Muslim murtad selesaikan puncanya dahulu
Ahmad Baei Jaafar
Isu murtad sudah banyak kali ditimbulkan oleh pendakwah dan dibesarkan oleh media, namun apa yang ditimbulkan itu hanya tinggal begitu sahaja. Bising sekejap kadar seminggu, setelah ada pihak menafikannya, isu tersebut hilang begitu sahaja tanpa apa-apa tindakan. Persoalannya benarkah murtad menjadi-jadi mutakhir ini?
Kalau kenyataan itu keluar daripada orang yang berautoriti bolehkah kita terima sebagai sah. Persoalannya siapa yang berautoriti dalam hal ini? Sudah tentu mereka yang berurusan mendaftar, peguam syari’ dan hakim syari’. Mereka inilah yang paling tahu kadar sebenar. Apapun orang lain hanya sekadar mendengar maklumat daripada orang lain.
Kita tidak nafikan ada orang yang murtad tetapi tetapi apakah kepentingan kita besarkan isu itu? Kadang-kadang isu itu dibesarkan oleh musuh untuk menjadikan kita panik dan takut sekali gus melemahkan jiwa umat Islam sendiri. Hal ini mungkin mereka sudah merasa umat Islam semakin lemah atau berpecah.
Kadang-kadang kenyataan itu dikeluarkan oleh tokoh Islam sendiri sebagai amaran kepada umat yang masih leka lalu membiarkan diri dan keluarganya terpesong jauh daripada Islam. Isu itu mungkin tidak besar mana, tetapi dibesarkan untuk melahirkan kesedaran dan kewaspadaan. Walau apapun kedua-dua keadaan ini ada pro dan kontranya.
Realiti isu murtad
Umat Islam yang dikatakan murtad terdiri daripada golongan muallaf yang terbiar tanpa bimbingan. Mereka ini apabila memeluk Islam tidak menghadiri sebarang kursus atau kelas pengajian. Mereka meneruskan kehidupan harian seperti biasa. Sedangkan amalan Islam tidak diamalkan seperti yang sepatutnya.
Golongan ini juga sesetengahnya tidak ada pekerjaan maka sepanjang kehidupannya mengharapkan bantuan zakat dan sumbangan orang ramai. Sebahagian mereka memberi alasan sakit dan ditinggalkan isteri atau dibuang kerja. Mereka ini kalau terus dibiar tanpa didikan Islam lambat laun akan murtad akhirnya.
Golongan kedua terdiri daripada orang yang berkahwin dengan orang Islam. Pasangan Islam ini pula tidaklah berniat untuk membimbing pasangannya. Lebih malang lagi pasangan yang asal Islam ini tidak menunaikan solat, bagaimana dalam keadaan itu dia boleh menjadi contoh kepada pasangan yang baru memeluk Islam itu.
Di sinilah kadang-kadang jodoh mereka tidak lama, pasangan yang muallaf ini seperti laying putus talinya. Apabila tiada lagi tempat bergantung, dia akan mencari orang yang boleh membantunya. Bagaimana kalau dia bertemu dengan orang bukan Islam yang mengajaknya supaya murtad, tentu dia dengan mudah boleh murtad.
Dua keadaan ini, siapa yang boleh kita salahkan? Jelas di sini, orang Islam sendiri yang patut disalahkan. Orang yang mengislamkannya sama ada dengan cara dakwah atau dengan berkahwin sepatutnya dihukum kerana cuai membimbing ke jalan yang benar. Jadi kalau begitu mengapa kita asyik menyalahkan orang yang murtad? Memang mereka hendak Islam tetapi orang Islam yang tidak mahu mendidik dengan cara yang betul.
Orang Islam sendiri, tidak banyak yang bertindak murtad kecuali mereka lemah Islamnya lalu berjaya dipujuk ke arah murtad. Biasanya mereka ini dipujuk oleh pasangan kekasih atas alasan cinta. Mereka tidak juga faham agama itu dengan baik sebagaimana dia tidak memahami Islam dengan sebaiknya. Mereka ini biasanya menipu ibu bapa dalam pergaulan kerana sering dikongkong oleh ibu bapa.
Dalam kes sepertinya, ibu bapa juga boleh dipersalahkan selain anak itu sendiri. Kecuai mereka mendidik anak dengan sempurna ada dosa besar. Kita kena ingat iman tidak diwarisi, maka kalau tidak dididik dengan yang betul pasti tidak menjadi. Apabila anak dibiar atas alasan percaya dia bersekolah agama adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Punca murtad
Gelaja murtad yang disebut di atas berlaku apabila seseorang itu dalam keadaan goyah imannya. Tetapi tahukah anda orang yang ada iman malah kuat imannya juga boleh menjadi murtad. Mereka boleh murtad dengan rosaknya iman di dada. Ada tiga perkara atau tiga cara iman itu boleh rosak:
1. Iktiqad.
2. Perkataan.
3. Perbuatan.
Melalui iktiqad, iman boleh rosak dengan sebab-sebab berikut:
1. Kurang yakin atau ragu-ragu dengan satu atau lebih dari sifat-sifat yang wajib bagi Allah. Contohnya: Ragu dengan Qudrat (kekuasaan) Allah. Sebaliknya ia yakin bahawa ada kuasa lain yang boleh memberi bekas selain Allah.
2. Ragu dengan perkara-perkara ghaib seperti wujudnya malaikat, Hari Qiamat, Alam Barzakh, syurga, neraka dan lain-lain seumpamanya.
3. Ragu dengan satu atau lebih dari sifat-sifat nabi dan rasul.
4. Ragu tentang mampunya Islam, dengan panduan al-Quran dan Sunnah, sebagai pembawa keselamatan.
Jadi, semua keraguan tentang perkara yang disuruh beriman dengannya oleh Allah boleh membawa kepada rosaknya iman seseorang. Oleh sebab itu amat perlu bagi tiap-tiap individu memastikan hatinya tidak ada sebarang keraguan.
Selain itu iman juga boleh rosak melalui perkataan. Ianya boleh berla ku sama ada sedar atau tidak. Antara perkataan yang boleh merosakkan iman ialah:
1. Mengatakan Allah itu kejam, zalim, tidak adil dan lain-lain yang mencacatkan kesempurnaan sifat Allah.
2. Mengata dan mencaci Rasulullah sama ada tentang perkataan, perbuatan dan seluruh ajaran baginda.
3. Mengatakan syariat Islam tidak sesuai untuk semua zaman. Ia hanya sesuai untuk "zaman unta" dan sebagainya.
4. Menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal. Contohnya: Menghalalkan riba, zina, arak, judi dan lain-lain. Mengharamkan poligami dan lain- lain.
Pendek kata apa sahaja perkataan yang dikeluarkan berbentuk cacian dan penghinaan pada kemuliaan dan kebenaran Islam, sama ada sengaja atau tidak boleh merosakkan iman seseorang. Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga perlulah kita berhati-hati dalam bercakap, jagalah perkataan yang keluar dari mulut kita.
Seterusnya perbuatan juga boleh merosakan iman. Perkara ini boleh berlaku kerana dua keadaan:
1. Sujud pada selain Allah, sama ada pada patung, pokok kayu, matahari, bulan dan lain-lain.
2. Meraikan dan membesarkan hari-hari agama lain.
Jelas di sini seseorang yang melakukan salah satu dari tiga cara di atas, dalam sedar dan yakin, adalah seorang yang telah rosak imannya. Dengan kata lain mereka telah murtad. Dengan kedudukan ini munasabahlah ramai umat Islam murtad. Boleh jadi murtad jenis ini lebih besar.
Selamatkan yang murtad
Menyedari keadaan ini semua pihak perlu bertanggungjawab menyedarkan umat Islam ada yang sudah murtad dan mereka yang termasuk dalam gejala murtad di atas. Untuk mengembalikan mereka tidak cukup dengan demontrasi, kempen berpidato dan sebagai. Semua itu boleh menjadikan musuh Islam mengelakkan kita.
Menggubalkan undang-undang atau akta murtad memang bagus, kerana kewujudannya boleh menghalang orang Islam daripada murtad. Dan kalau ada yang murtad boleh dihukum dengan undang-undang itu. Tetapi itu semua untuk mereka yang sudah murtad. Bagaimana yang dalam gejala murtad yang semakin ramai kini?
Di sinilah pentingnya dakwah dan pengajian untuk orang Islam. Usaha ini perlu dijalankan dengan serius. Usaha ini sepatut disokong oleh kerajaan dan NGO Islam. Orang yang selama ini menentang gerakan dakwah sepatutnya insaf bahawa sebenarnya gejala murtad itu ada kaitan dengan penentangan mereka. Oleh sebab itu bukalah peluang yang luas untuk menyebar luaskan ajaran Islam di mana-mana.
Umat Islam perlu disedarkan dengan perkara yang boleh membatalkan iman kerana semua itu jalan kepada murtad. Jadi, usahakan agenda ini dengan serius agar iman umat Islam kembali teguh. Pada masa yang sama didiklah orang yang baru memeluk Islam dengan sebaiknya.
Percayalah kalau semua pihak bergerak aktif pasti umat Islam akan kembali gemilang. Ketika itu negara dan kepimpinannya akan disegani oleh musuhnya. Sumber :fikrahislamiah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan