Selasa, 30 Oktober 2012

Norshahrul terbaik

DARI kiri, Rozaimi, Khairul Fahmi, Aidil Zafuan, Norshahrul, Sathianathan dan Safiq memegang trofi masing-masing pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 di Shah Alam semalam.


JIKA Kelantan gah dengan gelaran trebel musim ini, skrip yang sama juga boleh digunakan untuk penyerang prolifik mereka dan pasukan negara, Norshahrul Idlan Talaha apabila mempertahankan kemenangan bagi kategori Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai buat tahun ketiga berturut-turut pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 yang berlangsung di Shah Alam, Selangor semalam.
Norshahrul, 26, menewaskan empat pemain lain dalam dua kategori iaitu pemain Selangor, Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Norfarhan Mohamad (Kelantan) bagi kategori Penyerang Terbaik manakala bagi kategori Pemain Paling Bernilai, dia mengalahkan Mohd. Badri Radzi (Kelantan) dan Hairudin Omar daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Saya bersyukur kepada Allah atas kejayaan buat kali ketiga berturut-turut ini dan jutaan terima kasih kepada juri yang memilih saya untuk memenangi anugerah ini.
“Kemenangan ini juga boleh dianggap hadiah peribadi saya kepada isteri dan keluarga serta untuk anak saya yang bakal lahir tidak lama lagi dan buat seluruh peminat yang menyokong kerjaya saya selama ini,” kata Norshahrul.
Selain itu, Norshahrul turut memberitahu bahawa perkara terpenting yang perlu ada dalam diri seorang pemain bola sepak untuk berjaya adalah kemahuan serta disiplin yang tinggi.
“Bagi saya, apa yang penting adalah latihan yang berterusan serta sentiasa berusaha untuk menjadi pemain yang lebih baik pada setiap masa,” katanya yang enggan mengulas mengenai spekulasi perpindahan ke pasukan Johor musim hadapan.
Katanya lagi, dia kini hanya menumpukan kepada kem latihan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki 2012 dan jika ada sebarang keputusan rasmi, dia akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.
Selain itu, bagi kategori Penjaga Gol Terbaik, pemain Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat turut mempertahankan gelaran tersebut yang dimenanginya tahun lalu apabila mengatasi dua rakan sepasukan dalam pasukan kebangsaan, Farizal Marlias (Negeri Sembilan) dan Norazlan Razali (Selangor).
Kategori Pertahanan Terbaik dimenangi Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak (ATM), Pemain Tengah Terbaik pula dimenangi kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim (Selangor) manakala bintang muda Sabah, Mohd. Rozaimi Abdul Rahman meraih anugerah Pemain Harapan Terbaik.
Dalam pada itu, bagi kategori Jurulatih Terbaik, ia dimenangi oleh B. Sathianathan serta kategori baharu diperkenalkan, Pemain Import Terbaik dimenangi Marlon Alex James yang kedua-duanya mewakili pasukan ATM.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan berjaya memenangi anugerah Persatuan Bola Sepak Negeri Terbaik, Sime Darby FC pula meraih gelaran Kelab Bola Sepak Terbaik manakala Kelab Penyokong Bola Sepak Terbaik dimenangi oleh ATM.
Bagi Anugerah Khas Bola Sepak Kebangsaan 2012, ia diberikan kepada Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat dan Anugerah Khas Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan diberikan kepada Bahagian Pembangunan Sukan Kementerian Pelajaran manakala Pengadil Terbaik dimenangi Nafeez Abd. Wahab.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Subahan Kamal serta Pengurus Perhubungan Korporat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Cariessa Goh yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Anugerah anjuran FAM yang mendapat kerjasama 100PLUS serta Astro Arena itu telah memasuki tahun keenam penganjurannya.
kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan