Ahad, 21 Oktober 2012

Arab Saudi beri jaminan jemaah haji selamat

JEMAAH haji mengelilingi Kabah di Masjidil Haram di Kota Mekah kelmarin.

Isnin 22 Okt.2012 MEKAH - Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Ahmad Abdul Aziz memberi jaminan kepada umat Islam yang berkunjung ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji bahawa mereka selamat daripada tempias pergolakan yang sedang berlaku di Syria dan beberapa wilayah terdekatnya.
Putera Ahmad berkata, kerajaan Arab Saudi sentiasa komited bagi memastikan musim haji tahun ini berjalan lancar dan bebas daripada suasana kucar kacir.
Apabila ditanya sama ada penyokong pro-Presiden Bashar Al-Assad boleh lolos masuk ke negara berkenaan dengan menyamar sebagai jemaah haji untuk mencetuskan kekacauan, beliau memberitahu: "Mereka yang melakukan ibadah haji terdiri daripada umat Islam dan sebagai seorang saudara seagama, mereka tidak akan menyakiti antara satu sama lain, lebih-lebih lagi ketika musim haji.
"Namun, sesiapa yang cuba untuk menggunakan musim haji ini bagi tujuan politik, mereka akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing," tegasnya.
Arab Saudi sebelum ini menyokong perjuangan pemberontak Syria yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria.
Sebelum ini, duta Arab Saudi ke Lebanon memberitahu bahawa kerajaannya memberikan visa kepada pelarian Syria yang mendapatkan perlindungan di Lebanon, Turki dan Jordan untuk menunaikan haji.
Kenyataan tersebut menyangkal dakwaan agensi berita Syria, SANA pada September lalu bahawa Riyadh melarang rakyat Syria memasuki kota suci itu bagi mengerjakan haji.
Majoriti penduduk Syria merupakan pengikut ajaran Sunnah manakala kepimpinan Syria dikuasai oleh pengikut Syiah Alawi.
Setakat ini, sekitar 1.6 juta jemaah telah tiba di kota suci ini bagi menunaikan ibadah haji dengan lebih 2.5 juta umat Islam mengerjakan rukun Islam kelima itu tahun lalu.
Setiap negara Islam diberikan kuota 1,000 jemaah haji untuk setiap sejuta penduduk dengan jemaah haji terbesar di dunia iaitu 200,000 orang datang dari Indonesia. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan