70 tahun serangan Pearl Harbor: AS sudah tahu akan diserang?
Tarikh 7 Disember akan datang, dunia akan memeringati 70 tahun serangan angkatan bersenjata Jepun atas Pangkalan Tentera Laut AS di Pearl Harbor, Hawaii. Selama tujuh dekad itu pula, ramai orang percaya pemimpin Amerika waktu itu sebenarnya sudah tahu akan datangnya serangan yang mencetuskan Perang Pasifik tersebut.
Beberapa teori konspirasi menyebutkan, Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Franklin D Roosevelt (FDR), sebenarnya sudah menerima maklumat perisikan tentang rancangan serangan Jepun ke Pearl Harbor, tetapi sengaja membiarkan serangan itu berlaku. Menurut teori itu, Roosevelt percaya kesan kejutan yang tidak serangan tersebut akan membuat rakyat AS mahu diajak terjun ke kancah Perang Dunia II.
Teori popular tersebut dibantah oleh sejarawan. "Itu hanya legenda. Ini adalah semacam teori konspirasi yang sengaja dibuat demi keuntungan jualan buku," kata ahli sejarah ketenteraan Daniel Martinez dari Monumen Nasional Pearl Habor di Hawaii.
Sejarah mencatat, AS tidak serta merta terjebak dalam Perang Dunia II, sejak tentera Nazi Jerman menyerang Poland pada September 1939. Martinez berkata, FDR memang berusaha keras meyakinkan rakyat Amerika bahawa AS perlu terlibat dalam perang itu.
Namun, sebelum serangan Pearl Harbor, perang yang dimaksudkan FDR adalah perang di medan perang Eropah. "Dia mahu berperang melawan Jerman. Dia sama sekali tidak mahukan perang besar di dua medan pertempuran," kata dia.
Martinez menambah, banyak orang Amerika pada hari ini yang lupa bahawa pada tahun 1941 AS belum menjadi negara kuasa besar tentera seperti ketika ini. "Kami hanya mempunyai angkatan darat yang kecil, angkatan laut yang kecil, dan bahkan angkatan udara yang sangat kecil," kata Martinez.
Bahkan, Tentera Udara AS (USAF) baru disahkan sebagai cabang angkatan bersenjata AS yang berdiri sendiri pada 1947, dua tahun selepas Perang Dunia II selesai. Meskipun beroperasi secara bebas, angkatan udara AS semasa Perang Dunia II masih menjadi sebahagian dari Angkatan Darat AS (US Army).
Hingga malam sebelum serangan ke Pearl Harbor, FDR masih menulis surat kepada Maharaja Hirohito di Jepun untuk memujuk agar tidak berlaku konflik ketenteraan dengan Jepun. Bahkan, jika pihak perisikan Washington sudah tahu akan ada perang dengan Jepun, tidak ada satu pun penunjuk waktu itu bahawa pangkalan US Navy di Hawaii akan menjadi sasaran pertama.
Pihak AS waktu itu lebih meyakini Jepun akan lebih dulu menyerang pengkalan tentera AS di Filipina. Selain itu, ada semacam perasaan merendahkan kemampuan Jepun di kalangan para pemimpin AS ketika itu. "Ada pendapat yang mengatakan Jepun tidak akan mampu melakukan itu (menyerang pangkalan AS). Kami melihat Jepun ketika itu sebagai bangsa yang inferior, sama ada secara ketenteraan mahupun dari segi bangsa," ungkap Martinez.
Sejarah mencatat, sistem radar yang dipasang AS di Pearl Harbor tidak mampu mengesan kedatangan enam kapal induk Jepun yang mengangkut tidak kurang dari 400 pesawat pejuang. Padahal, enam kapal induk itu berhenti hanya 350 kilometer dari sasaran mereka.
Serangan Pearl Harbor, yang oleh FDR disebut sebagai "Hari Kehinaan" bagi AS, sangat mengejutkan orang Amerika. Hanya sehari selepas serangan, yang mengorbankan lebih dari 2400 prajurit AS, itu, Kongres AS meluluskan seruan FDR agar AS menyatakan perang dengan Jepun.
Tiga hari kemudian, Hitler menyatakan perang dengan AS di perang Eropah. Kebimbangan terbesar FDR pun wujud: AS harus menghadapi perang besar di dua peperangan.
Sumber :Diterjemah dari kompas/ AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan