Selasa, 15 Januari 2013

Johor DT, Kelantan sama hebat

Rabu 16 Jan.2013

PENYERANG Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) cuba dihalang pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Ab. Halim pada aksi Liga Super di Kota Bharu malam tadi. Kedua-dua pasukan terikat seri 1-1.


PERTEMBUNGAN gergasi Pantai Timur, Kelantan dan Harimau Selatan, Johor Darul Takzim (Johor DT) yang dinanti-nantikan berakhir dengan keputusan seri apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi Liga Super di Kota Bharu, malam tadi.
Dibelenggu beberapa episod kontroversi sebelum ini, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan tempo yang agak pantas dalam tempoh 10 minit pertama perlawanan dengan berbalas serangan termasuk beberapa gerakan untuk memecah benteng pertahanan masing-masing.
Penyerang Johor DT, Mohd. Safee Sali lebih dulu mengejutkan tuan rumah melalui sepakan akrobatik selepas menerima hantaran pemain import dari Itali, Simone Del Nero namun, sepakan tersebut berjaya diselamatkan oleh Khairul Fahmi Che Mat.
Johor DT meneruskan asakan dan hasilnya mereka berjaya mendapatkan dua sepakan percuma pada minit ke-26 dan 34 namun, sepakan yang diambil ketua pasukannya, Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Abd. Razak terus ke dakapan Khairul Fahmi.
Stadium Sultan Muhammed Ke IV akhirnya gempita dengan sorakan lebih 25,000 penyokong The Red Warriors apabila pemain sayap mereka, Norfarhan Muhamad berjaya merobek gawang Johor DT yang dikawal oleh Zamir Selamat.
Beliau yang turun membantu bahagian pertahanan berjaya mendapatkan bola dan melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan kencang dari jarak 20 meter biarpun terdapat lima pemain lawan yang cuba mengekang pergerakannya.
Kelantan kemudian terus menggandakan asakan dan hampir menambah jaringan juga melalui Norfarhan yang menerima umpanan daripada Indra Putra Mahayuddin namun, Zamir dilihat lebih bersedia untuk menafikan se pakan tersebut.
Separuh masa kedua menyaksikan Kelantan terus menggandakan asakan melalui kombinasi penggempur mereka, Indra Putra dan Norfarhan yang mendapat peluang menarik termasuk ketua pasukan mereka Badri Radzi yang me lepaskan rembatan menarik pada minit ke-61 namun, percubaan mereka melepasi palang gol.
Bagaimanapun, Johor DT akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila bintang import sensasi dari Sepanyol, Daniel Guiza mencetak nama sebagai penjaring selepas sepakan percumanya dari jarak 30 meter gagal diselamatkan oleh Khairul Fahmi.
Beberapa siri serangan oleh kedua-dua pasukan selepas itu menemui kegagalan apabila dipatahkan oleh barisan pertahanan pasukan masing-masing.

kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan