Ratu hadiri mesyuarat Kabinet
Rabu 19 Dis.2012
LONDON - Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II (gambar) menghadiri satu mesyuarat Kabinet di sini sempena sambutan jubli intan pertabalan baginda semalam.
Kehadiran baginda merupakan lawatan pertama yang dilakukan oleh seorang kerabat diraja Britain sejak lebih 100 tahun dahulu.
Ratu itu yang berusia 86 tahun itu tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri David Cameron, 10 Downing Street untuk mesyuarat para menteri kanan Kabinet.
Istana Buckingham menyatakan, Ratu Elizabeth II akan menerima cenderamata jubli intan daripada Kabinet sempena 60 tahun baginda berada di atas takhta dan turut hadir sebagai pemerhati pada mesyuarat itu.
Berdasarkan sejarah, Ratu Victoria yang meninggal dunia pada 1901 pernah menghadiri mesyuarat Kebinet.
Mesyuarat Kabinet pada kebiasaannya berlangsung sekitar sejam setengah tetapi baginda akan menyertainya selama 30 minit sebelum beredar bersama Setiausaha Luar, William Hague untuk melawat Pejabat Kementerian Luar.
Pada mesyuarat kabinet berkenaan, Ratu Elizabeth II duduk di tengah meja mesyuarat bersama Cameron di sebelah kanan dan Hague di sebelah kiri baginda.
Meja yang berbentuk seperti sebuah bot itu diperkenalkan oleh Harold Macmillan, Perdana Menteri yang berkhidmat dari tahun 1957 hingga 1963 supaya beliau dapat melihat semua menterinya.
Ratu Elizabeth II pernah beberapa kali berkunjung di Pejabat Perdana Menteri Britain dengan kunjungan terakhir dibuat pada Julai lalu untuk menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan Cameron dan turut dihadiri oleh bekas perdana menteri, Gordon Brown, Tony Blair dan John Major.
Seramai 12 perdana menteri berkhidmat di bawah pemerintahan ratu itu.
Ratu Elizabeth II akan menerima kunjungan mingguan oleh Perdana Menteri Britain.
Baginda berhak dan bertanggungjawab menyatakan pandangannya dalam hal ehwal kerajaan.
Tiada orang lain hadir pada pertemuan dengan perdana menteri tersebut, tiada catatan minit pertemuan manakala isi pertemuan mereka tidak pernah dibincangkan. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan