Selasa 10 Januari 2012
Oleh: Inimajalah
"Berita pembebasan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada fitnah liwat oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pagi ini, memenuhi hampir semua ruang Internet milik rakyat Malaysia, termasuk di Facebook, Twitter dan blog.
Pautan berita pembebasan Anwar di laman rasmi Facebook bharian.com.my sendiri dipenuhi lebih 1,000 komen, terutama yang mengalu-alukan dan meraikan pembebasan tokoh pemimpin pembangkang itu.
Sehingga jam 6.45 petang ini, pautan berita pembebasan Anwar di laman itu disukai (like) oleh 3,906 pengguna Facebook dan dikomen oleh 1,414 orang.
Jumlah komen untuk satu pos seperti itu dipercayai antara yang tertinggi bagi pos di laman Facebook tempatan.
Berita pembebasan Anwar juga menjadi tajuk utama banyak portal berita online antarabangsa, termasuk aljazeera.com, bbc.co.uk dan reuters.com.
Inimajalah.com.my yang memantau liputan online mengenai penghakiman di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pagi ini, mendapati bharian.com.my adalah antara portal berita online paling awal menyiarkan imbasan berita sebaik hakim membacakan penghakiman membebaskan Anwar.
Bharian.com.my dalam laporan lewat petang ini mengumumkan ia mencatatkan kunjungan tertinggi bagi berita penghakiman Anwar.
Menurutnya, 5,898 pembaca mengikuti liputan langsung bharian.com.my keputusan penghakiman itu menerusi perisian ‘CoveritLive’ dari jam 6.39 pagi hingga 5 petang sebentar tadi.
Dua lagi portal berita popular – malaysiakini.com dan malaysianinsider.com – turut mendapat respon tinggi sejak mereka mula menyiarkan liputan secara langsung penghakiman itu seawal jam enam pagi.
Semakan juga mendapati carian bagi “Anwar bebas 9 Jan 2012″ di Google selepas sembilan jam pemimpin itu dibebaskan, menghasilkan 364,000 hasil carian.
Ia termasuklah dalam bentuk paparan berita, artikel dan foto peristiwa bersejarah itu sama ada di blog, Facebook dan Twitter atau forum.
Hasil carian itu tidak termasuk berita dan artikel dalam bahasa Inggeris oleh portal berita tempatan dan antarabangsa - inimajalah.com.my
Sumber: tranungkite
Tiada ulasan:
Catat Ulasan