Taubat, kesalahan lampau tidak boleh dibongkar
Selasa 15 Jan.2013
Ahmad Baei Jaafar
Setiap manusia selain nabi dan rasul tidak terjamin selamat
daripada berbuat dosa dan maksiat. Malah mereka terdedah kepada dosa setiap
hari. Buktinya kenyataan hadis daripada Anas:
عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ :
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "كُلُّ ابْنِ
آدَمَ خَطَّاءٌ ، فَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ."
Maksudnya: Daripada Anas r.a dia berkata Rasulullah SAW
bersabda: “Semua anak Adam berdosa, maka sebaik-baik orang yang berdosa ialah
bertaubat.” (Riwayat Ahmad)
Realitinya di dalam rumah sendiri, suami berdosa dengan
isteri begitu juga sebaliknya. Kemudian sebaik sahaja melangkah keluar daripada
rumah ke tempat kerja misalnya, mata sudah melihat aib orang lain dan secara
sepontan pula lidah menuturkan kata nista terhadap orang itu. Memang benar, dosa
sering dicetuskan manusia.
Selain itu dalam perjalanan ke tempat kerja banyak lagi dosa
yang boleh dilakukan tanpa sedar. Marah orang yang memotong keretanya, sanggup dia
memaki orang itu. Sementara di pejabat, umpat dan fitnah boleh berlaku dengan
mudah apatah lagi pada waktu berehat di kantin, banyak cerita yang boleh
dihasilkan.
Walaupun sesetengah dosa-dosa itu termasuk dalam kategori
dosa kecil, kita tidak boleh mengambil sikap “tidak kisah” kerana sikap
mengecilkan dosa kecil akan menjadinya dosa besar pula. Begitu juga dengan
perkara makruh, jika dilakukan secara berterusan boleh menjadi haram dan
berdosa. Menyedari hal ini mereka seharus bertaubat.
Dosa yang diabaikan
Selalunya dosa yang kita lakukan sama ada terhadap Allah mahupun
manusia, dibiarkan begitu sahaja tanpa rasa berdosa dan hendak bertaubat. Pada
mereka enjoy dulu kerana usia masih awal dan muda. Tetapi lain halnya kalau dosa
yang melibatkan manusia terutama ibu bapa mereka tangguhkan untuk meminta maaf pada
hari raya. Agaknya mereka tahu bahawa umur mereka masih panjang.
Walau bagaimanapun Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang
tidak mahu hambanya terus melakukan dosa. Oleh sebab itu Allah masih menawar
pengampunan dan bersedia menerima taubat hambanya. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ
الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bertaubat dan suka kepada orang yang
membersihkan diri.” (Surah al-Baqarah : 222)
Tetapi pada hari ini berapa ramai yang melakukan dosa dan
sanggup bertaubat dengan segera. Dalam penelitian saya ramai yang melakukan dosa
tanpa henti seolah-olah mereka tidak tahu semua itu adalah dosa.
Antara Dosa dengan Allah:
1. Menyekutukan Allah SWT dengan mana-mana
makhluk (Syirik). Mereka bergantung harap dengan orang dan wang. Mereka lupa
kepada Allah yang memberi rezeki. Inilah golongan syirik yang pada mereka
adalah kecil.
2. Meninggalkan solat fardu. Anak-anak
remaja malah ada ibu bapa yang tidak kenal sejadah, apatah lagi masjid. Kalau sudah
bekerja dan mendapat pendapatan sendiri, solat ditinggalkan sedikit demi
sedikit sehingga akhirnya terlupa semua bacaannya. Padahal waktu di sekolah
sudah mengahafalnya. Mereka tidak sedar bahawa itu juga adalah dosa besar.
3. Tidak membayar zakat. Ahli perniagaan
yang mengaut keuntungan berganda tidak pernah terfikir untuk mengeluarkan zakat
mahupun berderma kepada orang susah. Pada mereka cukup dengan zakat fitrah
setiap tahun sebelum syawal.
4. Melakukan zina, bukan sahaja dalam
kalangan remaja malah orang tua juga. Perbuatan ini adalah dosa besar.
5. Homoseksual (hubungan sesama jantina)
terjadi dalam masyarakat kita tanpa kawalan. Mereka ini tahu amalan songsang
ini salah tetapi tetap melakukannya.
Antara dosa dengan manusia ialah:
1. Melakukan perbuatan Sihir atau
mempelajari ilmu sihir. Sehingga ke hari ini ada umat Islam yang mengamalkan
sihir terutama peniaga atau pasangan yang cemburu kepada suaminya. Ketika
melakukannya tidak menyedari yang dosa itu adalah dosa besar.
2. Derhaka kepada kedua ibu bapa. Anak-anak
sejak remaja lagi sudah tahun melawan ibu bapa, apatah lagi apabila hendak
berkahwin terlupa untuk mengambil pandangan ibu bapa. Hakikatnya mereka derhaka
kepada ibubapa tanpa sedar.
3. Memutuskan hubungan silaturrahim. Antara
adik beradik sudah ada yang tidak bertegur sapa hanya mungkin kerana sedikit
salah faham. Perbuatan ini adalah dosa besar.
4. Tidak menunaikan hak anak dan isteri.
Suami atau ayah ini bukan miskin tetapi harta yang banyak itu disalahgunakan ke
tempat yang haram.
5. Membiarkan jiran kelaparan sedangkan dia
kekenyangan. Inilah kehidupan lazim dalam masyarakat kita. Masalah jiran tidak
dapat dikesan kerana perhungan yang longgar. Tetapi kita juga patut tahu mana
jiran kita yang miskin untuk dibantu. Kita lupa tanggungjawab ini.
Sikap Orang Mukmin
Orang mukmin yang terbaik seperti yang digambarkan Rasulullah
dalam hadis di atas, setiap kali melakukan dosa terus bertaubat daripada dosa
tersebut. Sikap orang mukmin ini selaras dengan sifat Allah yang suka terhadap
orang yang terus bertaubat. Oleh sebab itu orang mukmin tidak boleh bertangguh
dalam bertaubat kerana demikian itu adalah sikap orang yang sombong iaitu sifat
syaitan.
Sebenarnya, sebesar manapun dosa seseorang mukmin kalau dia
mahu bertaubat kepada Allah pasti diterima oleh-Nya. Malah mereka yang bertaubat
itu kedudukannya sama seperti tiada dosa lagi. Demikian dinyatakan oleh
Rasulullah dalam hadisnya:
أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : النَّدَمُ تَوْبَةٌ ، وَالتَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ كَمَنْ لا ذَنْبَ
لَهُ (أبو
نعيم الأصبهاني)
Maksudnya:
“Sesungguhnya Nabi SAW berkata, penyesalan adalah taubat, dan orang yang
bertaubat daripada dosanya sama seperti mereka yang tiada dosa.” (Riwayat Abu
Naim al-Asbahani)
Berdasarkan
hadis di atas, taubat amat mudah di sisi Allah iaitu cukup dengan rasa
menyesal. Maknanya kalau seseorang itu kelihatan sangat menyesali perbuatannya
sudah dikira bertaubat di sisi Allah. Cuma taubat itu perlu dilakukan
bersungguh-sungguh seperti yang pernah diamalkan oleh nabi Adam dan nabi Yunus.
Nabi
Adam a.s setelah diturunkan ke bumi, dia bertaubat selama 40 tahun dengan
membaca doa:
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ
لَنَا لَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الخَاسِرِينَ
Bermaksud: “Tuhan, kami telah melakukan kezaliman
terhadap diri kami dan jika Engkau tidak mengampunkan kami nescaya kami
tergolong dalam orang-orang yang rugi.”
Begitu juga dengan nabi Yunus a.s setelah dimasukkan
ke dalam perut ikan, dia terus bertasbih beberapa kali seperti berikut:
اللَّهُمَّ ، لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ
الظَّالِمِينَ
Maksudnya: Ya Allah, tiada Tuhan
lain melainkan Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku termasuk dalam orang yang
zalim.” (Surah al-Ambia’: 87)
Syarat Taubat
Sungguhpun tanda taubat itu ialah
penyesalan namun kesungguhan bertaubat itu perlu dibuktikan seperti yang
diamalkan oleh para nabi di atas. Sesuai dengan itu maka para ulama telah
menentukan beberapa syarat taubat yang harus dipatuhi:
1. Menyesali diri di atas dosa-dosa yang telah lalu
2. Menyucikan
diri dan dosa dengan tidak lagi melakukan
dosa yang sama.
3. Berazam tidak akan melakukan dosa
lagi, selagi hayat dikandung badan.
Ketiga-tiga syarat ini adakah untuk kesalahan hamba kepada
Allah. Jika syarat ini dipenuhi oleh seseorang nescaya diampunkan dosa tersebut
seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
"Barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan,
laIu memilih jalan lurus, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya dan Tuhan
itu maha pengasih lagi maha penyayang."
(Surah aI-Maidah :39)
Walau bagaimanapun kalau seseorang itu melakukan dosa
terhadap hamba Allah yang lain perlu ditambahkan satu syarat lagi iaitu meminta
maaf daripadanya. Dan jika dosa itu melibatkan harta perlu diselesaikan dengan
ganti rugi. Begitu juga kalau melibatkan hutang, perlulah diselesaikannya
terlebih dahulu.
Malah jika kesalahan itu melibatkan jiwa atau nyawa
hendaklah dilakukan qisas (hukuman menurut hukuman Islam) kecuali setelah
dimaafkan walinya. Namun dia tetap wajib membayar diyah atau ganti rugi atau pampasan
yang setimpal dengan kesalahannya.
Jelas di sini, apabila kesalahan itu melibatkan orang lain,
kemaafan orang itu perlu diutamakan. Kemaafan mereka inilah yang menjadi ukuran
pengampunan Allah dan seterusnya menerima taubatnya. Maknanya selagi seseorang
itu tidak dimaafkan kesalahannya, Allah tidak menerima taubatnya walaupun tiga
perkara di atas sudah dipenuhi.
Kedudukan Setelah Diterima Taubat
Berdasarkan hadis di atas, “…dan orang yang bertaubat
daripada dosanya sama seperti mereka yang tiada dosa,” sekali lagi menyedarkan
kita betapa Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Sikap baik Allah ini
harus disambut oleh umat Islam apatah lagi orang yang pernah melakukan dosa
supaya segera bertaubat.
Berdasarkan
itu seseorang yang sudah diterima taubatnya, mereka sudah dianggap bersih
daripada dosa. Keadaan ini menjadikannya orang yang bebas merdeka sama seperti
orang yang tidak berdosa. Mereka boleh mengatur kehidupan di dunia tanpa
diganggu oleh orang lain. Walau bagaimanapun mereka harus memenuhkan aktiviti
hariannya dengan perkara yang baik.
Cuma
dalam keadaan ini, ramai juga umat Islam masih memberi persepsi yang buruk terhadap
mereka. Padahal mereka sudah benar-benar berubah ke arah kebaikan, malah sudah
bertaubat daripada maksiat. Tetapi mereka yang bertaubat itu masih dicop
sebagai orang yang bersalah.
Sebagai
contoh, orang yang bersalah yang telah dibebaskan daripada penjara, orang ramai
masih memandang serong kepadanya. Sepatutnya diberi layanan sama seperti orang
yang baik-baik. semoga dengan itu mereka boleh menjadi orang yang soleh dn
solehah.
Keadaan
yang sama berlaku kepada orang politik, hanya kerana dia musuh politiknya maka kesalahan
mereka diungkit lagi sedangkan dosa itu telah lama berlalu. Segala kejahatan
lama dimainkan seperti perkara baru lalu mengaibkannya di mata ramai.
Sepatutnya mereka menerima baik perubahannya dan taubatnya kepada Allah. Kita
hanya wajib menilai yang zahir.
Selain
itu, seseorang yang telah bertaubat, dia dianggap bersih daripada dosa. Maka
sesiapa yang menyebutkan dosanya lagi, mereka itu boleh dianggap sebagai
menuduh orang baik melakukan dosa. Jika ini yang terjadi, maka orang yang
menuduh itu dianggap sebagai tuduhan palsu. Mereka ini bukan sahaja berdosa tetapi
diharamkan syurga untuk mereka.
Sebenarnya
dalam ajaran Islam, kita wajib menutup aib orang lain walaupun kita mengetahui
keaibannya. Dalam kes ini, kita yang menutup aib itu tidak dianggap bersyubahat
dengan dosanya tetapi kita cuba menutup aibnya. Namun pada masa yang sama, kita
wajib membetulkan kesilapan silamnya.
Percayalah
kalau semua umat Islam boleh membuat perubahan dan bertaubat daripada dosa
lampau Allah akan terima taubat itu dengan senang hati. Nanti dengan sebab itu Allah
selamatkan umat Islam dan dunia ini daripada kehancuranfikrahislamiah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan