Erti Kemenangan Sebenar Di Idulfitri
Selasa 28 Ogos,2012Ahmad Baei Jaafar
Dalam sesuatu perjuangan hanya terdapat dua natijahnya iaitu menang atau kalah atau dalam bahasa yang lebih murni gagal. Kita baharu sahaja selesai berjuang dalam bulan Ramadan namun secara rasminya keputusannya tidak dikeluarkan. Tetapi rata-ratanya kita mahukan kemenangan dalam perjuangan ini.
Persoalan di sini, apakah yang kita perjuangkan dalam Ramadan? Di sini saya cuba senaraikan seperti berikut:
- Berjuang menahan nafsu makan dan minum
- Berjuang mengawal nafsu seks
- Berjuang menahan nafsu mata
- Berjuang menahan nafsu telinga
- Berjuang menahan nafsu lidah
- Berjuang menambahkan pahala ibadah
- Berjuang menambahkan pahala sedekah
- Berjuang mencantikkan akhlak
Berdasarkan senarai itu, mana satu yang anda rasa benar-benar berjaya dalam Ramadan kali ini? Mungkin rata-rata mengakui telah berjaya dalam menahan nafsu makan dan minum juga seks. Itupun setelah bertungkuslumus berlawan dengan nafsu lapar. Jenuh jugalah berjuang mengawal nafsu seks, yalah tengok isteri mungkin boleh kontral, tetapi bagaimana kalau melihat gadis seksi di luar rumah? Namun tidak ada yang terbabas.
Tetapi perjuangan lain yang lagi enam itu bagaimana? Rasanya ramai yang gagal menahan nafsu mata, lidah, telinga apatah lagi ibadah dan sedekah. Ramai yang terbeliak mata melihat aurat wanita terutama ketika di pasar Ramadan. Manakala perempuan pula rambang mata melihat makanan, pakaian dan sebagainya ketika membeli belah. Begitu juga dengan nafsu telinga dan lidah, tidak boleh dikawal terutama ketika bertemu sahabat handai. Padahal Rasulullah sudah mengajar kita supaya berkata, “maaf aku berpuasa” – sebanyak tiga kali.
Kalau di sudut ibadah ternyata ramai yang tewas, minggu pertama Ramadan ramai yang pergi ke masjid dan surau. Tetapi selepas itu semakin berkurangan apatah lagi pada malam fasa ke 10 terakhir. Penyakit malas sudah menyerang. Mengenai sedekah pula, ramai lagi yang berkira-kira untuk menghulurkan sumbangan. Kalau begitulah kedudukannya apalah erti kemenangan kepada umat Islam yang berpuasa ini?
Kalau kita hanya menang 2/7 tentulah tidak berbaloi. Oleh sebab itulah barangkali ibadah puasa yang kita lakukan tidak membuahkan akhlak yang mulia. Akhlak mereka tidak bertambah cantik walaupun kita telah menempuh puasa setiap tahun.
Kalau begitu siapa yang boleh menang dalam perjuangan ini? Tidak syak lagi mereka yang berjaya dalam perjuangan ini hanyalah orang yang bertaqwa. Tetapi bagaimana kita boleh mengenali orang yang bertaqwa? Ya, taqwa bermaksud orang yang boleh mengawal jiwa dan raga dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah.
Itulah natijah sebenar daripada ibadah puasa ini. Mereka menjadi orang yang taat kepada Allah dalam semua perkara, mencontohi Rasulullah dalam melaksanakan ibadah dan boleh berakhlak dengan munusia dalam semua keadaan. Adakah anda termasuk dalam kategori orang yang bertaqwa ini?
Melihat keadaan itu tentu ramai yang gagal dalam perjuangan ini. Namun sebagai umat Islam kita tidak seharusnya kecewa kerana Allah tidak pernah mahu menzalimi hambanya. Buktinya Allah tidak isytiharkan siapa pemenang dan siapa yang gagal. Dan yang kedua Allah masih memberi peluang kepada mereka untuk menutup kekurangan sekali gus membaik pulih mana yang belum sempurna.
Tindakan yang harus dilakukan bagi mengatasi kegagalan itu ialah dengan melakukan perkara berikut:
- Bayar zakat fitrah
- Banyakkan takbir
- Banyakkan sedekah kepada anak-anak
- Doakan sahabat handai, kawan taulan agar mereka berjaya dan seterusnya ucap tahniah atas kejayaan itu.
- Memohon kemaafan dan saling berkasih sayang.
Semoga dengan cara ini semua umat Islam boleh dikategorikan sebagai berjaya dalam perjauangan ini. Hendaknya setiap tahun anda berada dalam kebaikan.
Sumber fikrah Islamiah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan