Jet hipersonik AS gagal ujian
Jumaat 17 Ogos,2012
LOS ANGELES - Sebuah jet hipersonik tanpa juruterbang yang direka untuk terbang enam kali ganda melebihi kelajuan bunyi berkecai di Lautan Pasifik beberapa saat selepas melakukan penerbangan ujian ekoran masalah pada ekor pesawat, kata Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Menurut kenyataan tentera AS, masalah pada ekor pesawat X-51A atau Waverider itu dikenal pasti dalam penerbangan ujian pada Selasa lalu.
Masalah teknikal itu berlaku 16 saat selepas roket penggalak melepaskan jet kawalan jauh itu daripada sayap pesawat pengebom B-52.
"Selepas 15 saat apabila X-51A terpisah daripada roket penggalak tersebut, jet tersebut hilang kawalan akibat masalah pada ekornya," kata kenyataan tersebut.
Secara keseluruhan, penerbangan ujian tersebut berlangsung selama 31 saat sekali gus gagal mencapai matlamat tentera AS untuk X-51A berada di udara selama lima minit.
"Pesawat itu berkecai serta-merta dan jatuh ke dalam Lautan Pasifik dekat Mugu Point di barat daya bandar raya Los Angeles," kata seorang jurucakap Pangkalan Tentera Udara Wright-Patterson di Ohio, Daryl Mayer.
Menurutnya, jet X-51A itu direka untuk mencapai kelajuan Mach 6 atau 7,350.06 kilometer sejam.
Pada kelajuan tersebut, perjalanan dari Paris ke New York di AS sejauh 5,837 kilometer cuma mengambil masa sekitar 46 minit.
- Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan