Cara Sujud yang Praktikal Diamalkan
Sabtu 15 Oktober 2011Ahmad Baei Jaafar
Bahagian Pertama
Sehingga ke hari ini, masih kedengaran suara-suara pertikaian berhubung cara sujud Rasulullah SAW. Golongan lama mempertahankan cara bersujud dengan menurunkan lutut dahulu ke tempat sujud, sementara golongan muda mempertahankan cara bersujud dengan menurunkan tangan dahulu. Malangnya isu itu membuatkan sesetengah pihak bermasam muka. Padahal masing-masing mahu mempertahankan sunnah Rasulullah SAW.
Pada ruangan kali ini elok kita pelajari sedikit sunah Rasulullah SAW berhubung cara sujud yang lebih praktikal pada zaman ini. Secara zahirnya kita lihat terdapat dua cara umat Islam melakukan sujud selepas iktidal. Ada yang bersujud dengan meletakkan tangan dahulu ke tempat sujud dan ada juga yang lutut dahulu.
Saya sendiri kadang-kadang turun bersujud tangan dahulu, dan kadang-kadang dengan lutut dahulu. Yang pasti ada sebab mengapa begitu dan mengapa begini. Tetapi dalam keadaan tertentu kita lihat cara turun sujud itu seperti tidak cantik. Itu kata hati kecil kita.
Bagi membincangkan isu ini mari kita lihat sebuah hadis yang datang daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda:
Sujud dengan menurunkan lutut, tangan dan dahi. |
Maksudnya: “Apabila salah seorang antara kamu melakukan sujud, maka janganlah dia melakukan sebagaimana yang dilakukan seekor unta (melakukan gerakan seperti gerakan unta) dan hendaklah dia meletakkan kedua-dua tangannya sebelum meletakkan kedua-dua lututnya.”
Kita di Malaysia sukar melihat unta dan bagaimana ia duduk serta berdiri. Mungkin sebahagian rakyat negeri Selangor di sekitar Shah Alam pernah melihat unta pada musim korban. Tetapi saya tidak pasti sama ada mereka pernah melihat bagaimana unta itu duduk dan berdiri.
Unta ada empat kaki, sama seperti haiwan lain juga cuma unta ada sedikit kelainan. Iaitu terdapat dua sendi pada kaki belakangnya. Apabila unta itu hendak duduk, dilipatkan kaki belakang dan lutut diturunkan dahulu. Kemudian sendi pada paha pula dilipat.
Cuma timbul persoalan di sini, kaki hadapan itu tidak boleh disamakan dengan tangan. Jadi, kalau tidak boleh ikut cara unta kenapa pula Rasulullah mengatakan letakkan tangan dahulu sebelum lutut? Lainlah kalau kaki depan itu tidak boleh disamakan dengan tangan kita.
Selain hadis di atas ada satu lagi hadis yang menceritakan perbuatan Rasulullah yang antara lain menyebut bahawa ketika hendak bersujud, Baginda meletakkan kedua-dua lututnya terlebih dahulu sebelum kedua-dua tangannya. Setelah meletakkan kedua-dua lutut, Baginda kemudian meletakkan kedua-dua tangan, lalu kening, kemudian hidung. Hadis tersebut diriwayatkan dalam sebuah hadis oleh Syarik, dari Ashim bin Kulaib, daripada ayahnya, daripada Wa`il bin Hajar. Wa`il mengatakan bahawa dia pernah melihat ketika Rasulullah hendak sujud, Baginda meletakkan kedua-dua lututnya sebelum kedua-dua tangannya. Dan ketika bangkit, Baginda mengangkat kedua-dua tangan sebelum mengangkat kedua-dua lututnya. Dalam soal sujud ini, tidak ada yang meriwayatkan hadis yang bertentangan dengan keterangan tersebut.
Melihat kepada dua hadis di atas, ramai yang beranggapan terdapat fakta yang bercanggah. Tetapi secara realiti, memang terdapat beberapa keadaan yang pada suatu ketika Rasulullah melakukan sesuatu tetapi pada masa yang lain Baginda melarang. Sebenarnya, dalam kes seperti ini Baginda ingin menunjukkan keadaan yang harus. Namun kita perlu ingat, setiap yang harus jika diniatkan meniru Rasulullah akan diberi pahala mengamalkan sunnah.
Jadi, dalam keadaan kita sihat dan kuat lakukanlah sujud dengan menurunkan lutut dahulu sebelum tangan dan dahi. Tetapi bagi mereka yang uzur seperti sakit kaki, pinggang atau kerana tua maka bolehlah menurunkan tangan dahulu ke tempat sujud. Tangan itu berfungsi menampan badan yang berat. Dengan cara ini kita hakikatnya telah melaksana semua sunah Rasulullah.
Apa yang penting dalam sujud ialah anggota-anggotanya. Berdasarkan hadis anggota sujud ada tujuh, iaitu dahi termasuk hidung, dua telapak tangan, dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki.
Hadis tersebut daripada Ibnu ‘Abbas dia berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Hadis tersebut daripada Ibnu ‘Abbas dia berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Aku diperintahkan untuk bersujud (dalam riwayat lain; Kami diperintahkan untuk bersujud) dengan tujuh (7) anggota badan; iaitu dahi sekali gus hidung, dua tangan (dalam lafaz lain; dua telapak tangan), dua lutut, jari-jari kedua-dua kaki.” (Hadis dikeluarkan oleh al-Jama’ah)
Semoga dengan panduan ini kita tidak lagi saling berbalah soal sujud sebaliknya terus beramal dengan sunah Rasulullah. Ketika itu barulah kita layak dipanggil umat Muhammad.
Semoga dengan panduan ini kita tidak lagi saling berbalah soal sujud sebaliknya terus beramal dengan sunah Rasulullah. Ketika itu barulah kita layak dipanggil umat Muhammad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan