Ahad, 25 November 2012

Moaz al- Khatib minta sokongan ketenteraan dari Turki

Isnin 26 Nov 2012



(Sheikh Ahmad Moaz al-Khatib, presiden yang dipilih mengetuai pakatan pembangkang baru di Syria, Pakatan Kebangsaan Syria untuk pembangkang dan Angkatan Revolusi  - foto Today's Zaman)



ANKARA:
Sheikh Ahmad Moaz al-Khatib, presiden  pakatan pembangkang baru Syria, meminta Turki untuk menyediakan lebih sokongan ketenteraan kepada penentang yang berjuang menghadapi rejim Syria, dan berkata keperluan yang paling mendesak adalah peluru berpandu anti-pesawat.


"Cabaran utama untuk kumpulan penentang adalah pesawat. Mereka menyerang orang di mana-mana. Jika ada sesuatu yang boleh membantu kami menghalang mereka, ia adalah sangat bagus dan kami akan meminta secara khusus untuk perkara tersebut," kata al-Khatib.

Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan Today's Zaman selepas mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan dan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu semasa lawatan ke Turki.

Beliau yang menyatakan sokongan ketenteraan yang bermula pada awal serangan selama 20 bulan tidak mencukupi, turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk memberikan bantuan ketenteraan yang lebih cepat untuk menghalang kemenangan rejim Presiden Bashar al-Assad.

"Sokongan ketenteraan tidak mencukupi. Masyarakat antarabangsa mengabaikan pejuang Syria sendirian selama dua tahun tanpa sokongan yang sebenar.

"Kami masih menunggu, tetapi masa adalah begitu singkat. Jika tiada sokongan yang cepat, mungkin terdapat perubahan di setiap kawasan [menjejaskan kawasan pembangkang bersenjata], " ujar al-Khatib lagi.

Al-Khatib juga menyatakan bahawa pembangkang Syria berterima kasih kepada Turki atas bantuan yang disediakan dalam semua bidang, termasuk bantuan ketenteraan yang menyokong pemberontakan menentang tindakan keras ketenteraan Assad yang telah membunuh lebih 38,000 orang.

"Apa yang saudara Turki kami telah lakukan adalah sangat baik. Mereka telah melakukan yang terbaik, "ujar al-Khatib, sambil menambah, "Kami [pembangkang Syria] inginkan bantuan yang lebih banyak, daripada Turki dan daripada masyarakat antarabangsa."

harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan