Aktivis marah sirip jerung disembunyi
Jumaat 4 Jan.2013
HONG KONG - Aktivis-aktivis alam sekitar di sini meluahkan rasa marah semalam berikutan pendedahan beberapa keping gambar menunjukkan bumbung sebuah kilang dipenuhi beribu-ribu sirip ikan jerung yang baru dilapah.
Terletak di selatan China, pulau ini merupakan antara pasaran sirip jerung terbesar di dunia. Sirip jerung digunakan untuk membuat sup mewah yang disajikan pada majlis-majlis bankuet dan dianggap sajian istimewa oleh ramai penduduk Asia.
Seorang aktivis, Gary Stokes yang melawat lokasi berkenaan menganggarkan terdapat antara 15,000 hingga 20,000 sirip ikan jerung sedang dijemur di atas bumbung sebuah bangunan di kota metropolitan ini.
Sirip-sirip jerung itu dipercayai sebagai persediaan untuk memenuhi permintaan mendadak bahan makanan tersebut menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari depan.
"Penemuan ini mengejutkan. Tindakan menyorok sirip jerung di kawasan tersembunyi seperti ini adalah pertama kali berlaku di pulau ini," kata koordinator kumpulan pemuliharaan alam sekitar tempatan, Sea Seherperd kepada agensi berita AFP.
Sekitar 73 juta ikan jerung dibunuh setiap tahun dengan pulau ini mengimport kira-kira 10,000 tan makanan tersebut sejak sedekad lalu.
Kebanyakan sirip ikan itu kemudian dieksport ke tanah besar China.
Sekilogram sirip jerung kering boleh dijual pada harga HK$10,000 (RM3,911) di sini, manakala semangkuk sup sirip jerung berharga HK$1,000 (RM391). - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan