Jumaat, 25 Januari 2013

Media sosial beri kesan baik dan buruk kepada Umno, kata Najib

Sabtu  26 Januari, 2013
KUALA LUMPUR, 26 Jan — Media sosial memberi kesan  baik dan buruk bagi Umno, kerana ia punca Barisan Nasional (BN) hilang majoriti tradisi dua per tiga di Parlimen pada Pilihan Raya 2008, kata Datuk Seri Najib Razak (gambar) semalam.
Perdana Menteri memberitahu Fareed Zakaria, wartawan kanan CNN dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Switzerland semalam, pengundi semakin terdidik dan berfikiran kritikal.
“Saya dapat melihat kelebihan dalam ICT, dan media sosial sebagai sesuatu yang baik, tetapi ada buruknya, mungkin menjadi kelemahan kita juga,” kata Najib dalam temubualnya bersama Fareed.
“Kita kena sedar bahawa pengundi tidak akan memberi undi berdasarkan apa yang kita lakukan pada masa dahulu,” katanya lagi.
Najib dan delegasinya berada di forum antarabangsa tahunan yang dihadiri 3,000 pemimpin seluruh dunia, termasuk pemimpin negara, perniagaan, hak asasi manusia, keagamaan dan media.
BN kehilangan dua per tiga majoriti tradisi dalam Parlimen pada pilihan raya 2008, menyaksikan empat buat negeri - Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor jatuh ke tangan PAS, PKR dan DAP, yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat (PR).
Najib menegaskan pengundi pada pilihan raya akan datang menekankan apa yang kerajaan mahu lakukan pada masa hadapan.
“Ini penting untuk kita sedari, bahawa tahap harapan rakyat semakin meningkat,” kata Najib, yang merupakan pengerusi BN.
Kira-kira 13.6 juta pengguna Facebook di Malaysia dari 28.3 juta penduduk, mewakili 48 peratus dari keseluruhan penduduk, menurut laman web socialbakers.com.
29 peratus pengguna Facebook di Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun.
Najib mempunyai 1.3 juta ‘peminat’ dalam laman Facebooknya, berbanding Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu 428,371 ‘peminat’.
Dalam masa laporan ini ditulis, Najib mempunyai 1.2 juta ‘pengikut’ Twitter, berbanding Anwar 234,607.
Penganalisis politik berpendapat rakyat Malaysia lebih menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat, yang menyebabkan ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk mendengar kata pengundi, dan tidak lagi bergantung kepada media arus perdana, menyaksikan penjualan akhbar semakin merosot dan tontonan di televisyen semakin berkurangan.
Apabila ditanya fokus Najib jika dilantik semula menjadi perdana menteri, Najib berkata, “Kita sudah berkata kepada orang ramai, tanpa segan silu, kita mahu menjadi negara maju menjelang tahun 2020, dan saya komited untuk menjadikannya satu kenyataan.”
Ditanya adakah Anwar menjadi musuh ketat beliau, perdana menteri menjawab: “Saya percaya rakyat akan melihat agenda kita untuk negara lebih berkredibiliti.”
Pada pilihan raya ke-13 yang akan dilangsungkan selewat-lewatnya April, akan menyaksikan pertarungan sengit, dengan kajian dari Universiti Malaya menyaksikan pengundi muda mewakili majoriti dalam pengundi atas pagar.
malaysiasinsider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan