Selasa, 18 Oktober 2011

TV tak sesuai untuk budak



21 Zulkaedah 1432H.

NEW YORK: Kanak-kanak berusia kurang dua tahun tidak digalakkan menonton televisyen atau video kerana ia boleh menjejaskan perkembangan dan melambatkan keupayaan mereka bertutur, kata sekumpulan pakar pediatrik Amerika Syarikat (AS) dalam satu kajian disiarkan semalam.

Pakar pediatrik dari Akademi Pediatrik Amerika (AAP), Ari Brown, berkata ibu bapa seharusnya bercakap dengan anak, menggalakkan mereka bermain secara bebas, bertujuan menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan minda kanak-kanak.

Berdasarkan kajian dikemas kini, kami memperoleh bukti media elektronik seperti televisyen dan video berpotensi memberi kesan negatif kepada kanak-kanak berusia kurang dua tahun. Justeru, itu AAP tidak menggalakkan mereka menonton televisyen dan video, katanya.

Kajian terbaru itu bagaimanapun, tidak merujuk kepada permainan interaktif seperti permainan video, telefon pintar atau peralatan lain, hanya menjurus kepada media tontonan pasif ke atas mana-mana jenis layar sama ada telefon, komputer, televisyen atau lain.

Brown berkata, pemantauan diperlukan berikutan ledakan DVD bayi menyasarkan kumpulan usia dari satu hingga dua tahun, selain pengakuan 90 peratus ibu bapa yang menjadi responden bayi mereka menonton media elektronik.

Apa yang jelas ramai ibu bapa tidak peduli dengan hasil kajian ini. Dalam dunia layar yang berada di mana-mana, saya fikir kita perlu mencari jalan mengendalikan dan menjadikan satu diet media sihat.

AAP menggesa pakar pediatrik membincangkan penggunaan media dengan ibu bapa dan menyatakan golongan dewasa perlu sedar betapa terganggunya mereka apabila televisyen bersiaran. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan