Jumaat, 2 Disember 2011

Islam, Kristian dan Yahudi adalah agama Allah

Jumaat 2 Disember 2011

Kitab Suci Al Quran,Taurat, Zabur atau Injil
Bahawasanya Agama langit disebut dalam istilah Arabnya, al-adyan as-samawiyyah, yang bererti agama-agama langit.Agama langit yang kekal hingga hari ini ada 3.Ia itu Yahudi, Kristian dan Islam.
Ia adalah istilah keagamaan yang dirujukkan kepada Allah, yang diturunkan kepada manusia, berasaskan kepada wahyu yang sahih pada mulanya. Ia diturunkan kepada rasul-rasul yang dilantik Allah, untuk menerima dan menyampaikan wahyu tersebut kepada manusia tanpa ditokok dan ditambah.
Mengamal kitab-kitab Allah SWT memang ada perbezaan. Perbezaan dari segi istilah dan nama yang dimaksudkan kepada sesuatu kitab itu. Seperti Kitab Zabur, diturunkan kepada Nabi Allah Daud a.s. disebutkan Allah dalam Surah an-Nisa, ayat 163. Manakala Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Allah Musa a.s. dicatat dalam Surah al-Maaidah, ayat 44.
Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Allah Isa a.s., dinyatakan dalam Surah al-Maaidah, ayat 46 dan al-Quranul Karim diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., disebut dalam Surah al-An’am ayat 19.
Memang nama-nama kitab Allah tersebut berbeza, namun inti pati sebenar daripada kitab itu tidak berbeza. Kitab-kitab itu membawa mesej yang sama dan yang paling asas adalah semua kitab memperkenalkan Allah sebagai Tuhan Yang Sebenar, Yang Maha Esa, Maha Berkuasa, Maha Bijaksana yang menjadi pencipta alam ini.
Dia (Allah) sahaja yang wajib disembah. Allah yang sama tidak pernah berubah, maka kerana itu wahyu-Nya pada umumnya tidak berubah pada perkara-perkara pokok. Wajiblah manusia seluruhnya beriman dengan Allah dengan melaksanakan tuntutan yang wujud dalam kitab-kitab tersebut tanpa dirubah dan dipinda.
Seluruh Rasul-Rasul dari Adam a.s hingga kepada Muhammad s.a.w, mengajak manusia beriman kepada Allah Yang Esa, dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya.
Firman Allah (mafhumnya): “Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan (al-Quran) kepadanya, dari Allah, tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan kitab-kitab-Nya dan Rasul-Rasul-Nya. (Mereka berkata) “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain dari Rasul-Rasul-Nya. Mereka berkata lagi, “Kami dengar dan kami taat. (Kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 285)
Semua Rasul disebut Rasulullah. Ertinya mereka semua adalah pesuruh Allah yang menerima wahyu dan menyamoaikan kepada manusia supaya sama-sama beriman kepada Allah.
Logiknya, jika semua Nabi dan Rasul dari Allah yang sama, bagaimana mungkin ajaran mereka beoleh berbeza khususnya pada perkara yang asas?
Sudah tentu, semuanya menyeru manusia beriman kepada Allah Yang Esa, percaya dengan kitab Allah yang diperturunkan melalui perantaraan malaikat, iaitu dari Allah mereka datang dan kepada-Nya mereka akan kembali.
Perbezaan yang ketara dan pertelingkahan antara satu sama lain, yang akhirnya nampak bertentangan antara agama lain, disebabkan, utamanya kerana Yahudi menyalahkan Nasrani, Nasrani menyalahkan Yahudi dan kedua-duanya pula menyalahkan Islam.
Islam pula menolak kefahaman yang dianuti oleh Yahudi dan Nasrani kerana tidak berpegang teguh dengan keaslian kitab-kitab Allah. Islam menolak kerana mereka mengubah ayat-ayat suci yang asal dalam kitab mereka.
Apabila agama Allah, khususnya wahyu Ilahi, diubah dan dipinda atau ditukar dan ditokok atas kehendak manusia, khususnya orang beragama di antara mereka, maka rosaklah agama Allah. Ia telah mewujudkan percanggahan antara satu sama lain.
Perihal berlakunya ubah pinda, tokok tambah terhadap agama yang dibawa oleh Rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w., dikhabarkan Allah dalam firmannya (mafhumnya): “Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah Kalamullah (Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata kepada,”kami dengar”, (sedang mereka berkata dalam hati), “kami tidak akan menurut.” (Mereka berkata) “Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk, serta (mereka mengatakan) ‘raa’ina’; (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutarbelitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam. Dan kalaulah mereka berkata, “kami dengan dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami”, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali dengan iman yang amat tipis.” (Surah an-Nisa, ayat 46)
Perihal tokok tambah dan perubahan yang dilakukan dalam kitab-kitab (agama) terdahulu disebutkan Allah di dalam al-Quran antaranya Surah Maaidah (13 dan 41), al-Baqarah (75) dan banyak ayat-ayat lain.
Oleh kerana itu, maka agama-agama sebelum Muhammad dan kitab-kitab mereka dimansuhkan Allah semuanya dan digantikan dengan al-Quran.
Jika semua sudah kembali kepada al-Quran pastikan kesemuanya akan bersatu pada prinsip yang benar. Pertentangan yang berlaku antara sesama agama Allah, sebenarnya pertentangan bukan pada asas yang benar, tetapi kerana berlaku penyelewengan akibat tidak taat kepada perintah Allah.
Nabi Isa a.s. memberitahu kepada pengikutnya bahawa sebelum beliau, Allah telah menurunkan Taurah dan Zabur. Jika penganut agama samawi boleh menerima Taurat, Zabur dan Injil sebagai kitab Allah, mengapa mereka tidak boleh menerima al-Quran?
Begitu juga mengapa orang Yahudi percaya dan boleh menerima Ibrahim, Musa, Ayub, Ismail dan Yaakub sebagai Nabi, mengapa mereka tidak boleh percaya Isa sebagai Rasul? Begitu juga mereka harus menerima Muhammad sebagai Rasul yang diutuskan Allah.
Inilah pokok yang mustahak untuk kita fahami, bahawasanya perbezaan yang wujud adalah kerana sifat manusia yang mengingkari Allah. Moga moga penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita bersama.Waalhua’lam.

(Di petik dari Syarah Prof Datuk Dr Haron Din)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan