Isnin, 17 Disember 2012

Foto hiasan

Berkenalan dengan Al-Quran

16 Dec 2012

Menyorot kisah-kisah Al-Quran boleh menjadi mukadimah kepada usaha membina keakraban dengannya
MANFAAT TEKNOLOGI
"Dengan kemudahan telefon bijak serta aplikasi (apps) yang pelbagai berkaitan dengan Al-Quran, kita hanya satu klik daripada dapat menatap dan membaca Al-Quran.
Di sinilah teknologi telah mempermudahkan untuk kita dapat membaca Al-Quran setiap kali kita mempunyai kelapangan. Tidak kiralah walaupun hanya satu ayat sehari, pastikan mata, hati dan jiwa kita disentuh oleh Al-Quran setiap hari."
- Penulis.
RAMAI daripada kita kini mempunyai hubungan yang amat akrab dengan Facebook.
Kita menelusuri akaun Facebook berkali-kali setiap hari. Bahkan adakalanya ia merupakan antara perkara yang terakhir kita lakukan sebelum kita tidur dan mungkin juga perkara pertama yang kita lakukan ketika terjaga daripada tidur.
Adakalanya kita tidak perasan berapa lama waktu telah berlalu ketika kita asyik membelek halaman Facebook teman-teman.
Bagaimanakah dapat kita bina hubungan sedemikian juga dengan Al-Quran?
Ia merupakan satu kitab yang telah merubah kaum yang dahulunya penagih arak, penindas dan bahkan penanam bayi perempuan yang baru lahir kepada satu generasi yang menegakkan keadilan, mempertahankan yang lemah, berhati lembut dan berjiwa tawaduk serta tunduk kepada Tuhan sekalian alam.
Jika Al-Quran telah membawa damai kepada hati-hati mereka serta membebaskan mereka daripada belenggu kemahuan nafsu semata ketika itu maka ia juga pasti boleh memberikan kesan yang sama kepada kita.
Al-Quran yang telah merubah mereka adalah Al-Quran yang sama berada di dalam milik kita kini.
Potensi besar Al-Quran ini tidak akan dapat kita manfaatkan sepenuhnya jika kita tidak memulakan langkah pertama berkenalan dengannya.
Di sini ingin kami kongsikan beberapa tip mudah sebagai langkah permulaan berkenalan dengan Al-Quran:
1. Mulakan pengenalan melalui kisah-kisah yang terdapat di dalam Al-Quran.
Terlalu sering antara yang menghambat kita daripada mengenali Al-Quran adalah kerana ia kelihatan terlalu ganjil. Bukan sahaja kerana bahasanya yang mungkin tidak kita fahami bahkan penyusunannya yang belum kita hargai juga menyumbang kepada pandangan sedemikian.
Ini sekali gus menjadikan kita teragak-agak menghargai nilai Al-Quran sebenar yang tersurat di sebalik lembaran kertasnya.
Sebagai permulaan, untuk dapat menghargai hikmah dan pengajaran yang amat banyak di dalam Al-Quran, kita boleh dapatkan buku-buku karangan ulama yang telah menghimpunkan kisah-kisah para Nabi mahupun kisah-kisah lain yang terkandung di dalam Al-Quran.
Melalui kitab-kitab himpunan seperti yang dikarang oleh Imam Ibnu Kathir, kita akan dapat membaca kisah-kisah Al-Quran yang banyak bertaburan di merata Al-Quran.
Melalui kitab-kitab himpunan ini juga, kita akan dapati Al-Quran menjelma ke dalam kehidupan.
Ternyata Al-Quran menyajikan pelbagai genre kisah perjuangan, kasih sayang, pengorbanan dan lain-lain lagi.
Dengan mendekati Al-Quran melalui cara ini juga, informasi yang dahulunya kelihatan rumit akan menjadi mudah untuk kita fahami melalui penulisan dan penjelasan ulama kita.
Dengan demikian, kita tidak lagi melihat Al-Quran hanya sebagai kitab usang yang rumit dibaca.
Bahkan musim cuti ini merupakan satu masa yang baik untuk mendedahkan anak kita kepada kisah para Nabi serta banyak lagi cerita menarik di dalam Al-Quran.
Sebagaimana kita mungkin terbiasa membacakan mereka kisah-kisah dongeng tentang puteri mahupun kesatria sakti, kita juga boleh sebagai alternatif membacakan mereka kisah perjuangan dan riwayat hidup para Nabi di dalam Al-Quran sebelum tidur.
Diharapkan dengan pendedahan demikian anak-anak kita bukan sahaja mengenali para Nabi dengan lebih mesra, bahkan menjadikan para Nabi sebagai super hero mereka.
Dengan demikian mereka juga dapat menghargai Al-Quran sebagai kitab panduan yang relevan untuk sekeluarga.
2. Mengenal Al-Quran melalui tema-temanya
Selain daripada mengenal Al-Quran melalui kisah-kisahnya, para ulama kontemporari juga telah berusaha mempermudahkan proses penghargaan Al-Quran melalui pendekatan menghimpun tema-tema Al-Quran yang pelbagai.
Sarjana seperti Professor Quraish Shihab di dalam bukunya Wawasan Al-Quran telah mengambil pendekatan ini di mana beliau membincangkan intipati Al-Quran melalui tema-tema umum seperti keluarga, wanita, ekonomi, kerohanian, akhlak etika dan sebagainya.
Pendekatan ini memudahkan kita untuk dapat mengenal sepintas lalu pelbagai tema Al-Quran yang relevan dan dapat kita gunakan sebagai panduan hidup harian kita.
Jadi, apabila kita ingin mencari panduan berkenaan isu keluarga yang mungkin sedang kita hadapi sebagai contoh, kitab ini membantu kita untuk langsung merujuk kepada tema keluarga. Diharapkan ini membantu kita untuk menghayati firman Allah swt di dalam surah Al-Isra ayat 82: "Dan kami turunkan Al-Quran sebagai penawar dan rahmah bagi yang beriman".
3. Al-Quran sebagai kitab dialog yang berbicara dengan kita.
Perlu kita semaikan di dalam diri kita kesedaran dan penghargaan bahawa Al-Quran ini bukanlah kitab satu hala yang merupakan hanya suruhan dan aturan hukum.
Bahkan ia sebenarnya kitab dialog yang mana Allah swt banyak mengajak kita untuk berfikir dengan dalam akan kewujudan kuasa Allah swt, sebagai contoh di dalam Surah Al-Mulk ayat 3-4, Allah swt mengajak kita mengarahkan pandangan ke langit dan awan dan cuba mencari jika ada cacat atau cela pada bentuk rekaan awan dan langit?
Allah kemudian mengulang undangannya untuk kita melihat dua dan tiga kali nescaya kita tidak mampu menunjukkan kekurangan pada ciptaan langit dan ini menunjukkan bahawa adanya Tuhan yang menciptanya yang Maha Bijaksana dan Perkasa sehinggakan tidak ada akal manusia yang dapat mencela ciptaan-Nya.
Ini benar kerana dalam pelajaran geografi sebagai contoh, manusia mengkaji bentuk-bentuk awan, tetapi tidak mampu mengkritik dan menunjukkan kekurangan pada bentuk ciptaannya.
Terdapat di dalam Al-Quran banyak lagi ayat sedemikian yang mengajak manusia berfikir dan melontarkan persoalan yang pelbagai seolah-olah mengajak manusia untuk berbicara dengan Allah swt mencari jawapannya.
Jika kita dapat merasakan kemuliaan dan kebanggaan yang amat sangat jika seorang Ketua Negara mengajak kita untuk berdialog bersamanya, maka tentunya lebih dalam lagi penghargaan dan keseronokan apabila Allah swt Tuhan sekalian alam mengajak kita untuk berbicara dengan-Nya.
4. Membina hubungan yang berterusan dengan Al-Quran
Dengan kemudahan telefon bijak serta aplikasi (apps) yang pelbagai berkaitan dengan Al-Quran, kita hanya satu klik daripada dapat menatap dan membaca Al-Quran.
Di sinilah teknologi telah mempermudahkan untuk kita dapat membaca Al-Quran setiap kali kita mempunyai kelapangan.
Untuk membina hubungan yang mesra, akrab dan bermanfaat, kita perlu memastikan bahawa setiap hari kita mengkhususkan sedikit masa untuk Al-Quran.
Tidak kiralah walaupun hanya satu ayat sehari, pastikan mata, hati dan jiwa kita disentuh oleh Al-Quran setiap hari.
Dengan aplikasi ini juga kita dapat menarik perhatian anak-anak kita dan memaparkan kepada mereka bahawa Al-Quran adalah kitab yang segar dan relevan serta sesuai dengan kehidupan serba canggih mereka.
NOTA: Penulis ialah Ketua Pejabat Mufti, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan