di Tanah Haram dan di tanah air. Ini belum
dicampur dengan amalan dan ujian semasa di Arafah dan Muzdalifah dan Kaabah.
Ujian dan cabaran di tiga tempat masyair tersebut boleh menambah nilai haji
mereka di sisi Allah.
fikrahislamiah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan