Sabtu, 10 November 2012

Benteng Terakhir dan Kejatuhan Andalusia
Ahad 11 Nov.2012

"
Cordova yang masyhur di dalam Bahasa Arab sebagai al-Qurtubah merupakan bandar terakhir di bawah penguasaan Islam sebelum Andalusia jatuh sepenuhnya ke atas tangan golongan Kristian. Kedaifan dalam mempertahan pemerintahan Islam di Andalusia amat menyedihkan.

Ia berlaku pada zaman pemerintahan terakhir Islam di bawah Bani al-Ahmar yang menguasai wilayah terakhir Andalusia iaitu Granada dari tahun 620 – 897H. Penyerahan wilayah terakhir ini terpaksa dilakukan demi menyelamat maruah pemerintah Islam di bawah pimpinan Abu Abdullah daripada diguling dengan lebih teruk.


Penyerahan dalam bentuk perjanjian yang ditandantangani oleh pihak Islam dan Kristian itu dilakukan dan penyerahannya kepada Raja Kristian Sepanyol iaitu Ferdinand dan Isabella. Perjanjian yang dikatakan mempunyai 67 perkara itu antara lain menjamin keselamatan orang Islam untuk tinggal di Sepanyol dan juga jaminan keselamatan sekiranya mereka ingin keluar dari Sepanyol menuju ke daerah lain, terutama untuk kembali ke daerah Afrika Utara. Namun perjanjian yang tidak pernah ditunaikan oleh pihak Kristian itu nampaknya menjadi senjata yang menikam umat Islam terus menerus sehingga mereka tidak lagi mampu bertahan apatah lagi untuk merampas kembali Andalusia ini. Kesan-kesan peninggalan umat Islam, ketamadunan yang dibina dan seumpamanya telah banyak dimusnahkan.

Penulis ketika menjejaki kaki ke Andalusia seketika dahulu melihat sendiri bagaimana kota yang dibina oleh pemerintahan Islam kelihatan dihancurkan dan hampir tidak ditemui oleh para sejarawan dan ahli arkeologi. Dalam kes ini, lebih jelas jika dilihat bagaimana kota Madinah al- Zahra ditemui dalam keadaan yang sangat menyedihkan dengan runtuhan kota itu seolah tidak dapat untuk diselamatkan. Walaupun kota ini dikhabarkan musnah akibat pergolakan dan peperangan saudara pada tahun 1010M, namun ia keunggulan kota ini terus malap apabila Andalusia jatuh ke tangan bukan Islam.

Ketika Bani Ahmar memerintah Andalusia, wilayah pemerintahan mereka sudah menguncup, tidak lagi sepertimana pada zaman kegemilangan pemerintahan Abdul Rahman III. Secara khusus, pemerintahan mereka hanya melibatkan wilayah Granada sahaja yang menjadi daerah terletaknya istana yang masyhur iaitu istana Al-Hamra’ atau dalam bahasa Sepanyol hari ini lebih dikenali sebagai al-Hambra.

Oleh kerana berlaku perselisihan keluarga dalam hal mewarisi kepimpinan, akhirnya telah menyebabkan pergolakan anak-beranak berlaku dan seterusnya melemahkan lagi pemerintahan Islam di Granada ini. Disebabkan Abu Abdullah tidak berpuas hati dengan pewarisan takhta yang ditunjukkan oleh bapanya, iaitu kepada saudaranya yang lain, lalu beliau memberontak sehingga dalam pemberontakan tersebut telah mengorbankan nyawa bapanya. Namun, takhta pemerintahan tidak menyebelahi Abu Abdullah, tetapi ia beralih kepada Muhammad ibn Sa’ad. Lalu perancangan dibuat dalam bentuk kerjasama antara Raja Ferdinand dan Abu Abdullah untuk merampas kembali takhta pemerintahan. Rampasan itu berjaya, ringkasnya Abu Abdullah dapat menduduki takhta tetapi bagi jangkamasa yang pendek disebabkan tekanan dari Ferdinand untuk mendapatkan habuan. Habuannya tidak lain tidak bukan ialah penyerahan wilayah Granada ini kepada beliau, lantas masyhurlah Ferdinand yang beristerikan Isabella sebagai raja yang berjaya menumbangkan kerajaan terakhir Islam di Andalusia.

Kejatuhan Andalusia rupanya adalah kelemahan pemerintahan yang sanggup menggadai prinsip mereka demi mendapat bantuan sokongan untuk menduduki takhta yang hanya buat sementara sahaja. Selain itu, ia turut disebabkan beberapa faktor, iaitu:
i. Usaha agresif puak Kristian untuk menakluk kembali wilayah yang ditadbir oleh kaum Muslimin sehingga menyebabkan pertahanan mereka terus rapuh dan tidak mampu bertahan atas serangan fikri dan askari yang dilakukan tentera musuh. Gerakan ini lebih dikenali sebagai Reconquista. Tidak dinafikan ia mempunyai kaitan dengan usaha pihak Kristian untuk menakluk wilayah yang telah jatuh ke tangan umat Islam di seluruh dunia di mana ia seolah turut terkesan dengan pergerakan tentera Salib yang menumpukan perhatian di wilayah umat Islam di Asia Barat.
ii. Ketiadaan sokongan dari pemerintah Islam di wilayah luar Andalus, melainkan sokongan yang sering diterima hanyalah dari Afrika Utara sahaja.

iii. Tiada mekanisma dalam mencari pengganti yang layak (succession plan) untuk meneruskan pemerintahan di mana kebanyakkan mereka mewariskan kepimpinan kepada anak beranak atau ahli keluarga.
iv. Tiada kesepakatan (wehdatul fikri dan wehdatul amal) dalam mentadbir wilayah yang dikuasai sehingga wujud perbezaan pemerintahan antara satuwilayah dengan wilayah yang lain. Perbezaan fikrah yang wujud dikalangan mereka banyak membawa keruntuhan dan kurang usaha untuk bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati.

Kesan daripada kejatuhan inilah umat Islam dihina dan dihalau keluar dari Andalusia. Ia turut terpalit kepada kaum Yahudi, di mana tiada kuasa yang boleh melindungi mereka setelah kerajaan Islam menjadi lemah seterunya runtuh. Kehinaan yang diterima sepertimana berdasarkan perintah yang dikeluarkan pada tahun 1492M iaitu setiap orang Yahudi yang enggan dibaptis, mereka perlulah keluar dari Andalusia dalam tempoh 3 bulan. Ia dikuti perintah yang dikeluarkan 10 tahun selepas itu kepada mereka yang tidak mahu dibaptiskan, iaitu perintah pada Februari 1502 di mana pihak Kristian mengusir golongan pendatang yakni orang Islam dari Seville dan sekitarnya.21 Jelas, kejatuhan pemerintahan yang berlaku bukan sekadar peralihan kuasa politik, tetapi ia turut memberi kesan kehinaan kepada umat Islam, malah ada di antara mereka yang diperangi ketika sudah bersedia keluar dari Andalusia.

Iktibar Sejarah Andalusia: Teladan dan Sempadan

Jika diteliti dari sudut perkembangan dan kemajuan Islam di Andalusia, jelas menunjukkan bahawa pemerintahan Islam telah mementingkan kemajuan intelektual dan keilmuan di samping perkembangan industri dan pertanian.

Namun, disebabkan beberapa masalah dalaman yang berlaku, pemerintahan Islam akhirnya tidak dapat bertahan dan terpaksa menyerahkan penguasaan mereka selama hampir 8 abad itu kembali kepada Kristian.

Antara punca yang dilihat melemahkan umat Islam ketika itu dan boleh dijadikan iktibar kini ialah:
Perebutan kuasa dikalangan pemimpin yang mentadbir wilayah.

Ini dapat dilihat pada peringkat awal pemerintahan Andalusia di mana para pemimpin sering berselisih dalam hal ehwal pentadbiran. Gangguan dari dalam ini telah menyebabkan ketidakseimbangan berlaku. Di antara pergolakan itu berupa perselisihan di antara elite penguasa, terutama akibat perbezaan ras dan etnik. Disamping itu, terdapat perbezaan pandangan antara khalifah di Damsyik dan gabenor Afrika Utara yang berpusat di Kairawan. Masing-masing mengaku bahawa merekalah yang paling berhak menguasai Andalusia ini. Oleh kerana itu, tidak hairanlah penggantian pemerintah atau wali (gabenor) berlaku lebih daripada dua puluh kali dalam jangka waktu yang amat singkat. Perbezaan pandangan politik itu menyebabkan seringnya terjadi perang saudara sesama mereka lalu merencatkan pembangunan tamadun umat di sana.

1. Tidak mempunyai sifat ketaatan kepada kepimpinan sehingga mereka tidak mahu mengikut nasihat khalifah. Akhirnya, anasir-anasir tidak puas hati itu membawa kepada perancangan untuk merampas kekuasaan dikalangan umat Islam, sedihnya dengan melibatkan kerjasama dengan pihak musuh.
2. Wujudnya golongan yang ingin menghancurkan mereka dari dalam seperti golongan yang ingin bekerjasama dengan musuh tanpa mengambil kira untuk memperkuatkan ikatan dalaman sesama mereka.
Manakala kejayaan mereka yang boleh dijadikan iktibar ialah:

1. Andalusia telah membuka ruang untuk memastikan supaya sekiranya kita ingin sentiasa maju ke hadapan, kita harus bersikap terbuka kepada pemikiran-pemikiran kreatif dan idea-idea yang inovatif. Mereka telah mencapai kejayaan dari segi sains dan teknologi kerana menggalakkan suasana intelek dan tidak rigid dengan kemasukan ilmu-ilmu moden.

2. kecemerlangan Andalusia dalam bidang pertanian dan industri memungkinkan kita untuk mempertingkatkan kemajuan dalam bidang ini dengan bantuan teknologi maklumat, dan mengambil nikmat bioteknologi untuk dikembangkan dalam sektor ini agar pertanian tidak lagi dipandang enteng.

3. Lahirnya ilmuwan seperti Ibn Bajjah (1082 – 1138M), Ibn Zuhr (1091 – 1162M) dan lain-lain menuntut kita melahirkan cendikiawan Muslim yang versatile, mahir dari segi ilmu turath dan juga ilmu moden yang mampu untuk meninggalkan jejaknya yang tersendiri di dunia ini. Generasi ilmuwan moden ini harus dibina jati diri mantap agar memberi manfaat kepada pembangunan negara.
4. Ketamadunan yang dibina telah meninggikan Eropah yang pada waktu tersebut berada pada zaman kegelapan. Bandar Cordova di Andalusia dilihat sebagai Bandar yang terulung dikalangan Negara-negara Eropah yang lain dan mereka telah memajukan intelektualisme dari aspek falsafah, senibina, matematik, teologi, perubatan dan banyak lagi sehingga Islam gambarkan begitu kehadapan dalam soal ini. Mereka dapat measimilisasikan Islam dengan falsafah dan pusat kecemerlangan Greek sehingga ia menyumbang kepada keseluruhan negara Barat yang didominasi kaum Kristian.
Kejayaan mereka membina tamadun dalam keadaan mereka mempunyai kepelbagaian bangsa dan penganut agama samawi juga sesuatu yang unik. Sudah pasti ia ada kaitan dengan kefahaman terhadap ajaran Islam yang dipraktikkan dalam bentuk siyasi. Rujukan tentunya terhadap contoh-contoh awal yang ditunjukkan oleh Khalifah Islam dalam memberi dan menjamin hak asasi setiap penganut agama yang mana mereka boleh hidup aman damai di bawah pemerintahan Islam. Contoh-contoh jaminan ini terus dilaksanakan sehingga ke wilayah pemerintahan Andalusia. Oleh sebab itu kita dapat menyaksikan sejarah di mana umat Islam, Kristian dan Yahudi saling membantu mewujudkan suasana keilmuan yang baik terutama di Cordova. Ini kelihatan begitu relevan dengan negara kita sekarang yang mempunyai kepelbagaian latar bangsa dan penganut agama. Oleh itu, demi mencapai puncak kemajuan, kerjasama antara kaum ini harus diberi tumpuan yang wajar bagi meningkatkan kerjasama dan kefahaman dikalangan rakyat yang ada.

Penutup

Kecemerlangan Tamadun Islam Andalusia berakhir tanpa dapat dipertahankan oleh umat Islam. Ia jatuh di bawah pemerintahan kerajaan Sepanyol dan kekal sehingga hari ini. Kesan peninggalan itu masih boleh dibanggakan walaupun hakikatnya tiada apa yang dapat diperolehi oleh umat Islam hasil peninggalan tersebut. Kejatuhan Andalusia kelihatan tidak memungkinkan ia kembali ditadbir oleh umat Islam. Pengalaman pahit ini harus dipelajari agar umat zaman kini tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada ketika dahulu. Sejarah Andalusia itu sudah tidak dapat diperbaiki untuk manfaat wilayah itu, namun pastinya pengalaman atau pengajaran dapat diperolehi bagi manfaat generasi kini. Walau bagaimanapun, kesediaan Eropah membuka kembali pintu pada abad moden ini dan memberi peluang kepada bangsa-bangsa lain berada di wilayah mereka telah sedikit sebanyak menyaksikan kemunculan kembali umat Islam di Eropah, termasuk di Andalusia.
Lain-lain Artikel Empayar Andalusia
tranungkite

Tiada ulasan:

Catat Ulasan