Sudahkah kita merebut peluang ini?
Isnin 13 Ogos,2012
Ahmad Baei Jaafar
Kita selalu diberitahu oleh tok-tok guru tentang tawaran khusus pada bulan Ramadan berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a:
عَنْ أبي هريرة، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَوَّلُ شَهْرِ رَمَضَانَ رَحْمَةٌ، وَوَسَطُهُ مَغْفِرَةٌ، وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ " ابن عساكر
Maksudnya: Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Awal bulan Ramadan rahmah, pertengahannya maghfirah (pengampunan) dan akhirnya pembebasan daripada api neraka.” Riwayat Ibnu Asakir)
Persoalannya, siapa yang sudah mendapat rahmat Allah pada fasa pertama Ramadan? Rahmat Allah ialah kasih sayang Allah, tentu semua orang memperolehnya. Buktinya, kita boleh mengecap nikmat Allah dengan mudah. Kita masih bertenaga untuk beribadah. Kalau kita masih berdosa dengan Allah, masih dilihat oleh Allah. Tetapi siapa yang mensyukurinya?
Apabila masuk fasa kedua, Allah sediakan peluang keampunan. Tetapi adakah kita mengambil peluang untuk meminta ampun atas dosa-dosa kita? Kebanyakan manusia membiarkan masa itu tanpa meminta ampun, malah terus melakukan dosa. Mereka seharusnya bertaubat dalam tempoh itu kerana Allah bersedia menerima taubat hambanya. Alangkah ruginya manusia ini.
Dalam hal ini bukan sahaja orang politik tidak berhenti buat dosa; mengumpat, menyebar fitnah, orang ramai juga turut diheret ke kancah itu tanpa sedar. Apakah mereka mengharapkan Allah ampun dosa mereka sedangkan mereka tidak pernah memohon ampun dan bertaubat?
Sebenarnya kalau mereka sedar bahawa mereka berdosa, pasti mereka berhenti daripada tabiat itu, sebaliknya mereka sentiasa ingat Allah, ingat hukuman Allah, ingat kebaikan Allah sudah cukup untuk Allah memaafkan mereka. Demikian itu disokong oleh hadis berikut.
Umar r.a. meriwayatkan daripada Nabi Muhammad SAW bahawa dalam bulan Ramadan sesiapa yang mengingati Allah SWT akan diampunkan dosanya dan sesiapa yang meminta sesuatu daripada Allah SWT tidak akan dihampakan.
Kini sudah masuk fasa ketiga, pembebasan daripada api neraka. Maknanya Allah tawarkan peluang dibebaskan daripada api neraka. Siapa yang mengambil peluang ini? Ramai yang sudah mengosongkan surau dan masjid, ramai yang masih lalai daripada melakukan ibadah. Bolehkah dalam keadaan itu mereka beroleh pembebasan api neraka.
Sebenarnya dalam fasa ini, kita perlu banyak berdoa agar kita dibebaskan daripada api neraka. Tapi tahukah anda ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka berdasarkan hadis berikut.
Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW telah bersabda. "Tiga orang yang tidak ditolak doa-doa mereka. Seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka, seorang imam (pemerintah) yang adil dan doa seorang yang dizalimi. Allah SWT akan mengangkatnya ke atas awan dan dibuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah SWT akan berfirman, "Demi kemuliaan-Ku, pasti Aku akan menolong kamu walaupun selepas beberapa ketika (demi sesuatu muslihat)."
Menyentuh bulan puasa, sepatutnya kita berdoa pada siang hari sewaktu berpuasa. Sepatutnya kita kurang bercakap sia-sia sebaliknya peluang itu dipenuhi dengan berdoa. Kalau mereka tidak mahu berdoa bermakna mereka tidak minat pengampunan Allah dan tidak minat diselamatkan daripada neraka. Nauzubillah.
Oleh yang demikian beberapa hari yang berbaki ini marilah kita banyak berdoa agar kita selamat daripada api neraka. Dan kesempatan ini juga saya mengucapkan selamat menyambut hari raya Idulfitri, maaf zahir dan batin, Kullu amin wa antum bikhair.
Sumber:fikrah Islamiah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan