Selasa, 4 Disember 2012

KEMALANGAN NGERI: Kegagalan fungsi pada salah satu kaki bicu jentera perkapalan berkaki tiga menyebabkan seluruh kawasan pelantar tersebut condong ke satu arah. Kejadian tersebut berlaku di Jurong Shipyard pagi semalam.
- Foto AFP

90 pekerja cedera dalam nahas di pelantar kapal di Jurong Shipyard

SEKITAR 90 pekerja dikejarkan ke hospital akibat kemalangan di kawasan pelantar perkapalan syarikat Jurong Shipyard pagi semalam.
Sedang seorang dilaporkan kritikal, 22 yang lain parah dan dan selebihnya mengalami cedera ringan.
Menurut siasatan awal Kementerian Tenaga Manusia (MOM), kemalangan tersebut berlaku ekoran kegagalan fungsi pada salah satu kaki bicu jentera perkapalan berkaki tiga, yang kemudiannya membuat seluruh kawasan pelantar tersebut condong ke satu arah.
Pekerja-pekerja yang cedera telah dihantar ke empat hospital, termasuk Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital Alexandra.
MOM dalam kenyataannya berkata kemalangan berlaku di tapak kerja Jurong Shipyard Pte Ltd di Tanjong Kling Road.
Para pegawai Badan Pemeriksa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHI) segera bertindak dan kini berada di tapak kejadian untuk menyiasat kemalangan tersebut.
Semua kerja dalam kawasan yang terjejas dengan kemalangan tersebut telah dihentikan.
Jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pada mulanya mereka tidak menerima panggilan meminta bantuan dari 29, Tanjong Kling Road, itu.
Namun, SCDF menerima maklumat daripada sumber-sumber bahawa terdapat kenaikan mendadak dalam jumlah pesakit yang dihantar ke beberapa hospital.
Mangsa-mangsa tersebut dilaporkan datang daripada sebuah kawasan perindustrian di alamat tersebut.
Lantas, SCDF bertindak dengan mengerah para pegawai dari Balai Bomba Jurong untuk menyiasatnya pada 12.48 petang.
Ketika pegawai SCDF sampai, mereka diberitahu tentang beberapa mangsa yang mengalami kecederaan di sebuah kawasan dermaga pelabuhan perkapalan di Tanjong Kling Road.
"Mangsa-mangsa telah dihantar ke hospital sebelum SCDF tiba. Tiada bantuan lain diperlukan," ujar jurucakap SCDF.
Jurucakap Jurong Port pula berkata peristiwa itu langsung tiada kaitan dengan syarikatnya.
Polis pula berkata mereka menerima panggilan pada 12.39 petang.
Mereka menyifatkan kes tersebut sebagai "kemalangan perindustrian yang melibatkan sebuah bicu jentera perkapalan yang gagal berfungsi".
cyberita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan