TAUFAN SANDY - BENCANA ALAM MENERJAH AMERIKA SYARIKAT
RAMAI TERKORBAN
Pertembungan dua lagi aliran cuaca yang bertukar menjadi taufan
hampir menenggelamkan kotaraya New York dan Sandy adalah taufan yang
paling digeruni dalam sejarah Amerika Syarikat.
Sandy yang mulai membadai telah menyebabkan sebahagian besar kawasan
rendah di Manhattan dilanda banjir sehingga menyebabkan bandaraya itu
terputus bekalan elektrik.
Kira-kira 400,000 rumah terputus bekalan elektrik di kesemua lima
kawasan pilihan raya bandaran iaitu dari selatan Pulau Manhattan
sehingga ke kawasan 39th Street.
Seorang rakyat Malaysia yang menetap di sebuah kompleks apartmen di
38th Street, yang terletak di tengah pulau itu dan bersebelahan dengan
East River, memaklumkan air hujan memasuki kediamannya sekitar pukul 2
petang, Isnin, akibat hujan lebat dan tiupan angin yang sangat kuat.
"Air hujan masuk melalui celah-celah tingkap rumah, walaupun tingkap
sudah ditutup, angin yang sangat kuat menyebabkan tingkap rumah saya
bergegar dengan itu kunci terbuka dengan sendirinya," katanya yang hanya
mahu dikenali sebagai Dilla ketika dihubungi Bernama lewat malam Isnin.
Beliau, yang menetap di tingkat 25 kompleks apartmen setinggi 54
tingkat dengan 840 unit itu, berkata air hujan juga membolosi
kediamannya menerusi penyaman udara sehingga membasahi bilik dan ruang
tamu rumahnya.
Beliau yang tinggal seorang diri dan baru berpindah ke kota raya itu
setelah dihantar bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan di sini turut
terputus bekalan elektrik.
"Selepas tidak ada elektrik, saya kunci rumah dan turun ke tingkat
11, menumpang rumah rakan sekerja, yang turut tinggal di kompleks yang
sama," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan