Misi amar makruf nahi mungkar gaya Rasulullah SAW
Selasa 18 Dis.2012
Bencilah kemungkaran, tetapi jangan membenci pelakunya.Jika itu dapat dilakukan, insya Allah, dakwah dan tarbiah akan lebih berkesan.Kalau pelaku kemungkaran juga di benci maka itu bererti kita menyuburkan dan menyemai benih kebencian namanya.Namun, bukan mudah untuk mempraktikkannya.Hanya insan yang mempunyai hati yang benar benar bersih sahaja mampu melakukanya.Inilah rahsia kejayaan dalam misi amar makruf nahi mungkar.Justeru, sebesar mana sekalipun kemungkaran, jangan dilupakan doa dan harapan agar pelakunya mendapat hidayah Allah.
Dengan hati yang begitulah Rasulullah SAW menghadapi penentangan penduduk Taif.Walaupun diejek dan dilontar dengan batu,namun Rasulullah tetap mengharapkan kebaikan.Ketika malaikat menawarkan diri untuk menurunkan azab kepada penduduk Taif, Rasulullah menolaknya.Ia sebagai bukti tiada kebencian di hati Baginda walaupun hati dan fizikalnya sendiri disakiti.
Untuk dirinya yang diuji, Baginda berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, kepada Mu aku mengadu kelemahan ku, kekurangan daya upaya ku dan kehinaan ku pada pandangan manusia.Ya arham al Rahimin,Engkau lah Tuhan orang yang ditindas dan Engkaulah Tuhanku.Kepada siapakah akan Engkau serahkan diriki ini? Kepada orang asing yang akan menyerang aku atau kepada musuh yang menguasai ku? Sekiranya Engkau tidak murka kepada ku, maka aku tidak peduli…”
Untuk umatnya yang disayangi pula, Baginda berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, ampunilah kaum ku.Sesungguhnya, mereka tidak mengetahui.” Lihatlah, Baginda tidak marah, malah bersabda yang bermaksud: “Bahkan aku mengharapkan agar Allah mengeluarkan dari salbi mereka orang yang menyembah Allah dengan keesaan Nya, tidak menyekutukan Nya dengan sesuatu.”
Ketahuilah, doa tidak mungkin tercetus dalam hati yang dipenuhi dengan kebencian.
Ketika Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s diperintahkan menemui Firaun, tidak ada rasa benci dalam hati mereka kepada Firaun secara peribadi.Justeru, kedua duanya telah diperingatkan Allah agar berkata dengannya secara lemah lembut dan tetap mengharapkan kebaikan buat Firaun.Allah berfirman yang bermaksud: “Berbicaralah kepadanya dengan kata kata yang lemah lembut.Mudah mudahan dia akan takut dan ingat (kepada Allah dan insaf).” (Surah Taha 20:44).
Sewajarnya, semakin benci kita kepada kemungkaran, maka semakin meningkat rasa kasih dan kasihan kita kepada pelakunya.Kemungkaran itu umpama api yang sedang membakar pelakunya.Ayuh, selamatkan mereka dengan kasih sayang. Sesungguhnya, tidak sempurna iman kepada Allah tanpa kasih sayang sesama manusia!
(Sumber: Solusi Keluaran No 44 Tahun 2012)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan