Selasa, 30 Oktober 2012

PM: Petronas Carigali temui medan minyak baru

 

Selasa 30-10-2012 




Post Pic
 
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Petronas Carigali Sdn Bhd dan Lundin Oil menemui rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307.
 
Beliau berkata medan minyak yang terletak kira-kira 160km di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.
 
"Penemuan ini sangat penting memandangkan kita belum pernah menemui minyak komersil dalam kuantiti yang tinggi di Lembangan Penyu, dan ia merupakan kejayaan besar.
 
"Bergantung kepada keputusan kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komersil, pengeluaran minyak dijangka akan dicapai pada suku ketiga tahun 2014 dengan sasaran pengeluaran berjumlah antara 17,500 dan 20,000 tong sehari," kata Najibpada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Bioteknologi (ICM) di pejabat Perdana Menteri nya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
 
Dengan penambahan rizab ini, medan minyak Bertam kini dianggarkan mengandungi jumlah isi padu asal keseluruhan 64 juta tong.
 
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata negeri Pahang dijangka menerima wang ehsan sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.
 
Beliau berkata penemuan ini membuktikan kewujudan minyak dan gas di kawasan selatan Malay Basin ke arah Lembangan Penyu.
 
"Oleh itu, medan minyak tersebut adalah terletak di kawasan pelantar benua iaitu melepas tiga batu, dan terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.
 
"Ini dasar kita untuk mengagihkan kekayaan minyak dengan lima peratus pembayaran tunai kepada Pahang," katanya.
 
Petronas Carigali, anak syarikat Petronas dan Lundin Oil merupakan usaha sama minyak dan gas atau Kontrak Perkongsian Pengeluaran.
 
Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Eksplorasi dan Pengeluaran, Pengurusan Petroleum Petronas Nasional Bhd, Ramlan A Malek berkata kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komersial dijangka siap pada suku kedua tahun depan.
 
Kerja-kerja cari gali akan dilaksanakan oleh operator blok, Lundin Oil, katanya. 
antarapos

Tiada ulasan:

Catat Ulasan