Tarikh sebenar hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.
Rabu 16 Jan.2013
"Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang
Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata’ala, selawat dan salam keatas
junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta keluarga
baginda dan para sahabatnya.
Di antara cuti umum yang ditetapkan
oleh pihak kerajaan Malaysia ialah pada 12hb. Rabiul Awwal kerana ia
dianggap sebagai hari kelahiran Nabi Muhammad SAW (Maulidur Rasul).
Pihak Darul Quraan Was Sunnah berasa bertanggungjawab untuk
membincangkan persoalan ini demi memperbetulkan tarikh lahir Baginda SAW
yang ditetapkan sebagai cuti umum itu kerana tidak ada ertinya kita
merayakan sesuatu hari jika ia tidak menepati hari yang dimaksudkan itu
dengan tepatnya. Apalagi kalau diterima juga tarikh wafat Nabi SAW
sebagaimana dipercayai umum pada 12hb. Rabiul Awwal.
Pendapat
yang menyatakan bahawa Nabi SAW dilahirkan pada 12hb. Rabiul Awwal itu
walaupun masyhur tetapi ia berasaskan riwayat yang lemah kerana ia
berpunca daripada Ibnu Ishaq seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibnu
Hisyam di dalam kitab sirahnya.
Menurut ulama-ulama rijal
hadis, Ibnu Ishaq selain dianggap sebagai seorang syiah, dia juga
seorang yang lemah dalam riwayat-riwayatnya. Imam Nasa'i mengatakan
bahawa dia tidak kuat. Daraqutni mengatakan hadisnya tidak boleh
menjadi hujjah. Imam Abu Daud ada berkata, "Dia adalah seorang yang
berfahaman Qadariah dan Mu'tazilah."
Imam Sulaiman At-Taimy,
Hisyam bin Urwah, Yahya bin Sa’id Al-Qatthan dan Imam Malik mengatakan
dia seorang pendusta besar. Malah Imam Malik pernah berkata, "Dia
seorang dajjal". (Mizanul I’tidal, Imam Zahabi, jld. 3, hal. 468-475).
Ibnu Ishaq sendiri tidak menyebutkan sanad-sanad tempat ambilannya.
Pendapat yang sahih dan kuat bagi tarikh kelahiran Baginda ialah pada hari Isnin, 9 Rabiul Awwal, Tahun Gajah.
Di antara ulama yang berpendapat sedemikian ialah Humaidi, Uqail, Yunus
bin Yazid, Ibnu Abdillah, Ibnu Hazam, Muhammad bin Musa Al-Khuwarazmi,
Abul Khattab Ibnu Dihyah, Ibnu Kathir, Ibnu Hajar dan Badruddin 'Aini.
(Al Bidayah wa An Nihayah, jld. 2, hal. 260-261).
Pendapat
ini juga disokong oleh penyelidikan yang dibuat oleh seorang ahli falak
yang terkenal iaitu Mahmud Pasya yang cuba menentukan tarikh gerhana
matahari dan gerhana bulan yang berlaku semenjak zaman Nabi SAW hingga
ke zaman beliau. Berdasarkan kajian beliau, hari Isnin tidak mungkin
bertepatan dengan 12hb. Rabiul Awwal mengikut perkiraan bagaimana
sekalipun bahkan hari Isnin pada bulan berkenaan Rabiul Awwal) jatuh
pada 9 haribulan. Beliau mengemukakan beberapa alasan untuk menyokong
hasil kajiannya.
Antara alasan-alasan yang dikemukakan oleh Mahmud Pasya ialah:
· Dalam Sahih Bukhari disebut ketika anak Rasulullah SAW iaitu Ibrahim
wafat, telah berlaku gerhana matahari iaitu pada tahun ke 10 Hijrah dan
Nabi Muhammad SAW ketika itu berusia 63 tahun.
· Berdasarkan
kaedah kiraan falak, diketahui bahawa gerhana matahari yang berlaku
pada tahun 10H itu adalah bertepatan dengan 7hb. Januari 632M pukul
8.30 pagi.
· Berdasarkan kepada kiraan ini, sekiranya kita
undurkan 63 tahun ke belakang mengikut tahun qamariah, maka kelahiran
Nabi SAW jatuh pada tahun 571M. Berdasarkan kira-kira yang telah dibuat
beliau, 1hb. Rabiul Awwal menepati 12hb. April 571M.
·
Perselisihan pendapat berlaku tentang tarikh kelahiran Nabi SAW,
walau-bagaimanapun semua pihak telah sepakat mengatakan ia berlaku pada
hari Isnin bulan Rabiul Awwal.
Mereka hanya berselisih tentang
tarikh di antara 8 hingga 12 haribulan dalam bulan Rabiul Awwal
tersebut. Tetapi Mahmud Pasya mendapati hari Isnin jatuh pada 9hb.
Rabiul Awwal bersamaan 20hb. April 571M. Ini menguatkan lagi pendapat
ulama-ulama muktabar yang telah disebutkan di atas. Di antara penulis
sirah mutaakhir yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Muhammad Al
Khudhori Bik di dalam Nurul Yaqin (hal. 6), Safiyyul Rahman Al
Mubarakpuri di dalam Ar Rahiqul Makhtum (hal. 54), 'Allamah Sibli
Nu'mani di dalam Siratun Nabi (jld. 1, hal. 176), Maulana Abul Kalam
Azad di dalam Rasul Rahmat (hal. 37) dan lain-lain.
Berhubung
dengan tarikh wafat Nabi Muhammad SAW pula, beberapa perkara yang telah
diterima oleh ulama hadis dan sirah perlu diletakkan dihadapan untuk
menentukan tarikhnya iaitu:
· Tahun kewafatan Baginda SAW ialah 11H.
· Dalam bulan Rabiul Awwal.
· Antara 1hb. hingga 12hb.
· Hari Isnin. (Sahih Muslim, jld. 8, hal. 51-52).
· Hari wuquf di Arafah dalam Haji Wada' pada 9 Zulhijjah tahun ke 10H
jatuh pada hari Jumaat. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2,
hal. 15, Sahih Al Bukhari, Sahih Muslim, dll).
· Daripada hari
itu (wuquf) sampai kepada hari wafatnya Nabi Muhammad SAW adalah 81
hari. (Tafsir Al Quraanul ‘Adzim, Ibnu Katsir, jld. 2, hal. 15, At
Tafsir Al Kabir, Fakhrul Razi, j. 11 hal. 139, Tafsir Baghawi, Fathul
Bari).
Berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah diterima
oleh para ulama tadi, maka boleh diandaikan tarikh kewafatan Baginda
SAW seperti berikut:
1. Diandaikan ketiga-tiga bulan Zulhijjah,
Muharram dan Safar mempunyai 30 hari (walaupun tidak pernah berlaku
begitu tetapi diandaikan mungkin juga berlaku) maka hari Isnin menepati
6 atau 13hb. Rabiul Awwal.
2. Jika diandaikan ketiga-tiga bulan
Zulhijjah, Muharram dan Safar mempunyai 29 hari (walaupun ini juga
tidak pernah berlaku) maka hari Isnin menepati 2, 9 atau 16hb. Rabiul
Awwal.
Daripada kenyataan-kenyataan yang
disebut di atas, tarikh yang lebih tepat bagi kewafatan Nabi SAW ialah
pada hari Isnin 1hb. Rabiul Awwal tahun 11H bersamaan dengan 25hb. Mei
632M
Wallahu 'alam.
(Dipetik dari Siri Risalah Suluhan terbitan Darul Quran Was Sunnah dengan sedikit pindaan)
Sumber: http://lenggangkangkung-my.blogspot.com/2012/01/tarikh-sebenar-hari-kelahiran-nabi.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan