Khamis, 16 Ogos 2012

Warga kota mula balik raya

Jumaat 17 Ogos,2012

KESESAKAN di Plaza Tol Jalan Duta menghala ke utara pada tengah hari semalam tatkala warga ibu kota mula pulang untuk berhari raya di kampung.


KUALA LUMPUR - Jumlah kenderaan di lebuh raya utama semakin meningkat ketika orang ramai mula bergerak meninggalkan ibu kota untuk pulang ke kampung meraikan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada Ahad ini.
Aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang dilaporkan lancar tengah hari semalam mulai sesak menjelang petang.
Berdasarkan maklumat twitter PlusTrafik, pergerakan trafik perlahan di Plaza Tol Rawang menuju ke utara, begitu juga dengan laluan sebelum memasuki tol Jalan Duta menuju ke Bukit Lanjan dan dari Kilometer 10.9 arah utara Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menuju ke Damansara.
Aliran trafik juga dilaporkan perlahan di laluan masuk Plaza Tol Juru menuju ke Seberang Perai serta pergerakan ke selatan yang dilaporkan sesak dari arah Machap ke Ayer Hitam, Johor.
Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus memberitahu, laluan masuk ke tol dari pusat bandar juga bergerak perlahan namun terkawal.
Sementara itu, menurut laman twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sehingga 12 tengah hari semalam, trafik bergerak lancar di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan LPT termasuk di sekitar Plaza Tol Gombak, Bentong dan Karak.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kenderaan keluar dari ibu negara bertambah menjelang malam.
PLUS sebelum ini memperkenalkan jadual perjalanan dengan membahagikan kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor ganjil dan genap bagi memisahkan kumpulan pengguna lebuh raya dari utara dan selatan.
Pengguna lebuh raya dari utara dan selatan yang akan kembali ke ibu kota pada 1 hingga 4 September dinasihatkan memasuki lebuh raya setiap jam genap sebelum 12 tengah hari iaitu 8 pagi dan 10 pagi bagi kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor genap.
Bagi kenderaan bernombor pendaftaran berakhir dengan nombor ganjil disarankan menggunakan lebuh raya pada setiap jam ganjil sebelum 12 tengah hari iaitu pada 9 pagi dan 11 pagi.
Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor yang melakukan tinjauan trafik dengan helikopter berkata, purata 1.7 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya PLUS setiap hari menjelang hari raya berbanding 1.2 juta pada hari biasa.
"Bagi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, purata trafik harian ialah 32,843 kenderaan pada hari biasa dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 130,000 kenderaan menjelang Aidilfitri," katanya.
Sumber:kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan