Pentadbiran negara mesti landas prinsip Islam, kata NGO
SHAH ALAM, 17 Ogos — Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari sepakat bahawa pentadbiran negara ini mesti berlandaskan ajaran Islam selain diangkat martabat agama itu agar tidak dipertikai oleh pihak tertentu.
Pemimpin-pemimpin NGO Islam juga berkata masa depan Islam akan tergadai sekiranya kepimpinan negara yang beragama Islam tidak berusaha mempertahankan, memartabatkan dan mendaulatkannya sebagai agama negara.
“Kalau kita lihat masa depan agama Islam sekarang terletak di bawah jagaan orang politik dan ia sangat bahaya ... tindakan orang Islam yang tidak mempertahankan agama sendiri adalah bacul.
“Jika ini adalah sikap yang ditunjukkan oleh orang Islam dalam zaman orang lain sedang menghakis kedaulatan Islam mereka adalah bacul dan tidak rugi jika kita mengambil sedikit langkah mengangkat kembali martabat Islam selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahli Lembaga Penyimpan Amanah Dewan Amal Islami (Damai), Mahamad Naser Disa pada seminar Mendaulatkan Islam-Agama Negara di Masjid Negeri di sini.
Tegas beliau, kedudukan agama Islam semakin terhakis berikutan cubaan pihak tertentu termasuk daripada kumpulan Kristian yang cuba menyebarkan agama masing-masing kepada umat Islam.
“Kalau betul ada usaha-usaha untuk memurtadkan umat Islam mengapa kita harus diam, kita perlu bangun menyatakan pendirian kita.
“Tapi bila kita bersuara, dikatakan kita rasis, ini bukan soal rasis atau tidak tapi mana-mana agama tidak boleh disebarkan kepada umat Islam seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Jelas Mahamad Naser, beliau kesal dengan sikap pemerintah yang tidak melaksanakan pentadbiran negara mengikut ajaran Islam.
“Dalam Perlembagaan Persekutuan sudah jelas, agama Islam adalah agama negara dan mana-mana agama lain boleh diamalkan tapi tidak boleh disebarkan.
“Itu masalah yang kita hadapi selama lebih 50 tahun ini, mengapa? Ini kerana di Malaysia Islam terletak di bawah kuasa politik ... Islam duduk di bawah penguatkuasaan politik,” katanya.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata, undang-undang negara juga perlu berlandaskan kepada ajaran Islam.
“Semua perkara yang kita lakukan perlu berlandaskan ajaran Islam, berlandaskan al-Quran ... ini yang perlu ditekankan selain Perlembagaan Persekutuan juga.
“Walaupun kita lihat undang-undang itu ada tapi pelaksanaannya itu tiada, sepatutnya semua yang kita lakukan perlu berlandaskan ajaran Islam,” katanya.
Sementara itu Presiden Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Dr Yusri Mohamad berkata pemerintah perlu mengangkat martabat dan kedudukan agama Islam.
“Ia bukan sahaja diangkat tetapi pemerintah harus mempertahankan, mendaulautkan dan memperkasakan agama Islam seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Selain itu, pemerintahan negara juga perlu berlandaskan kepada ajaran Islam dan dengan itu baru tiada pihak yang mempersoalkan kedudukan agama Islam sebagai agama negara,” katanya.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, kedudukan agama Islam semakin terancam kerana sikap pemimpin Islam yang tidak berusaha mempertahankan agama itu.
“Sikap pemimpin Islam yang bermasalah, mereka tidak pertahankan Islam ... apa yang mereka pentingkan adalah undi itu sahaja.
“Selain itu, kalau kita lihat fahaman liberalisme yang semakin menular dalam masyarakat juga menjadi punca mengapa Islam semakin terancam sedangkan ia adalah agama negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan