Perkahwinan yang berkat bawa ke syurga
Selasa 18 Dis.2012
Semua orang yang berkahwin mengharapkan keberkatan. Maka atas
sebab itu mereka memilih masjid untuk dijadikan tempat akad nikah. Harapan
mereka dengan berkat masjid perkahwinan mereka juga berkata. Tetapi apakah
perkahwinan mereka berkat selepas itu? Ya, dalam pemerhatian saya sungguhpun
mereka berkahwin di masjid, kehidupan mereka tetap tidak berkat juga. Kenapa
mereka tidak beroleh berkat?
Menyentuh isu itu, kali akan memberi tumpuan kepada maksud berkat
di sisi Allah. Di segi bahasa, berkat bermaksud bertambah atau subur atau
beruntung. Maknanya kalau berkat itu dikaitkan dengan perkahwinan maka jadilah
perkahwinan yang bertambah, yang subur atau yang beruntung.
Berdasarkan makna itu, barangkali ramai perempuan yang
berfikiran negatif lebih rela untuk tidak mendapat berkat itu. Mereka tidak
mahu berkat itu kerana dia tidak mahu suaminya menambahkan isteri lain. Yalah, bukankah
berkat bermakna bertambah. Tetapi bagi mereka yang berfikiran positif
difahamkan maksud itu sebagai bertambah rezeki, bertambah kebaikan dan kasih
sayang. Inilah yang seharuskan difikirkan dalam rumah tangga.
Oleh sebab itu persoalan berkat, hanya individu sahaja yang
boleh menilai. Malah mereka sendiri yang perlu pilih sama ada mahu berkat atau
tidak. Kalau pada awal perkahwinan sudah baik, dan dengan bertambah usia
perkahwinan bertambah pula kebaikannya. Itulah nilai keberkatannya. Tetapi
kalau berlaku sebaliknya, semakin lama berkahwin semakin rasa benci kepada pasangannya,
barangkali perkahwinan itu tidak berkat.
Bagaimana Perkahwinan Berkat
Semuanya bermula daripada majlis akad nikah, malah kesan
daripada majlis itu boleh menjadikan perkahwinan itu berkat atau tidak. Soal majlis
itu buat di mana, di rumah atau masjid tidak penting dan tiada isu pun. Tetapi
yang benyak memberi kesan ialah bagaimana majlis itu diadakan. Boleh jadi
majlis yang dibuat di dalam masjid, namun acara di dalamnya terdapat
kemungkaran. Jadi, keberkatannya akan hilang. Sebaliknya, kalau majlis itu
dilakukan di rumah dengan atur cara yang penuh adab sopan seperti yang
dianjurkan Islam, maka di dalamnya ada keberkatan.
Sebenarnya semasa majlis akad nikah perlu dijaga beberapa
perkara termasuk:
- 1. Kedua-dua pasangan itu hendaklah mengambil wuduk seperti dia hendak bersolat. Maklumlah berkahwin juga termasuk dalam kategori ibadah. Dalam hal ini saya dapati pengantin lelaki ada yang mengambil wuduk, tetapi kebanyakkan pengantin perempuan tidak berwuduk. Kononnya, mekap sudah tebal, tidak boleh ambil wuduk lagi, nanti rosaklah solehkan itu.
- 2. Kalau mereka membuat majlis itu di dalam masjid, masuklah ke dalam masjid dengan hormat; iaitu lakukan solat sunat tahiyat masjid dua rakaat. Malah semua rombongan pengantin patut melakukan perkara yang sama. Perkara ini juga dilihat gagal dilaksanakan oleh pengantin perempuan. Agaknya sudah hendak pakai kain telekong. Kenapa susah? Bukankah pakaian yang dipakai itu sudah menutup aurat, solatlah dengan baju pengantin itu.
- 3. Sekali lagi kalau mereka membuatnya di dalam masjid, niatlah iktikaf dalam masjid dan menjaga adab masjid dengan tidak berbual perkara yang lagha. Banyakkan isytighfar memohon keampunan atas dosa yang pernah dilakukan sebelum ini.
- 4. Ambil perhatian ketika khutbah dibacakan, faham mesej yang disampaikan semoga dapat dihayati bersama dalam rumah tangga nanti.
- 5. Orang ramai yang hadir perlu doakan untuk pengantin kebaikan dan kebahagian mereka hingga ke dalam syurga.
- 6. Pengantin setelah selesai akad nikah bolehlah melakukan sujud syukur jika dilakukan bukan selepas solat asar.
Sebenarnya enam perkara ini bukan susah hendak dilakukan
jika mereka mahu. Apatah lagi kalau mereka mahukan keberkataan daripada perkawinan
mereka, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Setelah selesai majlis akad nikah binalah kehidupan rumah
tangga mengikut kacamata Islam. Sudah pasti sebagai suami ada beberapa hak dan
tanggungjawab yang mesti dipikul. Suami semestinya menjadi pemimpin yang
sentiasa membawa isterinya kepada syurga Allah. Begitu juga isteri ada hak dan
tanggungjawab yang mesti diberi perhatian. Dia wajib taat kepada suami selain
memberi kegembiraan kepada suaminya.
Percayalah jika suami dan isteri dapat mematuhi hak dan
tanggungjawab dengan sempurna, tidak syak lagi mereka akan dikurniakan
keberkatan hidup. Dan tanda keberkatan hidup, mereka boleh hidup dalam ketenangan
dan bahagia. Oleh sebab itu, jika dalam sesebuah rumah tangga itu wujud rasa
seperti tidak sempurna dan sentiasa keluh kesah, eloklah dilihat semula
kehidupan mereka. Boleh jadi terdapat
beberapa amalan mereka yang bercanggah dengan Islam. Boleh jadi
keberkatannya sudah tiada.
Seterusnya jika mereka sudah dikurniakan anak, perlulah
diberi perhatian kepada kaedah mendidik anak yang betul. Didikan harus
dimulakan dengan menunjukkan contoh terbaik sebagai seorang Islam. Antara yang
utama ialah, apabila anak itu mencapai umur tujuh tahun suruhlah dia solat. Ini
juga perlu ditunjukkan contoh. Dan apabila anak itu secara tiba-tiba malas pada
usia 10 tahun, ibu bapa dibenarkan memukul sehingga dia mahu bersolat.
Didikan seterusnya perlu disusuli kemudian setelah solat itu
dapat dilakukan dengan sempurna. Jika semua itu dapat dilaksanakan di situlah
keberkatan sebenar. Cuma persoalan sekarang, berapa ramai umat Islam yang
mengambil berat soal solat? Kadang-kadang mereka sendiri cuai dengan solat.
Kalau begitu, mampukah mereka mendidik anak mereka supaya bersolat. Inilah
antara sebab mengapa kebanyakan keluarga Islam tidak mendapat keberkatan.
Kekalkan keberkatan
Berdasarkan kenyataan di atas, sekurang-kurangnya terdapat
tiga fasa yang perlu dilalui; fasa majlis akad nikah, fasa pasca akad nikah,
dan fasa mendapat anak. Saya percaya semua pasangan yang berkahwin melalui fasa
itu, cuma tidak dapat dipastikan apakah mereka mengikut panduan itu atau tidak.
Hari ini kita lihat ikatan keluarga Islam agak rapuh
berbanding keluarga Islam sebelumnya. Rumah tangga yang baru dibina juga kecoh
– tidak sefahaman. Padahal mereka sudah lama bercinta. Keluarga yang sudah anak
ramai juga berakhir dengan perceraian. Malah keluarga yang sudah melepasi
separuh abad juga boleh bergaduh. Boleh jadi panduan di atas tidak dipraktikkan
dalam kehidupannya.
Di sini mungkin ada yang mempersoalkan, keluarga yang boleh
bertahan sehingga separuh abad itu membuktikan sudah ada keberkatan, tetapi
mengapa mereka boleh bergaduh pula. Adakah keberkatan itu boleh hilang semula
setelah diperoleh?
Sememangnya keberkatan itu boleh hilang kalau tidak dijaga
dengan baik. Oleh sebab itu setiap fasa yang dibentangkan di atas perlu dibawa
bersama sepanjang hayat. Walaupun dia gagal pada fasa pertama atas
kejahilannya, bertaubat atas kesilapan pada fasa pertama, semoga keberkatan
akan datang kembali.
Selepas melepasi fasa pertama mereka sepatutnya membina
hubungan keluarga dengan baik, mematuhi hak dan tanggungjawab masing-masing. Bahkan
kerukunan rumah tangga akan bertambah baik dengan adanya anak. Cuma di sini
kadang-kadang hak dan tanggungjawab itu akan sedikit terabai apabila sudah ada
anak. Dan akan berkurang lagi setelah ada dua orang anak. Apabila keadaan ini
terjadi maka keberkatan akan hilang juga.
Pengabaian hak dan tanggungjawab inilah yang menjadi punca
keretakan hubungan suami isteri. Bayangkan kalau isteri lebih memberi perhatian
kepada anak dan mengabaikan suami, kebahagiaan akan musnah. Keadaan ini juga
boleh berlaku apabila isteri sudah putus haid. Lazimnya suami ketika itu langsung
diabaikan keperluannya.
Hindar Dosa
Sebenarnya hilang keberkatan ini ada kaitan dengan dosa yang
dilakukan pasangan atau salah satu daripada keduanya. Dosa yang dilakukan
sering tidak dianggap lalu dilakukan tanpa rasa bersalah. Antara dosa tersebut
ialah, suami berurusan dengan perempuan pada kadar melampaui batas. Isteri
melayan lelaki lain tanpa rasa malu. Dosa ini belum dicampur dengan dosa
mendera isteri atau suami dan sebagainya.
Tidak dinafikan semua orang tidak boleh elak daripada
melakukan dosa, tetapi sebagai umat Islam kita diajar bertaubat kerana Allah Maha
Pengampun. Maka Allah sangat suka kepada hambanya yang setiap kali melakukan
dosa segera meminta ampun. Tetapi oleh sebab mereka tidak merasa itu satu dosa
maka mereka tidak bertaubat.
Sebaiknya suami dan isteri bermuhasabah dengan dosa dan
pahala mereka setiap hari. Maka sebelum tidur mohon kemaafan kepada pasangan
dan bertaubatlah segera. Inilah ruang dan peluang yang seharusnya diambil
bahagian untuk bertaubat. Ingatlah dosa walaupun kecil boleh menghilangkan
keberkataan itu.
Untuk menambahkan keberkatan elok juga dikoreksi diri
tentang hak dan tanggungjawab sama ada telah dilasanakan atau tidak. Ketika itu
suami dan isteri bolehlah secara rendah hati memohon kemaafan. Walaupun
masing-masing sudah melaksanakannya, tentu tidak salah kalau mereka sanggup
mengaku berdosa.
Selain itu mereka juga perlu tingkatkan kerja-kerja
kebajikan. Sebenarnya dalam rumah tangga yang dibina itu banyak kebajikan yang
boleh diusahakan. Kebajikan yang dimaksudkan tidak semestinya melibatkan
kewangan. Malah membuat baik kepada pasangan dan anak-anak termasuk dalam
kebajikan juga.
Tetapi kalau mereka ada kewangan yang mencukupi, bolehlah
sesekali memberi sumbangan kepada masjid, dan tempat yang memerlukan kewangan. Hal
ini kerana sumbangan itu boleh membantu keberkatan kewangan yang mereka peroleh
setaip bulan.
Percayalah keberkatan yang diharapkan oleh pasangan suami
isteri, boleh terhasil dengan usaha yang gigih tanpa jemu. Allah akan kurniakan
keberkatan itu sepanjang masa melalui kehidupan yang harmoni. Jika semua ini
dapat dikekalkan sehingga ke akhir hayat tidak syak lagi mereka amat berpeluang
untuk ke syurga.fikrahislamiah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan