Tasbih, Tahmid dan Tahlil Isytihar Kemenangan Islam
Oleh Ahmad Baei Jaafar
Sebaik-baik sahaja Pemegang Mohor Raja-Raja Melayu mengisytiharkan esok adalah hari raya Aidilfitri, maka berkumandanglah takbir raya di stesen-stesen radio dan televisyen. Walaupun sekadar rakaman, takbir yang dialun mendayu itu begitu menyentuh kalbu dan menerbitkan rasa sayu dihati lalu teringat akan kampung halaman. Demikian perasaan mereka yang tidak dapat pulang ke kampung kerana bertugas. Tetapi lain pula bagi mereka yang sudah berada di kampung atau sedang dalam perjalanan pulang, terbayang dalam fikiran mereka kegembiraan berhari raya di kampung.
Timbul persoalan di sini, dalam kesyahduan menikmati gema takbir berapa ramai dalam kalangan kita yang turut sama bertakbir? Realitinya mereka yang tidak pulang ke kampung, mungkin dek kerana sibuk membuat persiapan akhir mengemas rumah atau menyediakan juadah hari raya seperti membuat ketupat, terus terleka dan asyik sehingga tidak bertakbir. Alangkah baiknya jika pada waktu itu, sambil membuat persiapan kita turut sama bertakbir seiring takbir yang dikumandangkan di radio atau televisyen. Dan kalau takbir itu sudah tamat, kita boleh terus mengumandangkannya sendiri bagi menyemarakkan suasana malam raya. Ya, senario begitulah yang belum menjadi realiti dalam masyarakat Islam kita hari ini dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memperbetulkannya.
Demikian juga dengan mereka yang sudah berada di kampung atau yang sedang dalam kenderaan untuk pulang ke kampung. Perjalanan yang memakan masa yang agak lama disebabkan jarak yang jauh atau keadaan jalan raya yang sesak pada malam raya itu sebaik-baiknya dimanfaatkan untuk bertakbir daripada dipenuhi dengan perbualan kosong yang mungkin bertujuan untuk memecah kesunyian bagi mengelakkan mengantuk. Mari sama-sama kita cetuskan tradisi yang akan diwarisi oleh generasi muda selepas kita.
Tanda Kemenangan
Tasbih, tahmid dan tahlil adalah pujian yang wajar diucapkan oleh umat Islam sebagai tanda. kemenangan selepas menghadapi ujian besar. Ya, sepanjang bulan Ramadan kita diuji dengan pelbagai latih tubi; segala yang halal serta merta diharamkan, ibadah pada bulan Ramadan ditawarkan ganjaran yang banyak berbanding pada bulan-bulan biasa bagi mereka yang membanyakkan ibadah lalu kita pun berlumba-lumba merebutnya.
Selain itu, walaupun gangguan syaitan sudah tiada kerana telah dirantai fizikalnya, kita masih dibekalkan nafsu yang sifatnya sangat mengajak kepada keburukan. Nafsu inilah yang cuba menghalang amalan yang cuba ditingkatkan, nafsu jugalah yang cuba menggagalkan usaha kebaikan sepanjang bulan Ramadan. Jika umat Islam berjaya melepasi ujian berat di atas terutama ujian nafsu, maka itulah kemenangan yang dimaksudkan.
Jadi, setelah kita berjaya melepasi ujian itu amat wajarlah kita mengucap syukur dengan bertasbih, bertahmid dan bertahlil kepada Allah. Walaupun merasakan masih gagal mencapainya, syukurilah juga atas kemenangan Islam keseluruhannya.
Syaitan dikatakan dirantai di penempatannya supaya tidak mengganggu manusia secara langsung. Namun, kita harus sedar bahawa ia masih boleh menyaksikan tindak tanduk manusia. Jika syaitan mahu menggoda tentu dengan perantaraan sistem kawalan jauh ia boleh dilaksanakan, lantaran sistem komunikasi antara musuh nombor satu manusia ini dengan nafsu yang masih terbuka luas.
Oleh sebab itu adalah menjadi keutamaan bagi umat Islam untuk mendidik nafsu agar tunduk kepada kehendak hati yang baik. Nafsu yang sudah dapat dijinakkan dalam bulan Ramadan pasti akan merosakkan hubungannya dengan syaitan. Di sini kita boleh melihat kepada perkembangan diri sendiri, apakah kita semakin baik pada bulan ini? Andainya bertambah baik, itulah kemenangan yang perlu disyukuri.
Kemenangan yang paling besar ialah sifat taqwa yang diberikan kepada umat Islam yang dapat mengatasi semua halangan. Mereka ini takut untuk melakukan dosa walaupun peluang sudah di hadapan mata. Mereka ini juga akan melakukan kebaikan sebanyak mungkin walaupun pelbagai halangan datang menduga. Dan mereka akan mencari peluang menabur kebajikan walaupun dalam keadaan yang sukar.
Atas rasa kemenangan itulah pada malam hari raya itu Rasulullah mengajak semua umat Islam mengalunkan pujian, tasbih, tahmid dan tahlil.
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَلَا نَعْبُدُ إِلَّا إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ. لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Bacaan ini biasanya kita baca sebagai penutup takbir raya iaitu:
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَالله أَكْبَرُ، الله أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Hari ini alasan tidak boleh mengalunkan takbir seperti mana petikan itu sudah tidak boleh diterima lagi kerana kita boleh mengikut takbir yang dikumandangkan di radio dan televisyen dan boleh juga merujuknya dalam majalah atau buku agama. Jadi, marilah kita meriahkan malam raya ini dengan takbir.
Waktu membaca
Secara umum pujian terhadap Allah tidak mempunyai had masa, tetapi bagi takbir raya terdapat waktu-waktu yang dikhaskan. Berdasarkan itu sebarang bacaan yang dilakukan di luar waktu tersebut tidak dikira sunah, malah sesetengah ulama meletakkannya sebagai makruh. Ini kerana bacaan takbir didatangkan dalam bentuk pakej untuk sambutan hari raya.
Takbir hari raya terbahagi kepada dua; takbir mursal dan takbir muqaiyat. Malangnya, kedudukan kedua-dua jenis takbir ini kurang diberi perhatian oleh umat Islam. Malah kadang-kadang atas kejahilan, mereka bertakbir bukan pada tempatnya.
Takbir mursal; takbir yang dibaca tanpa terikat pada solat atau tempat. Menurut definisi dalam kitab Mathla’l-Badrain m/s 48, disebutkan bahawa: “Takbir mursal dan iaitu takbir yang tidak mengiringi sembahyang.”
Maknanya takbir ini boleh dibaca pada waktu berjalan, dalam kenderaan, sewaktu menonton tv, memasak ketupat dan juga ketika di pasar. Dan waktunya pula bermula pada waktu maghrib (malam raya, sama ada hari raya haji mahupun hari raya puasa) dan berakhir apabila imam memulakan solat Aidilfitri ataupun Aidiladha.
Berdasarkan ini, mereka yang balik kampung pada malam raya boleh mengalunkan takbir itu secara beramai-ramai. Boleh juga bertakbir secara bergilir-gilir sehingga letih. Bagi mereka yang sedang memasak lemang misalnya boleh terus bertakbir, begitu juga mereka yang masih di pasar raya, bolehlah bertakbir secara perlahan. Dan akhirnya pada pagi sebelum menunggu solat hari raya, bertakbirlah beramai-ramai bagi menterjemahkan rasa syukur atas kemenangan mengharungi Ramadan dan kurniaan nikmat-nikmat daripada-Nya.
Takbir muqaiyat; takbir yang dibaca mengiringi solat sama ada fardu atau sunat dan terdapat sedikit perbezaan antara Aidilfitri dengan Aidiladha di sudut waktunya.
Aidilfitri; bermula selepas solat Maghrib satu Syawal hingga sebelum imam memulakan solat Aidilfitri. Ini bermakna selepas solat Maghrib boleh bertakbir. Dan setelah selesai solat sunat ba’diah Maghrib boleh bertakbir lagi. Begitu juga selepas solat sebelum solat Isyak, boleh bertakbir raya. Kemudian selepas solat Isyak dan selepas solat sunat yang mengiringinya. Begitu juga sewaktu bangun bertahajud, bolehlah bertakbir lagi. Bahkan andainya pada pagi raya itu diadakan solat jenazah, sunat juga bertakbir raya.
Walau bagaimanapun bagi mereka yang tidak melakukan solat raya atas sebab keuzuran dan tidak pula hadir sewaktu khutbah, dia boleh bertakbir hingga sebelum gelincir matahari. Begitu juga dengan mereka yang bersolat sendirian kerana tidak sempat bersama jemaah atas urusan tertentu, maka waktu akhir untuk bertakbir ialah sebelum mengangkat takbiratulihram untuk solat hari raya.
Aidiladha; takbir muqaiyatnya bermula pada subuh hari Arafah sehingga jatuh matahari hari akhir tasyrik. Waktu yang panjang ini memberi peluang umat Islam bertakbir dengan sebanyak-banyaknya. Maknanya kita di Malaysia boleh mulakan pada pagi 9 Zulhijah selepas solat Subuh. Kemudian jika mendirikan solat Duha, bolehlah bertakbir lagi. Takbir ini boleh dilanjutkan hingga selepas solat Asar 13 Zulhijah. Namun begitu kalau kita masuk masjid sebelum waktu maghrib, bolehlah lakukan solat sunat Wuduk dan Tahiyatul Masjid kemudian bertakbir raya selepasnya.
Takbir yang Diabaikan
Berdasarkan hukum ini, kita dapati ramai umat Islam yang tidak mengambil peluang yang baik ini untuk bertakbir raya, sekurang-kurangnya pada dua keadaan berikut:
1. Selepas solat Aidiladha, sama ada imam itu lupa atau tidak tahu, takbir raya tidak dikumandangkan selepas solat hari raya haji. Sedangkan takbir muqaiyat ini waktunya termasuk selepas solat sunat hari raya haji.
2. Selepas solat sunat, jarang kita lihat orang kita bertakbir raya selepas solat sunat Rawatib, Tahajud dan Tahiyatul Masjid. Jauh sekali bertakbir selepas solat jenazah.
Sebaliknya terdapat kesilapan pada dua keadaan berikut:
1. Bertakbir selepas solat Aidilfitri.
2. Bertakbir di rumah yang diziarahi selepas solat Aidilfitri.
Dua keadaan ini pernah berlaku walaupun tidak selalu. Meskipun tidak sampai kepada peringkat haram, amalan yang salah atas kejahilan ini amat tidak patut berlaku. Umat Islam mempunyai banyak peluang dan ruang untuk menambahkan ilmu pengetahuan dengan membaca, melayari Internet dan meneroka berbagai-bagai-bagai sumber maklumat. Maka peluang yang ada itu perlulah dimanfaatkan sebaik-baiknya agar segala amalan kita berteraskan ilmu yang tepat untuk dinilai oleh Allah sebagai ibadah di sisi-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan