Tentera Bashar bedil timur Damsyik
|
DAMSYIK - Tentera Syria membedil timur bandar raya ini semalam selepas sebuah pertubuhan hak asasi manusia menyatakan seramai 60 orang terbunuh di wilayah Damsyik pada hari sebelumnya.Pertubuhan berkenaan, Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia memberitahu, angka kematian itu menyusul selepas 190 orang iaitu 116 penduduk awam, 40 pemberontak dan 34 askar terbunuh di seluruh negara tersebut.
Pertubuhan pemerhati yang berpangkalan di Britain itu turut melaporkan beberapa daerah di timur bandar raya ini termasuk Zamalka, Qaboon, Jubar dan Ein Tarma dibedil bertubi-tubi oleh tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Serangan tersebut dilakukan bagi menghapuskan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Kelmarin pemberontak FSA mendakwa mereka menembak jatuh sebuah helikopter tentera semasa pertempuran sengit berlaku di Qaboon dan Jubar serta beberapa bandar lain di pinggir ibu kota Syria, dekat sini.
Tentera Bashar kemudian melakukan serangan balas di timur bandar raya ini dan beberapa kubu kuat pemberontak di kawasan sekitarnya.
Beberapa helikopter tentera Syria turut menjatuhkan beribu-ribu risalah di sini dan kawasan sekitarnya semalam untuk mengugut anggota-anggota (FSA) supaya menyerah diri atau berdepan dengan kematian.
Tindakan tersebut adalah sebahagian strategi tentera Bashar untuk menawan kawasan-kawasan di pinggir bandar raya ini yang jatuh ke tangan pemberontak.
Risalah itu juga merupakan perang saraf terhadap pemberontak. Namun beberapa penganalisis sangsi tindakan itu akan membuahkan hasil.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa kumpulan hak asasi manusia menyatakan, lebih 20,000 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan rakyat menentang Bashar bermula pada Mac 2011.
Penentangan itu berlaku ekoran rakyat negara itu mahukan perubahan dalam sistem pemerintahan negara termasuk kebebasan demokrasi.
Sementara itu, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) semalam menyatakan, bilangan pelarian Syria yang tiba di utara Jordan meningkat dua kali ganda sejak seminggu lalu.
Menurut UNHCR, seramai 10,200 pelarian Syria tiba ke kem Za'atri di Jordan sepanjang tempoh tersebut.
"Kami percaya ini merupakan permulaan kebanjiran pelarian Syria secara besar-besaran di Jordan," kata ketua jurucakap UNHCR, Melissa Fleming pada satu sidang media di Geneva.
Menurutnya, setakat ini terdapat hampir 70,000 pelarian Syria yang didaftarkan di Jordan dengan ribuan lagi tidak mendaftarkan diri untuk mendapatkan bantuan UNHCR. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan