Isnin, 6 Ogos 2012

Misi kayuhan emas

 Selasa 7 Ogos,2012

MOHD. AZIZULHASNI AWANG giat meneruskan latihan di Velodrom Olimpik di London semalam.


LONDON – Selepas Malaysia dikecewakan dengan kegagalan jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei yang tewas kepada musuh tradisinya dari China, Lin Dan pada perseorangan akhir acara itu kelmarin, kini tanggungjawab membawa pulang emas sulung negara dalam temasya Olimpik digalas oleh Mohd. Azizulhasni Awang.
Pelumba basikal negara itu bakal turun membawa cabaran Malaysia menerusi acara keirin yang juga acara kegemarannya di Velodrom Olimpik hari ini.
Jika memenangi emas, Azizulhasni, 24, bakal menerima ganjaran RM2 juta iaitu wang tunai RM1 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) berjumlah RM1 juta dan serta RM1 juta lagi yang disumbangkan oleh sebuah syarikat perabot, 3V Holdings Sdn. Bhd.
Bagaimanapun, atlet selain acara badminton tidak akan mendapat jongkong emas bernilai RM2 juta yang ditawarkan oleh Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC).
Anak kelahiran Terengganu yang lebih terkenal dengan jolokan The Pocketrocketman itu sememangnya dihormati lawan dengan kelebihannya membuat pecutan sebelum garisan penamat.
Sewaktu menyertai temasya Olimpik di Beijing pada tahun 2008, Azizulhasni yang pada waktu itu menjadi pembawa bendera perarakan kontinjen Malaysia sekadar memperoleh tempat kelapan dalam acara pecut dan ke-10 dalam keirin.
“Saya lebih bersedia untuk Olimpik kali ini. Di Beijing, saya hanya berusia 19 tahun, sekarang saya sudah ada lebih banyak pengalaman,” katanya.
kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan