Halimah Speaker wanita pertama
15 Jan 2013
SIDANG PERTAMA 2013: Parlimen memulakan sidang bagi tahun 2013 dengan pelantikan Speaker baru, Cik Halimah Yacob.
- Foto THE STRAITS TIMES
PENGHORMATAN
dan pujian diberikan kepada Cik Halimah Yacob dalam sidang parlimen
semalam yang secara rasmi memilih beliau selaku Speaker Parlimen, dengan
ketua dewan, Dr Ng Eng Hen, dan beberapa Anggota Parlimen (AP)
menyifatkan beliau sebagai seorang wanita yang berkebolehan dan amat
sesuai menyandang jawatan tinggi itu.
Mereka yang berucap semalam, termasuk AP GRC Moulmein-Kallang, Cik Denise Phua, juga melahirkan rasa bangga atas pencapaian Cik Halimah yang mencipta sejarah sebagai Speaker wanita pertama dalam sejarah Singapura.
Rasa hormatnya kepada Cik Halimah sebagai rakan perjuangan politik wanita yang berkebolehan disimpulkan dengan menggelar Cik Halimah, bukan saja sebagai Puan Speaker malah sebagai Kakak Halimah.
"Penantiannya sudah cukup lama sejak hari beliau memasuki politik dalam 2001 kepada hari beliau dipilih menyandang jawatan penting ini... Kakak Halimah, semoga tempoh anda sebagai Speaker dewan ini berjalan dengan amat lama sekali. Tahniah," kata Cik Phua, diikuti dengan tepukan para anggota dewan.
Pencalonan Cik Halimah dibuat Cik Phua dengan AP GRC Holland-Bukit Timah, Encik Chris de Souza, menyokong pencalonan itu.
Setelah Cik Halimah mengambil tempat di kerusi Speaker, Dr Ng berdiri untuk berucap, bermula dengan pengiktirafan "Madam Speaker" atau Puan Speaker - sesuatu yang beliau kata digunakan buat pertama kalinya di dalam dewan.
Dr Ng yang juga Menteri Pertahanan berkata, meskipun keadaan di mana Cik Halimah dilantik adalah 'dikesali' - ekoran peletakan jawatan Encik Michael Palmer menyusuli hubungan sulitnya - Dewan yakin bahawa pengalaman yang mendalam serta latar belakangnya di dalam bidang guaman akan memastikan Cik Halimah melaksanakan tugas secara saksama dan tegas.
Cik Halimah telah mewakili GRC Jurong sejak 2001 dan dilantik Menteri Negara Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan yang kini dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, pada 2011.
"Puan, anda begitu sesuai untuk memegang jawatan ini. Dipilih sebagai AP pada 2001, anda dengan cepat meraih reputasi sebagai seorang ahli dewan yang aktif dan pemimpin kesatuan NTUC. Dalam peranan tersebut, anda memperjuangkan hak dan kebajikan para pekerja, khususnya terhadap layanan yang tidak adil, gaji rendah dan amalan diskriminasi.
"Keghairahan anda termasuk mengurangkan masalah yang dihadapi kaum wanita, keluarga dan anak-anak. Anda terus berjuang untuk mendapatkan lebih bantuan demi menyelamatkan keluarga pincang terutama agar anak-anak mereka boleh keluar daripada lingkaran musibah.
"Meskipun kita kini akan kehilangan sumbangan anda di dalam Pemerintah, pengalaman mendalam bersama dengan latihan guaman anda melengkapkan anda untuk menjadi seorang Speaker yang berkesan.
"Justeru Dewan ini melahirkan keyakinan sepenuhnya anda akan melaksakanan tugas secara saksama dan mengekalkan mutu tinggi Parlimen ini," kata Dr Ng.
Pemilihan beliau sebagai Speaker, kata Dr Ng, tiba tatkala satu tempoh yang sibuk bagi Parlimen tahun ini, termasuk perdebatan mengenai Kertas Putih Pemerintah mengenai Penduduk dan beliau menjangkakan Cik Halimah akan melaksanakan perdebatan Parlimen secara tegas dan saksama.
Lima AP turut bangkit untuk mengucapkan tahniah kepada Cik Halimah.
Dr Mohd Maliki Osman (GRC East Coast), berkata siling kaca yang dipecahkannya menjadi inspirasi kepada masyarakat Melayu/Islam.
Cik Josephine Teo (GRC Bishan-Toa Payoh) pula berkata Cik Halimah merupakan seorang yang tidak jemu-jemu memperjuangkan isu wanita dan seorang ahli kesatuan yang disegani di peringkat antarabangsa.
Para AP turut melahirkan penghargaan kepada Encik Palmer, sebelum Cik Halimah bangkit untuk berucap.
Akur dengan tanggungjawab yang diberikan, Cik Halimah yakin beliau akan mendapat sokongan dan kerjasama untuk melaksanakannya.
Meskipun tidak lagi terlibat dalam perdebatan Parlimen, Cik Halimah berjanji akan terus menyumbang dan mengetengahkan pandangan melalui saluran lain.
"Para anggota mungkin mempunyai pandangan berbeza dan saya jangkakan perdebatan untuk menjadi rancak. Saya percaya satu penilaian rapi ke atas dasar-dasar dan undang-undang akan memastikan satu yang jelas dan penggubalan dasar yang lebih kukuh bagi mencerminkan keperluan masyarakat kita," kata Cik Halimah.
Sementara itu, Jawatankuasa Pusat NTUC telah melantik Cik Halimah sebagai Penasihat NTUC bagi Ehwal Antarabangsa berkuat kuasa semalam.
Dalam satu kenyataan semalam, NTUC berkata pihaknya dapat meraih kepakaran, pengalaman dan kedudukan baik Cik Halimah di arena antarabangsa dalam mengetengahkan isu-isu buruh.
cyberita

Tiada ulasan:
Catat Ulasan