Isnin, 12 Disember 2011

Kesatuan: Susulan SBPA, elaun dan pelarasan dikaji semula 2013-2014

Selasa December 13, 2011
KUALA LUMPUR, 13 Dis — Kajian semula elaun dan pelarasan gaji kakitangan awam dijangka dilakukan secara berperingkat-peringkat pada 2013 dan 2014 susulan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) tahun depan, kata pemimpin Cuepacs. The Malaysian Insider difahamkan kerajaan meletakkan sasaran dua tahun itu masing-masing bagi mengkaji semula lebih 100 jenis elaun melibatkan 1.4 juta kakitangan awam dan kemudian pelarasan gaji mengambil kira keadaan semasa.
“Mengikut maklumat yang kami terima, yang diberikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam semasa taklimat SBPA baru-baru ini, kerajaan mahu melaksanakan satu persatu, di mana tahun ini kajian semula sistem saraan baru, daripada Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada SBPA.
“Kemudian tahun depan, kami iaitu Cuepacs dan JPA akan meneliti soal keperluan mengkaji semula elaun-elaun yang ada, yang diterima oleh kakitangan awam, dan kemudian pelarasan tahun pada 2014,” kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan ketika dihubungi The Malaysian Insider.
NUTP merupakan antara kesatuan gabungan terbesar dalam Cuepacs. Setiausaha Agungnya juga merupakan setiausaha agung Cuepacs.
Jika kajian yang akan dilakukan pada tahun depan mendapati sesuai dan perlunya elaun-elaun yang diterima kakitangan awam diubah dan dinaikkan selari dengan SBPA, kata Hashim, perkara itu akan dilakukan pada 2013.
“Begitu juga dengan pelarasan gaji, kajian semula akan dimulakan pada tahun 2013, dan jika ada keperluan, maka pelarasan  gaji akan dibuat pada 2014,” katanya.
Pada sidang media sempena pelancaran SBPA pada Rabu lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, SBPA yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2012 hanya melibatkan semakan gaji, bukannya pelarasan gaji.
Di bawah SBPA, kerajaan memperkenalkan sistem gaji sebaris berbanding tiga baris di bawah SSM.
Pengenalan SBPA melibatkan kenaikan kos hampir RM2 bilion.
Malah ia juga tidak melibatkan sebarang perubahan dalam elaun-elaun diterima, khususnya elaun kos sara hidup, elaun perumahan dan elaun keraian.
Selain itu ada sekitar 170 jenis elaun dinikmati oleh kakitangan awam mengikut gred dan skim masing-masing.
Cuepacs akan mengadakan mesyuarat tiga hari mulai esok di Perlis bagi membincangkan kesan dan implikasi pelaksanaan SBPA.
Pekeliling pelaksanaan SBPA menyebut bahawa prinsip, kadar dan syarat-syarat bayaran imbuhan tetap yang berkuat kuasa dikekalkan di bawah SBPA.
Mengikut pekeliling itu, terdapat 119 jenis elaun dibayar kepada kakitangan awam kategori umum manakala perkhidmatan pendidikan pula menawarkan 37 jenis elaun.
Menurut pekeliling SBPA berkaitan perkhidmatan pendidikan, Imbuhan Tetap Perumahan, Bayaran Bantuan Menyelenggara Rumah, Imbuhan Tetap Keraian, Imbuhan Tetap Jawatan Utama dan Bantuan Pembantu Rumah kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) dikekalkan.
“Bagaimanapun, Imbuhan Tetap Keraian dan Imbuhan Tetap Jawatan Utama digabungkan menjadi Imbuhan Tetap Jawatan Premier, manakala Imbuhan Tetap Perumahan dan Bayaran Bantuan Menyelenggara Rumah digabungkan menjadi Imbuhan Perumahan Premier.
“Kadar bagi Imbuhan Tetap Jawatan Premier dan Imbuhan Perumahan Premier serta Bantuan Pembantu Rumah adalah seperti ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2011,” kata pekeliling itu sambil menambah, pPelaksanaan SBPA tidak mengubah pemberian Imbuhan Tetap, elaun dan kemudahan yang sedang berkuat kuasa.
“Bagaimanapun, terdapat pindaan bagi kadar dua bayaran insentif yang ditetap berdasarkan gaji pokok yang terpakai bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi PPP iaitu Bayaran Insentif Pedalaman dan Bayaran Insentif Wilayah adalah ditambat pada kadar gaji bulan ini.
“Sebarang pindaan kepada peraturan pelaksanaan mengenai pemberian elaun dan bayaran insentif serta skop pemakaiannya akan dikeluarkan secara berasingan,” kata pekeliling itu lagi.
Menurut SBPA, pewujudan Pelan Induk Saraan Perkhidmatan Awam (PISA) bagi melaksanakan rombakan sistem saraan perkhidmatan awam secara tersusun.
Ia menekankan aspek pengekalan prinsip-prinsip saraan yang berkuat kuasa dengan penambahan empat prinsip baru iaitu kadar upah untuk kerja mengikut Kumpulan Perkhidmatan, kadar upah untuk individu berdasarkan bakat, keupayaan dan pengalaman, kadar upah untuk kerja bagi individu serta kadar upah tambahan untuk kerja mengikut prestasi.

sumber:malaysiainsider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan