Rukuk dan sujud tidak selaras
16 Oktober 2011
Ahmad Baei Jaafar
Bahagian kedua
Meskipun kita sudah lama melakukan solat, malah ada yang 40 tahun, ini jika mula bersolat di usia 10 tahun, namun mutu solat sesetengah umat Islam masih rendah. Demikian mungkin pada waktu mula belajar solat di usia 10 tahun, tetapi selepas itu tidak pernah dibaharui ilmunya. Jadi, ilmu yang digunakan untuk solat adalah ilmu pada tahap sekolah rendah.
Tangan diletakkan pada lutut |
Sebenarnya ilmu solat perlu dipelajari dari masa ke masa kerana hukumnya walaupun tidak berubah tetapi ilmu amalinya pada waktu kanak-kanak tidak sama dengan waktu dewasanya. Bayangkan pelajaran matematik waktu sekolah rendah perlu diajar lagi pada waktu sekolah menengah kerana tahapnya tidak sama. Jadi, mengapa pula ilmu solat tidak mahu diberi nilai tambahanya?
Pada kesempatan ini mari kita lihat semula bagaimana kita rukuk dan sujud. Apakah cara yang kita lakukan itu sama dengan tahap umur 10 tahun atau sudah diberi nilai tambah. Dengan penilaian ini kita boleh buat perubahan jika tidak menepati ibadah Rasulullah SAW.
Hadis tentang rukuk
Rukuk adalah rukun fi’li yang kelima, dalam rukuk ini disyaratkan tamakninah malah dikira sebagai satu rukun. Di sinilah kadang-kadang kita lihat mereka rukuk dalam keadaan tidak tamakninah. Untuk menjadikan rukuk itu tenang (tamaninah) Rasulullah SAW dalam solatnya meletakkan kedua telapak tangan di atas lutut. (HR Bukhari dari Sa'ad bin Abi Waqqash).
Saya sendiri pernah melihat seorang lelaki ketika rukuknya dia meletakkan kedua-dua telapak tangannya ke betis yakni di bawah lutut. Keadaan itu menjadikan tulang belakangnya ke bawah. Di sinilah amalan salah yang sangat bertentangan dengan sunah.
Sebenarnya kalau seseorang itu boleh rukuk dengan tenang, dia dapat merawat kelenturan tulang belakang yang berisi sumsum tulang belakang (sebagai syaraf sentral manusia) beserta aliran darahnya.
Hadis tentang sujud
Cara sujud juga kadang-kadang kita lihat pelbagai cara. Kalau dilihat pada syarat sujud ialah dengan tujuh anggota. Itulah asasnya, tetapi kita perlu ambil perhatian dengan sabda Rasulullah SAW:
اِعْتَدِلُوْا فِي السُّجُودِ وَلَا يَبْسُطُ أَحَدُكُمْ ذِرَاعَيهِ انْبِسَاطَ الكَلْبِ
Maksudnay "Luruskanlah kalian dalam sujud dan jangan kamu menghamparkan kedua lengannya seperti anjing menghamparkan kakinya" (Riwayat al-Bukhari no:788, Muslim n:493)
Dan dalam hal ini Sheikh Ibn Utsaimin (Al-Sharh Al-Mumti', 3/168) berkata:
اِجْعَلُوْهُ سُجُوداً مُعْتَدِلاً ، لَا تَهْصَرُونَ فَيَنْزِلُ البَطْنُ عَلَى الفَخْذِ، وَالفَخْذُ عَلَى السَاقِ وَلَا تَمْتَدُّونَ أَيْضاً كَمَا يَفْعَلُ بَعْضُ النَّاسِ إِذَا سَجَدَ، يَمْتَدُّ حَتَّى يَقْرَبَ مِنَ الاِنْبِطَاحِ، فَهَذَا لَا شَكَّ أنَّهُ مِنَ البِدْعِ وَلَيْسَ بِسُنَّةٍ، فَمَا ثَبَتَ عَنِ النَّبيِّ صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ وَلَا عَنِ الصَّحَابَةِ فِيمَا نَعْلَمُ أَنَّ الإنْسَانَ يَمُدُّ ظَهْرَهُ فِي السُّجُودِ، إنَّمَا مَدُّ الظَهْرِ فِي حَالِ الرُّكُوعِ ، أَمَّا السُّجُودُ فًإنَّهُ يَرْتَفِعُ بِبَطْنِهِ وَلَا يَمُدُّهُ
Maksudnya: "Hendaklah meluruskan sujud, jangan membengkokkan lalu perut hampir di atas peha, dan peha pula di atas betis, dan tidak juga memanjangkan sebagaimana sesetengah orang semasa mereka sujud yang kelihatan seolah-olah sedang berbaring. Tidak syak lagi, inilah satu bid'ah dan jelas bukan sunnah. Tidak pernah diriwayatkan dari Nabi SAW, atau mana-mana Sahabat. Sejauh yang kami tahu, seseorang itu meluruskan tulang belakangnya semasa sujud. Dia juga meluruskan tulang belakangnya semasa rukuk, tetapi semasa sujud dia mengangkatkan perutnya dan bukan mendatarkannya."
Jelas di sini menghamparkan tangan yang dilihat seolah-olah berbaring merupakan satu kesalahan di dalam solat, dan ia bertentangan dengan Hadis Nabi SAW di atas yang secara lahirnya seperti tabiat anjing.
Tulang belakang lurus |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan