Ahad, 21 Oktober 2012

Hadiah buat penyokong


PEMAIN dan pegawai pasukan Kelantan meraikan kemenangan mereka selepas muncul juara Piala Malaysia hasil kemenangan 3-2 ke atas ATM pada final di Stadium Shah Alam kelmarin.

"KEMENANGAN yang terlalu bermakna dan ini adalah hadiah untuk seluruh peminat dan penyokong The Red Warriors yang tidak pernah jemu untuk memberi sokongan kepada pasukan."
Itu komen pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim selepas Kelantan berjaya merangkul Piala Malaysia setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dan seterusnya mencipta sejarah baharu bola sepak negeri itu selepas melengkapkan gelaran trebel untuk musim 2012.
Menurutnya, sepanjang bersama Kelantan, musim ini adalah musim yang paling mencabar bagi Kelantan yang dilanda pelbagai kontroversi seawal tirai musim 2012 dibuka namun, kekuatan yang ada pada seluruh pasukan dan peminat menjadikan musim ini terlalu bermakna.
"Ia merupakan perlawanan akhir yang cukup dramatik. Peluang kedua-dua pasukan seimbang namun, dalam bola sepak pasukan yang mampu menyudahkan peluang akan berjaya dan kita bernasib baik kerana berjaya menterjemahkan peluang untuk menghasilkan jaringan.
"ATM sebuah pasukan yang hebat, saya fikir jika Bruno (Martelotto) berjaya menyudahkan peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit-minit terakhir perlawanan, keputusannya mungkin berbeza. Walau apa pun, ia merupakan kejayaan yang cukup manis buat The Red Warriors," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, Kelantan turun dengan semangat yang cukup tinggi untuk merampas semula Piala Malaysia selain misi melengkapkan koleksi piala selepas berjaya memenangi Piala FA dan Liga Super sebelum ini.
Katanya, biarpun berdepan pelbagai kontroversi dan masalah daripada awal musim sehingga ke perlawanan akhir apabila dua penggempur utama, Muhammad Ghaddar dan Norfarhan Muhammad digantung tetapi, semangat yang ada pada pasukan melebihi segala-galanya.
"Kita berdepan masalah sejak awal liga bermula termasuk masalah dengan jurulatih Peter Butler, persembahan pemain import dan sehinggalah ke perlawanan terakhir malam semalam (kelmarin), dua pemain kita digantung.
"Saya fikir, masalah-masalah yang wujud itu menjadikan kita lebih kuat dan The Red Warriors kini menjadi sebuah pasukan yang digeruni. Kita membuat pilihan yang betul mendapatkan jurulatih Bojan Hodak dan dia berada pada kelas tersendiri untuk membawa Kelantan ke tahap ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Azman turut memuji kekuatan yang ada pada pasukan ATM yang dianggap sebagai antara pasukan terbaik yang sedang dalam pembikinan.
"Mereka adalah pasukan berkelas Liga Super dan akan menjadi pesaing The Red Warriors musim depan. Mereka juga memiliki jurulatih hebat, B. Sathianathan."
kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan