Hezbollah beri amaran kepada Israel
Isnin 26 Nov.2012
|
BEIRUT - Pemimpin Hezbollah di Lebanon, Sayyed Hassan Nasrallah semalam memberi amaran kepada rejim Zionis bahawa ribuan buah roket akan menghujani Tel Aviv dan beberapa bandar Israel jika tentera Yahudi menyerang Lebanon.
Beliau membuat kenyataan itu pada ucapan sempena Hari Asyura yang disambut pengikut fahaman Syiah di sini.
Hari itu disambut bagi memperingati kematian cucu Nabi Muhammad SAW, Hussein dan anggota keluarga baginda sekali gus menyebabkan perpecahan antara Sunni dan Syiah.
Kenyataan tersebut dibuat selepas pergerakan Hamas dan Israel menghentikan serangan pada Rabu lalu selepas rejim Zionis melancarkan serangan di Gaza selama lapan hari.
"Israel telah digegarkan dengan lima serangan roket sepanjang lapan hari konflik itu sebelum ini.
"Bagaimana pula rejim Yahudi itu hendak menghalang ribuan serangan roket yang akan jatuh ke Tel Aviv dan bandar-bandarnya jika ia menyerang Lebanon? soalnya.
Menurutnya, dalam konflik terbaharu di Gaza, seramai 166 penduduk Palestin terbunuh dan enam warga Israel maut sekali gus menunjukkan kejayaan hebat terhadap penentangan terhadap Israel.
Hezbollah telah menghantar sebuah pesawat pengintip ke ruang udara Israel pada bulan lepas.
Penghantaran itu mewujudkan ketegangan di wilayah tersebut selepas Israel mengancam untuk mengebom lokasi nuklear milik Iran. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan