Isnin, 15 Oktober 2012

Status Farhan: Kafa rayu FAM

Farhan
Farhan terlepas aksi final selepas mengumpul kad kuning kedua di Shah Alam, Jumaat lalu.
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu penggantungan penyerangnya, Mohd Norfarhan Muhammad.

Penyerang The Red Warriors (TRW) itu digantung daripada aksi final Piala Malaysia 2012 selepas menerima dua layangan kad kuning (pertama di Kota Bharu, kedua di Shah Alam) ketika menentang Selangor.


“Pihak Kafa akan cuba membuat rayuan berhubung isu penggantungan yang dikenakan ke atas Farhan bagi membolehkan beliau beraksi kembali pada perlawanan akhir nanti,” kata Pengurus TRW, Azman Ibrahim.


Azman mengakui ketiadaan penjaring tunggal ketika bertemu Red Giants pada separuh akhir pertama itu serta tonggak utama Mohamed Ghadar yang turut digantung menjejaskan kekuatan TRW dalam melunaskan Misi 03 iaitu mencari trofi kejuaraan terakhir.


Mengulas mengenai pertemuan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sabtu ini di Shah Alam, Azman berkata, tumpuan pasukan kini adalah persediaan mental dan fizikal.


“Kekuatan ATM tidak perlu disangkal, mereka memiliki pemain cukup berpengalaman seperti Hairuddin Omar dan import Bruno Sebastian Marteloto dan dibarisi ramai pemain kebangsaan itu sudah cukup menambah tekanan pemain.


“Dengan baki empat hari lagi, kami perlu pastikan pemain benar-benar bersedia mental dan fizikal agar mampu mengatasi tekanan,” katanya.


Menurutnya, keadaan amat berbeza ketika bertarung di pentas akhir, namun berbekalkan keyakinan tinggi dan rekod tidak pernah tewas kepada ATM, Azman yakin pasukan mampu beraksi lebih baik.

sinarharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan