Rabu, 3 Ogos 2011

Empat kelebihan yang merugikan

3 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Sesungguhnya terdapat EMPAT perkara di dunia ini yang sentiasa menjadi impian dan rebutan semua manusia tetapi ingatlah, jika tidak ditangani dengan baik dan sewajarnya, empat perkara tersebutlah yang akan menjadi halangan dan mala petaka kepada kita di akhirat nanti.

“ Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia; kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup didunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya ( iaitu Syurga ). A-LI IMRAAN 14.

Semua manusia dikurniakan akal dan nafsu. Dengan akal yang dikurniakan Allah, manusia mampu untuk mencari jalan dan berusaha bagaimana untuk mendapatkan apa-apa yang dihajatinya. Manakala dengan nafsu yang tidak dapat dikawal pula, adakalanya manusia terdorong untuk mendapatkan sesuatu yang dihajatinya dengan cara yang tidak betul dan terlarang. Manusia yang jahil dan sesat ini adakalanya bertindak luar dari kebiasaan semata-mata mengikut tuntutan hawa nafsu, bertindak di luar batasan akal fikiran yang normal kerana tidak sabar dalam memenuhi keinginan dan kemahuan mereka.

Sebaik-baiknya segala yang dihajati hendaklah diusahakan dengan cara dan kaedah yang dibenarkan Allah. Apabila kita mendapat sesuatu dengan cara dan kaedah yang betul, kita bukan sahaja akan berasa senang hati tetapi akan juga mendapat pahala dan ganjaran tambahan dari Allah, pahala kerana mengikut perintahNya dan dapat menikmati hasil usaha kita dengan rasa syukur yang tidak terhingga. Pangkat, harta atau rezeki yang kita perolehi sama ada untuk jangka panjang atau jangka pendek dengan kaedah dibenarkan Allah pasti dapat dinikmati dengan berlapang dada, tidak menyusahkan sesiapa dan tentunya tiada siapa yang sakit hati atau cemburu kepada kita.

Sebaliknya jika tambahan harta, wang ringgit, kenaikan pangkat, atau kesenangan yang didapati tanpa tatacara yang betul, sudah pasti lambat laun akan menyusahkan kita. Ada kemungkinan kita akan didakwa atas salah guna kuasa, rasuah, kehilangan sahabat serta rakan atau kawan dan adakalanya ditimpa musibah yang silih berganti. Lebih malang lagi selepas kita mati nanti, siksaan Allah yang amat pedih sedang menungggu kita..

Yang pertama ialah , “iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak:”

Allah jadikan manusia ini lelaki dan perempuan dan disediakanNya berpasang-pasang antara satu sama lain.

Secara semulajadi, setiap lelaki inginkan pasangan perempuan dan begitulash sebaliknya. Sebaik sahaja setiap seorang meningkat dewasa keinginan nafsu juga meningkat. Dalam usaha pencarian pasangan ini sepatutnya dilakukan secara berhemah dan bersopan tetapi kebelakangan ini ramai lelaki dan perempuan yang tidak menggunakan jalan atau cara yang betul.

Dalam usaha dan pencarian pasangan ini, ramai terjebak ke dalam pergaulan bebas yang melanggar hukum Allah. Pencarian selain daripada cara yang dibenarkan syarak adalah terlarang, hukuman Allah amatlah dahsyat. Kalaupun ada yang berjaya mencari pasangan masing-masing secara tidak betul, mereka tetap akan dimurkai Allah selagi mereka tidak bertaubat.

Ramai pasangan sebegini yang tidak kekal dan ada pula yang sentiasa berselisih faham sepanjang hidup kerana niat dan cara asalnya tidak diredhai Allah. Kemurkaan Allah akan bertambah lagi jika mereka menyakiti, mencederakan atau menganiayai orang lain. Sedangkan pasangan yang berkahwin melalui proses mukmin dan mukminah sejati pun banyak dugaan dan ujian Allah inikan pula mereka yang sebaliknya.

Adakalanya pula apabila seseorang itu telah dikurniakan pasangan yang cantik mempunyai kedudukan yang baik dan berharta pula, mereka lupa untuk bersyukur kepada Allah dan lalai untuk beribadat kepadaNya. Dalam usaha menstabilkan ekonomi rumahtangga, mereka tergamak terus-terusan melakukan penipuan untuk mendapatkan kekayaan dan wang ringgit, kononnya bagi menjaga dan mengambil hati pasangan masing-masing.

Semua nilai-nilai negatif ini amat disukai syaitan dan pasangan yang menjadikan syaitan sebagai rakan dan sahabat ini akan terus merasa tidak bersalah atas apa yang mereka lakukan.

Selepas berkahwin, dikurniakan anak, ada yang ramai, ada pula yang sedikit jumlahnya. Bagi setiap pasangan akan berusaha pula untuk memenuhi keperluan anak-anak mereka. Ramai daripada umat Islam akan mula lalai untuk beribadat kepada Allah sewaktu mereka membesarkan anak-anak mereka. Ada pasangan yang dikurniakan anak, kemudiannya akan diuji Allah dengan berbagai ujian dan cubaan bertujuan menguji tahap kesabaran mereka, ada yang diuji dengan gangguan kesihatan, tempat tinggal yang tidak sempurna, wang ringgit yang sentiasa tidak mencukupi, kenderaan yang selalu rosak dan lain-lain lagi.

Ada pula yang diuji dengan bayi yang tidak cukup sifat dan tidak sempurna fizikal mereka, contohnya cacat pendengaran, cacat penglihatan, cacat kaki tangan dan ada pula walau pun pada zahir tiada cacat fizikal tetapi sejak lahir asyik menangis tanpa henti, sentiasa tidak sihat dan perlukan belaian sepanjang masa.

Ramai para ibu dan bapa terlupa bahawa ini semua adalah ujian Allah. Pasangan yang menghadapi ujian yang mencabar seperti mendapat anak yang cacat, asyik menangis siang dan malam, perlukan rawatan atau belaian sepanjang masa, kerap terlalai, terlewat dan ada juga terus tidak bersolat.. Sesungguhnya belum pernah lagi kita mendengar bayi yang mati sewaktu ibu atau bapanya solat kerana masa yang diambil untuk solat tidaklah lama. Sesungguhnya menangguh atau melewatkan solat pun tidak disukai Allah, inikan pula jika terus meninggalkannya.

Malahan ada pula yang sampai menyalahkan Allah atas dugaan tersebut, na’uzubillah jangan ada ingatan begitu. Kerana semuanya adalah ujian Allah.

Firman Allah bermaksud, “ Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji lagi. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Ia mengetahui orang-orang yang dusta “ Al-Ankabut 2-3

Sesungguhnya tidak boleh sesiapa pun mengaku dia beriman dan beramal soleh sehingga mereka diuji Allah dengan segala kesusahan dan kesenangan dan dengan itu mereka tetap sabar melaluinya.

Sayugia diinsafi, bahawa perlakuan ibu dan bapa yang selalu menangguh, melewatkan atau meninggalkan solat akan dilihat oleh anak-anak dan mereka akan merasakan itu sebagai kebiasaan dan tidak salah dan bila mereka besar nanti contoh beginilah yang akan diikuti. Perbidalan Melayu ada mengatakan kemana kuah yang tumpah kalau tidak ke nasi. Oleh itu waspadalah kerana besar kemungkinan kalau ibu dan bapa berperangai buruk begitulah nanti anak-anaknya.

Sekiranya tidak berhati-hati, isteri yang cantik (termasuk suami yang kacak dan tampan) serta anak-anak yang ramai, tidak akan dapat membantu di akhirat nanti jika didikan dan asuhan yang diberikan serta perlakuan mereka bila dewasa tidak mengikut tuntutan Illahi. Sesungguhnya fitnah pertama bagi manusia ialah perempuan. Semua manusia tanpa mengira lelaki atau perempuan perlu sentiasa bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa sepanjang masa..

Yang kedua ialah , “harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak”

Firman Allah dalam al Quran, “ Sesungguhnya manusia itu tidak akan puas dengan harta yang mereka dapati, jika mendapat emas dan perak satu bukit pun mereka tetap inginkan beberapa bukit lagi……”

Mencari dan mengumpul harta tidak salah, malahan dalam Islam ia adalah dituntut sebagai persediaan untuk menghadapi saat-saat sukar kemudian hari tetapi perlulah dengan cara dan kaedah yang diredhai Allah.

Semua manusia lelaki atau perempuan, mukmin atau kufur sentiasa inginkan kesenangan, kemewahan pangkat dan harta yang banyak. Semuanya akan sentiasa berlumba-lumba berusaha untuk mencapai cita-cita mereka.

Bagi mereka yang kurang atau tidak beriman, ada kalanya sanggup melakukan perkara-perkara yang dilarang agama, menipu, mendapatkan harta atau rezeki dengan cara haram, mengamalkan riba malah ada yang sampai sanggup merompak dan membunuh selagi cita-cita tidak tercapai.

Amat mengecewakan jika ada di kalangan umat Islam yang berperangai seperti di atas lebih-lebih lagi jika melakukannya sewaktu membesarkan anak-anak mereka sedangkan anak-anak tidak mengetahuinya. Rezeki yang diberi makan akan menjadi darah daging anak-anak tersebut. Sesungguhnya anak-anak yang dibesarkan dengan rezeki yang haram akan membesar dan menjadi mereka yang tidak diberkati Allah, berperangai buruk dan akan mendatangkan banyak kesusahan kepada keluarganya. Mereka akan menjadi sampah masyarakat dan lain-lain lagi. .

Emas dan perak adalah lambang kepada harta. Tidak ada manusia yang tidak suka kepada harta yang banyak. Secara semulajadinya manusia suka bermegah-megah dengan apa yang didapatinya. Dengan harta dan wang yang banyak sesiapa sahaja boleh membeli atau membina rumah kediaman dan bangunan mewah, besar, mahal dan cantik serta dilokasi yang istimewa pula..

Sungguh malang, jika ada umat Islam yang apabila dikurniakan Allah dengan pangkat yang tinggi, gaji yang besar, harta yang banyak, liat dan kikir pula dalam mengeluarkan zakat, tidak perihatin dengan mereka yang susah yang memerlukan bantuan malahan tidak menjaga silaturrahim dan kebajikan sesama jiran atau ahli keluarganya sendiri...

Kita seharusnya sedar, selagi tidak dikeluarkan zakat ataupun dikeluarkan tetapi kurang dari sepatutnya maka selagi itulah sebahagian daripada harta tersebut masih lagi bukan hak kita, tidak boleh digunakan untuk apa–apa keperluan sekalipun.

Ramai manusia yang dikurniakan harta atau wang yang banyak rasa khuatir bila mengeluarkan zakat atau menginfakkan hartanya kerana bimbang hartanya akan berkurangan atau pun jatuh miskin selepas itu.

Ingatlah bahawa, “ Darah dan daging yang dibentuk dari rezeki yang haram , maka api nerakalah yang selayaknya.” Tidak ada gunanya harta yang bertimbun-timbun di dunia kalau di akhirat nanti harta tersebut tidak dapat membantu malahan akan menjadi saksi yang menyusahkan kita.

Firman Allah”Perumpamaan nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir (tangkai) dan bagi setiap butir (tangkai) pula seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas kurniaanNya Lagi Maha Mengetahui” Al-Baqarah 261.

Dengan hitungan yang mudah kita boleh mengira bahawa setiap benih yang baik akan menghasilkan 700 benih yang lain, jadi setiap satu kebaikan yang kita lakukan secara ikhlas kerana Allah, sudah pasti akan dibalas tidak kurang dengan 700 kebaikan oleh Allah.

Oleh itu marilah kita berlumba-lumba menginfakkan apa sahaja yang kita ada ke jalan Allah mengikut kemampuan kita, ada banyak kita infakkan banyak, ada sedikit infakkanlah sedikit, semoga kita akan terus dilimpahkan Rahmat dan KurniaNya. sehinggalah kita dipanggil semula untuk menemuiNya.


Yang ketiga ialah , “kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih.”

Yang dimaksudkan dengan kuda di sini ialah kenderaan sama ada kuda tunggangan untuk diri dan barang-barang dagangan atau keperluan manakala di zaman moden ini ia boleh dikaitkan dengan semua jenis alat pengangkutan seperti motor, kereta, lori, bas hatta kapalterbang dan sebagainya.

Baik dahulu maupun sekarang, kuda ada yang bertanda ada yang tidak. Pada zaman dahulu, kuda merupakan binatang yang melambangkan kekayaan, kemegahan dan tahap pengaruh seseorang itu. Orang-orang kaya sentiasa berlumba-lumba untuk memiliki kuda yang baik, jinak dan mampu menjana kewangan malahan digunakan juga untuk berjudi dan ini akan meningkatkan populariti mereka di dalam masyarakat setempat dan sekitarnya.

Begitu juga sekarang ini, orang yang mempunyai kenderaan yang banyak, mahal, berjenama popular sudah pasti akan dapat menaikkan status dan pandangan masyarakat kepada mereka. Sebaliknya orang yang tidak mempunyai kenderaan atau kenderaan yang murah pasti tidak popular dan dianggap tidak berstatus tinggi.

Di dalam Islam, semua orang sama ada berstatus rendah atau tinggi di dunia ini, berkedudukan istimewa atau tidak seharusnya setiap masa tidak lupa diri dan perlu sentiasa bersyukur kepada Allah. Dalam diri kita seharusnya tidak ada walaupun sedikit sifat sombong, bongkak atau takbur kerana semua rezeki atau harta yang ada di sekeliling kita adalah milik Allah yang boleh diberi bila Allah kehendaki dan boleh pula ditarik semula bila Dia kehendaki. Sesungguhnya semua itu hanyalah pinjaman dan hanya Allah sahajalah pemilik kekal selama-lamanya.

“Sesungguhnya orang Islam itu adalah seumpama satu badan, jika mengadu sakit satu anggota maka berajak-ajaklah seluruh anggota berjaga malam dan demam.”

Umat Islam adalah dianjurkan supaya sentiasa bersifat sederhana dalam semua perkara, kalau dikurniakan apa-apa kelebihan maka perlulah menggunakannya dengan cara yang betul mengikut lunas-lunas Islam. Walaupun kita kaya, banyak harta, mempunyai kenderaan mahal dan berjenama popular, janganlah hendaknya kita mengasingkan diri hanya dalam kelompok kita sahaja, dampingilah semua golongan masyarakat kerana kita tidak akan kerugian apa-apa.

Justeru itu, jika mempunyai kenderaan sama ada yang murah atau yang mahal, ada jenama atau tidak berjenama, yang cantik atau tidak cantik, meskipun tidak dapat selalu, bawalah berjinak-jinak dengan surau, masjid atau tempat-tempat beribadat, gunakanlah sebanyak-banyaknya untuk urusan agama kerana mereka juga akan menjadi saksi dan boleh membantu bila kita memerlukannya di hadapan Allah nanti.

Yang keempat ialah , “binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.”

Perkara yang keempat yang disebutkan dalam ayat Al-Quran tersebut ialah berkaitan binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.

Adakalanya status dan kedudukan manusia itu ditentukan masyarakat melalui banyaknya binatang ternak dan kebun-kebun tanaman. Jika banyak binatang ternak atau luas kebun tanaman maka tinggilah status dan penghormatan masyarakat kepadanya.

Ada hartawan mempunyai binatang ternak yang banyak seperti burung, ikan, ayam, itik, kambing, lembu, kerbau, kuda, unta termasuk juga kijang dan rusa. Ada yang menjadikan menternak binatang itu sebagai hobi dan ada pula untuk perniagaan. Manakala tanaman pula, berbagai jenis kebun dibina, ada kebun herba untuk perubatan, pelbagai jenis bunga-bungaan untuk hiasan ataupun jualan manakala yang mempunyai tanah yang luas boleh pula membuat kebun buah-buahan dan lain-lain lagi. Tidak dapat dinafikan, di dunia ini, lagi luas kebun lagi tinggi status seseorang itu pada pandangan masyarakat sekitar kepadanya.

Mereka yang mempunyai kelebihan sama ada mempunyai banyak ternakan atau kebun buah-buahan, perlu insaf bahawasanya semua itu adalah kurniaan Allah walaupun nampaknya seperti hasil usaha kita tetapi sebenarnya adalah rezeki yang dikurniakan Allah.

Oleh itu keluarkanlah zakat bila telah cukup nisab dan haulnya. Kalaupun sekiranya belum cukup syarat untuk dikeluarkan zakat, apa salahnya sekali sekala kita memberi sedekah atau membuat kenduri kesyukuran atas kurniaan Allah tersebut. Jauhkanlah bersifat kikir dan mementingkan diri sendiri. Salah satu sifat yang sangat terpuji di sisi Allah ialah mereka yang sentiasa menghormati dan memuliakan jirannya.

“Dan (ingatlah) sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.” ( Al-Hasyr 9 dan At-Taghaabun 19 )

Mereka yang mempunyai kebun buah-buahan umpamanya, bersedekahlah dengan buah-buahan itu kepada fakir miskin atau mereka yang tidak ada buah-buahan tersebut. Zaman sekarang ramai orang tinggal di taman-taman atau pun kalau di kampung, mereka tidak ada lagi kebun untuk bercucuk tanam kerana keluasan tanah sudah amat terhad. Bila berlebihan alangkah baiknya jika disedekahkan atau didermakan sahaja buah-buahan tersebut. Dalam bulan Ramadan ini jika ada, hantarlah ke masjid atau surau untuk buat kenduri agar dapat dinikmati bersama..

Berbaik-sangkalah dengan semua orang terutama jiran-jiran kerana sesungguhnya mereka banyak membantu kita. Kalaupun tidak ada harta dan rezeki yang diberikan, sekurang-kurangnya mereka sentiasa berdoa untuk kita sedang kita tidak menyedarinya. Sesungguhnya doa kebaikan yang ditujukan kepada orang lain yang tidak ada bersama di depan mata, tidak ada sebarang keraguan akan keikhlasannya di sisi Allah.
.
Sebagai penutup, marilah bersama-sama kita insafi, masa sudah semakin suntuk, kecelaruan dan bala bencana dunia sudah semakin parah, tanda-tanda akhir zaman sudah banyak dan semakin ketara, umur kita pula tidak tahu ada berbaki sampai bila. Marilah kita tingkatkan ibadat dan ketaqwaan sedaya semampu kita, masa senang, masa susah, masa kaya, masa miskin, masa sihat, masa sakit, masa muda, apatah lagi jika sudah tua selagi belum dijemput malaikat maut untuk kembali mengadap Allah Yang Maha Perkasa.

Keempat-empat perkara tersebut jika digunakan secara betul di jalan Allah akan selamatlah di dunia dan di akhirat. Sebaliknya jika tersalah urus dan tidak bersyukur maka keempat-empat perkara itulah yang akan menjahanamkan dan akan mencampakkan kita ke jalan yang tidak diredhai Allah dan di akhirat nanti kita termasuk orang-orang yang rugi serugi-ruginya.

“ Demi waktu Asar, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman yang beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan–pesan dengan kesabaran “ AL ‘ASR 1-3.

md zainal mzd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan