Selasa, 1 Januari 2013

Sambutan tahun baru vs Maulidur Rasul mana lebih bidaah?

 
Selasa 1 Jan.2013

Ahmad Baei Jaafar

Sambutan Maal Hijrah sudah berlalu, namun isu hijrah terus diperkatakan oleh penceramah atau pendakwah setiap hari. Sambutan ini berjalan dengan baik walaupun nama asal diubah daripada tahun baru hijrah ke Maal Hijrah. Tidak ada pihak yang mendakwa bidaah tentang sambutan itu. Mungkin kerana mengenangkan hijratun Nabi.
Kita sekali lagi akan berhadapan dengan tahun baru Masihi yang biasanya dimulakan pada tengah malam atau awal pagi 1 Januari. Walaupun ramai anak-anak orang Melayu Islam terlibat dalam program sambutan itu tetapi tidak juga dikeluarkan kenyataan bahawa sambutan itu mengandung unsur-unsur bidaah. Barangkali kerana sambutan itu tidak ada kena mengena dengan Islam.
Tidak siapa yang boleh menafikan, setiap kali sambutan tahun baru anak-anak remaja Melayu turut terlibat bersama-sama dengan rakan-rakan Kristian. Mereka berhibur dan bersuka ria sepanjang malam sehingga ke Subuh. Cuma kita tidak pasti adakah mereka turut minum air syaitan atau tidak tetapi biasanya pada bulan September atau lebih awal dari itu, kedapatan gadis-gadis Melayu membuang bayi sama hidup atau mati.
Namun sehingga ke hari ini tiada suatu tindakan pun untuk menghalang anak remaja kita untuk terlibat dalam sambutan itu. Bukan sahaja tidak ada larangan daripada pihak kerajaan, ulama juga tidak pernah mengusulkan satu kaedah pencegahan. Cuma yang ada ialah sungutan daripada ulama atau pendakwah mengenai mereka di pentas-pentas masjid dan surau. Sedangkan mereka yang bermasalah tidak pernah diberi peringatan.
Sambutan tahun baru inilah yang sepatutnya dibidaahkan terlebih dahulu oleh ulama. Mereka sepatutnya menyekat kemaraan remaja kita daripada berhimpun dengan aktibiti keagamaan sempena majlis itu. Ulama sukarela yang sanggup turun padang pada malam itu tidak ada. Sedangkan NGO Islam terlalu banyak di negara ini.
Walau bagaimanapun akhir-akhir ini kita rasa sedikit lega kerana pihak jabatan agama Islam negeri-negeri mula mengarahkan masjid dan surau mengadakan akitiviti tahlil atau yasin atau ceramah sempena tahun baru itu. Namun sambutan ini tetap melibatkan orang yang biasa ke masjid. Bagaimana dengan anak muda? Mereka tetap di pesta sambutan tahun baru.

Malidur Rasul disambut hambar
Sebenarnya sambutan tahun baru itu boleh disambut oleh umat Islam kerana kiraan tahun itu bermula daripada tarikh kelahiran Nabi Isa al-Masyih. Baginda juga nabi yang wajib kita percayai. Oleh sebab itu sambutan kita mesti berlainan sedikit daripada yang selalu disambut oleh orang Kristian.
Walau bagaimanapun sambutan itu tidaklah sewajarnya lebih hebat daripada sambutan Maulidur Rasul kerana sambutan ini adalah untuk mengenang tarikh kelahiran Rasulullah. Kelahiran baginda membawa cahaya kepada umat Islam manusia amnya. Oleh sebab itu sambutannya perlu dirancang agar benar-benar memberi erti kepada kelahiran.
Lazimnya masyarakat Islam di sini akan membaca berzanji dan marhaban sebelum membuat jamuan. Bagi memeriahkan lagi sambutan diadakan sedikit ceramah bagi membangkitkan kesedaran tetang Rasulullah. Bagi yang pertama kali mendengar kisah kelahiran dan perjuangan baginda akan rasa insaf.
Tetapi di pihak kerajaan sambutan itu dimulakan dengan acara perarakan dengan bawa sepanduk dan slogan yang membangkitkan kesedaran tentang kehebatan Rasulullah. Acara itu akan berakhir dengan penganugerahan tokoh bagi mengenang jasanya kepada Islam. Walaupun sambutan ini agak besar namun sebahagian besar umat Islam mengambil peluang hari cuti itu untuk berhibur.
Sepatutnya kerajaan mengambil pendekatan yang baru bagi mengajak semua umat Islam terlibat dalam sambutan itu. Selain perhimpunan yang melibatkan beberapa pegawai kerajaan seluruh rakyat perlu diajak menghayati erti kelahiran Rasulullah melalui aktiviti lain. Kalau ceramah itu suatu yang mungkin membosankan mereka, boleh dihidangkan dengan konsert Maulid Berzanji versi baru.
Umat Islam yang hambar terhadap sambutan Maulidur Rasul perlu diberi kesedaran semula sama seperti sambutan tahun baru. Persembahan pentas boleh dipelbagaikan acaranya supaya setiap pengisiannya boleh menyuburkan jiwa mereka ke arah mengenali Rasulullah.
Percayalah kalau gerakan ini boleh dimulakan, pasti suatu hari nanti umat Islam akan menunggu sambutan Maulidur Rasul sama seperti menunggu hari raya. Mereka tahu dengan sambutan itu boleh membaharui jiwa mereka ke arah kebaikan.

Bidaahkah sambutan itu
Asas kepada sambutan Maulidur Rasul ini ialah zaman tabi’-tabi’in yang sebahagian besar umat Islam leka dengan dunia mereka. Mereka lupa untuk mengingati Rasulullah malah sebahagiannya sudah tidak mengenali Rasulullah meskipun mereka Bergama Islam. Urusan dunia membuatkan mereka tidak sempat mempersembahkan kisah nabi kepada anak-anak mereka.
Menyedari keadaan inilah, ulama memikirkan strategi untuk mengajak umat Islam mengingati Rasulullah. Di sinilah Jaafar al-Barzanja menulis sebuah kisah Rasulullah dalam bentuk berzanji. Ada di dalamnya prosa, gurindam, sajak atau puisi. Kemudian kisah itu dipersembahkan kepada umat Islam.
Persembahan itu tidak dibantah oleh ulama pada zaman itu. Tetapi anehnya pada zaman akhir ini, sambutan itu dikatakan bidaah berdasarkan hadis umum seperti berikut:
Dari ‘Abdullah bin ‘Ukaim, bahawasanya ‘Umar rodhiyallahu ‘anhu berkata:“Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah perkataan Allah dan sesungguhnya sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW dan seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan, ketahuilah sesungguhnya setiap yang diada-adakan adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat dan setiap kesesatan ada di neraka.” (Dikeluarkan oleh Ibnu Wadhdhah dalam Al-Bida’ hal.13 dan Al-Laalikaa`iy hadits ke 100 (1/84))
Persoalannya, adakah semua yang Rasulullah buat kita kena buat atau setiap yang rasulullah tak buat kita tidak boleh buat. Ya, perbuatan Rasulullah ada yang haram kita lakukan. Jadi, tidaklah mana yang Rasulullah tidak buat kita tidak boleh buat.
Dalam kehidupan dunia ini banyak perkara yang tidak pernah dibuat oleh Rasulullah terpaksa kita lakukan. Kalau semua itu dikatakan bidaah tentulah kita tidak boleh buat apa-apa. Sebenarnya bidaah sendiri bermaksud buat perkara baru. Secara lojiknya buat perkara baru baguslah.
Benar, ada juga perkara baru yang tidak baik dan merosokkan. Maka sebab itu mana-mana perkara baru yang menyalahi prinsip Islam dan hukumnya adalah salah. Itulah yang dikatakan bidaah dolalah. Umat Islam menyedari perkara itu menyalahi hukum dan prinsip Islam eloklah dihentikan amalan itu.
Merujuk kepada sambutan maulidur Rasul, perenggan mana yang bercanggah dengan prinsip? Amalan mana yang bertentangan dengan hukum dan prinsip? Maksud dan tujuan apa yang bercanggah dengan hukum Allah dan amalan Rasul? Adakah memuji dan menyanjung Rasulullah sesuatu dilarang oleh baginda?
Semoga selepas itu tidak ada lagi pihak yang suka membuat komen bodoh dengan mendakwa sambutan Maulidur Rasul itu bidaah. Walau bagaimanapun kalau sambutan yang akan diadakan itu mengandungi unsur-unsur kejahatan dan maksiat seperti persembahan konsert oleh arti wanita yang mendedahkan aurat, bolehlah kita menyebutnya bidaah. Rosak satu bahagian maka akan rosak seluruh kecuali dibatalkan perkara yang rosak itu.
Selain itu saya mengajak semua cerdik pandai Islam khusus yang suka membidaahkan orang lain agar beralih pandangan kepada amalan lain yang sudah pasti bidaah. Maksud saya, mengadakan konsert amal, persembahan terter dan banyak lagi yang melalaikan umat Islam. Lebih baik mereka itu ditegur daripada menegur amalan yang boleh menyedarkan umat Islam daripada tidur yang panjang.
Jelas di sini, sambutan maulidur Rasul boleh dikawal agar tidak dicop sebagai bidaah. Malah banyak lagi amalan yang lain boleh diperbetulkan kedudukannya agar tiada lagi bidaah di Negara ini.
fikrahislamiah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan