Khamis, 22 November 2012

Penduduk Gaza gembira

Jumaat 23 Nov.2012


PARA pejuang Hamas berarak bagi meraikan gencatan senjata dengan Israel di kem pelarian Jebaliya, utara Genting Gaza semalam.



BANDAR GAZA, Palestin - Presiden Palestin, Mahmud Abbas menghubungi Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh semalam bagi mengucapkan tahniah di atas 'kemenangan' menentang Israel.
"Dalam satu perbualan telefon, Abbas mengucap tahniah kepada Haniyeh di atas kemenangan Hamas dan takziah buat mereka yang mati syahid," kata satu kenyataan pejabat Haniyeh.
Agensi berita rasmi Palestin, Wafa melaporkan, Abbas menerima panggilan telefon daripada Haniyeh bagi memaklumkan mengenai situasi di Gaza selepas persetujuan gencatan senjata dicapai pada Rabu lalu
"Presiden 'tabik' di atas kesabaran penduduk Palestin ketika menghadapi serangan dan menekankan kepentingan gencatan senjata," lapor Wafa.
Pergerakan Hamas menguasai Gaza manakala Abbas daripada pergerakan Fatah menguasai pentadbiran Tebing Barat di Palestin.
Sementara itu, jalan-jalan raya di Gaza yang lengang ekoran serangan udara dan laut tentera Israel sebelum ini kembali dipenuhi dengan kereta dan orang ramai selepas gencatan senjata tersebut dipersetujui kedua-dua pihak.
Penduduk juga bersorak kegembiraan kerana sempadan Gaza yang ditutup Israel dibuka semula ekoran persetujuan gencatan tersebut.
Para pemimpin Hamas turut mengisytiharkan kemenangan ke atas Israel semalam.
Ribuan penyokong pergerakan itu mengibarkan bendera pada satu perhimpunan pada hari pertama gencatan senjata.
Serangan Israel berlaku selama lapan hari bagi membalas serangan roket para pejuang Palestin.
Haniyeh yang berucap menerusi televisyen meminta para pejuang menghormati gencatan senjata itu.
Gencatan senjata itu diusahakan oleh Presiden Mesir, Mohamed Morsi.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengucapkan terima kasih kepada Morsi kerana peranannya melakukan rundingan gencatan senjata itu.
"Presiden mengucapkan terima kasih kepada Morsi kerana usaha-usahanya untuk mencapai satu gencatan senjata dan disebabkan kepimpinannya dalam rundingan (gencatan senjata)," kata satu kenyataan White House.


HANIYEH (kiri) melambaikan tangan ke arah penduduk pada perhimpunan meraikan gencatan senjata di Bandar Gaza.


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan beliau menerima cadangan AS supaya memberi peluang terhadap gencatan senjata tersebut dilaksanakan.
Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak menyatakan, Israel telah mencapai semua matlamat ketenteraan semasa serangan selama lapan hari itu.
Beliau juga mengarahkan pihak tentera memantau gencatan tersebut.
Gencatan senjata itu meminta Israel menghentikan semua aktiviti ketenteraan di daratan, laut dan udara termasuk melakukan serangan terhadap individu Palestin.
Serangan roket para pejuang Hamas juga akan dihentikan ekoran gencatan itu.
Israel juga akan membenarkan pergerakan penduduk Palestin dan barang melalui sempadan Gaza berdasarkan persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak.
Semasa serangan itu, tentera Israel menyatakan lebih 1,500 sasaran di Gaza telah diserang.
Para pejuang Palestin melancarkan 1,354 serangan roket ke wilayah Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan Hamas, seramai 163 penduduk Palestin mati dan 1,235 lagi cedera.
Seramai lima penduduk Israel terbunuh dan 280 lagi cedera.
Sementara itu, Ketua Hamas, Khaled Meshaal menyatakan Israel gagal dalam serangan tersebut.
"Selepas lapan hari, Tuhan menjauhkan tangan mereka daripada penduduk Gaza.
"Semua matlamat Israel menemui kegagalan," katanya. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan