Selasa, 25 Disember 2012

5 Keistimewaan solat

 

 Rabu 26 Dis.2012
TERDAPAT banyak keistimewaan yang hanya ada pada solat dan tidak pada ibadah-ibadah lain.
Lihat sahaja bagaimana Allah swt mewajibkan solat. Ia difardukan Allah secara langsung kepada Rasulullah saw di langit iaitu pada peristiwa Israk dan Mikraj.
Ada beberapa sebab utama kenapa solat penting sehingga kita perlu melakukannya lima kali sehari dalam apa jua keadaan.
EBerinteraksi dengan Allah
Solat membentuk hubungan antara hamba dengan Tuhannya dan melahirkan pengabdian dengan menyerah segala urusan kepada-Nya, memohon kedamaian dan keselamatan daripada-Nya.
Pergerakan solat - qiam (berdiri), rukuk, iktidal dan sujud - dilakukan dengan tujuan mengagungkan Allah. Betapa tidak. Allah melimpahkan kurniaan dan nikmat kepada kita dalam pelbagai bentuk - kesihatan tubuh, zuriat, rumah tangga, ibu bapa serta keluarga.
Rasulullah saw juga mengajarkan kepada kita pelbagai pujian dan doa dalam solat.
Inilah yang dimaksudkan sebagai peluang berinteraksi dengan Allah - menyembah, memuji dan membesarkan Allah - dan berakhir dengan ucapan salam.
Maka itu, rugi andainya kita tidak mengambil peluang mengadap Allah dengan memperbanyak doa baik berupa permintaan, permohonan bagi menjauhkan daripada segala bahaya godaan syaitan dan pengampunan-Nya.
EGandakan pahala, hapus dosa
Solat bukan sahaja menjadi penyumbang kepada ganjaran yang berlipat ganda, malah mampu menghapuskan dosa-dosa lalu.
Rasulullah pernah mengumpamakan orang yang mendirikan solat fardu lima waktu seperti seorang yang mandi lima kali sehari, yakni Allah membersihkan dosa sesiapa yang mengerjakan solat.
Kita dapat mendekatkan diri kepada Allah dalam solat dengan mengucapkan tasbih, tahmid dan takbir.
Solat jemaah bersama keluarga pula membentuk budaya ibadah mengukuh ikatan keluarga.
EMembentuk Mukmin kuat dan sihat
Selain menjalankan kewajipan, solat membantu menyegarkan tubuh dengan bangkit pada awal pagi dan bersemangat menghadapi tugas harian.
Rasulullah mengajarkan bahawa berdiri dalam solat harus tegap dan lurus, bukan lemah dan malas. Ia juga harus dilakukan dengan keadaan tenang dan tidak kelam-kabut. Rasulullah pernah menyuruh seorang Arab Badwi mengulangi solatnya kerana ia tidak dilakukan dengan teliti dan sempurna.
Maknanya, pergerakan solat merupakan satu bentuk riadah harian tersusun yang mampu memberi kerehatan jiwa dan jasmani.
Menurut satu kajian sekumpulan penyelidik Universiti Malaya, kumpulan peserta yang dirikan solat lima kali sehari mempunyai nilai komposisi badan yang lebih sihat berbanding kumpulan yang meninggalkan solat, selain dapat meningkatkan tahap ketahanan badan serta menghindarkan risiko penyakit jantung, stres, kolesterol dan lain-lain.
EMemantapkan rohani
Solat khusyuk juga dapat melahirkan kekuatan rohani yang amat berguna dalam mengharungi hidup.
Al-Zahabi menyatakan dalam kitab Al-Tib: "Ibadah solat sentiasa menghasilkan kegembiraan dan kepuasan. Ia dapat mengurangkan kebimbangan dan mengawal perasaan marah. Ia dapat meningkatkan rasa cinta kepada kebenaran dan rendah diri terhadap manusia, melembutkan hati, membentuk kasih sayang dan sifat memaafkan serta membenci dan sifat balas dendam… Seseorang boleh menemui cara-cara menyelesaikan masalah-masalah duniawi dan rohani dan memeriksa diri terutama jika menghayati solatnya. Waktu terbaik ialah selepas tengah malam semasa kebanyakan orang sedang tidur dan dalam keadaan sunyi sepi."
Dengan itu, solat menjadi institusi pendidikan akhlak yang amali dan berdisiplin yang dapat mengasuh sifat-sifat benar, amanah serta mencegah perbuatan keji dan mungkar.
EMemberi keupayaan mental dan kekuatan dalaman yang tinggi
Solat juga dapat mengukuhkan moral dan mental seorang Mukmin kerana ia menanamkan kesedaran adanya pengawasan Ilahi, memelihara aturan-Nya, menjaga disiplin waktu, gentar akan ancaman dan seksaan-Nya dan mengatasi sifat malas dalam memperturut hawa nafsu dan sifat lemah yang lain.
Menurut rencana jurnal bertajuk Penyakit Gelisah (Anxiety/al-Halu) dalam masyarakat Islam dan penyelesaiannya menurut Psiko-Spiritual Islam oleh Profesor Madya Dr Che Zarrina Sa'ari, antara contoh sifat kelemahan manusia yang berkaitan dengan mental ialah penyakit gelisah. Ia boleh diubati dengan solat.
Kesimpulannya, solat adalah antara cara merawati kegelisahan.
Ibadah solat merangkumi pelbagai aspek zikrullah seperti doa, tasbih, takbir dan tahmid mendidik jiwa manusia ke arah kebaikan dan menjauhkan jiwa daripada kejahatan selaras dengan kehendak Islam; mendidik jiwa supaya mencintai Allah dan Rasul-Nya sehingga membuat jiwa tenang, sentiasa mengingati Allah dan takutkan kebesaran-Nya.
Profesor Madya Dr Che Zarrina Sa'ari berkata solat memberi peluang kita berinteraksi secara peribadi dengan Tuhan, meluahkan segala perasaan dalam hati melalui doa, menepati kaedah kaunseling kerana mencurahkan perasaan yang menghantui diri pada orang kedua akan membantu meringankan bebanan yang dihadapi.
Solat khusyuk dapat memperkuatkan jiwa, mengangkat diri daripada keinginan nafsu terhadap kebesaran, harta dan kekuasaan.
Malah menurut kajian, seseorang yang memahami bacaan semasa solat dengan baik mempunyai komposisi badan yang lebih sihat dan pemikiran yang lebih tenang.
Kesimpulannya, ibadah solat khusyuk mempunyai pelbagai kelebihan serta kekuatan mental serta ketenangan jiwa seterusnya dapat merawat segala kekusutan yang menghantui jiwa seperti penyakit gelisah dan sebagainya.
cyberita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan