Turki hantar jet ke sempadan Syria
|
ANKARA - Turki menghantar sebuah jet semalam selepas sebuah helikopter tentera Syria membedil bandar Azmarin dekat sempadan negara itu, kata seorang pegawai kepada agensi berita AFP.
"Jet itu berlepas dari pangkalan Diyarbakir di tenggara Turki selepas rejim Syria menghantar sebuah helikopter untuk membedil Azmarin yang ditawan kumpulan pemberontak," kata pegawai tersebut.
Hubungan antara kedua-dua buah negara sejak kebelakangan ini tegang ekoran kebangkitan penduduk Syria yang menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad.
Kebangkitan rakyat yang menentang Bashar itu dilakukan menerusi pertempuran dengan tentera Syria di kebanyakan tempat di negara tersebut.
Kelmarin, pihak berkuasa Turki menahan sebuah pesawat penumpang Syria yang dalam penerbangan dari Moscow ke Damsyik kerana disyaki membawa kargo berisi komponen senjata.
Kargo itu kemudian dirampas sebelum pesawat tersebut yang membawa 35 penumpang dibenarkan meneruskan penerbangan selepas ditahan di Lapangan Terbang Esenboga 28 kilometer ke timur laut Ankara.
Bagaimanapun, sebuah akhbar Rusia, Kommersant melaporkan bahawa pesawat itu membawa radar dan bukannya senjata.
Menurut akhbar itu, pesawat tersebut membawa 12 kotak yang mengandungi radar untuk digunakan dalam sistem pertahanan peluru berpandu Syria.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, kumpulan pemberontak membunuh 14 askar Syria dalam satu serangan di sebuah pos tentera di wilayah Daraa semalam.
Enam anggota pemberontak turut terbunuh dalam serangan itu.
Kematian itu berlaku sehari selepas 92 askar Syria terbunuh yang merupakan angka kematian anggota tentera paling ramai dicatatkan sejak kebangkitan rakyat negara tersebut berlaku pada Mac tahun lalu.
Lebih 30,000 orang dilaporkan terbunuh sejak konflik di negara Syria itu berlaku. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan