Isnin, 17 Oktober 2011

Rais Ingin Temui Anak Malaysia, Jurutera Menara Jam Mekah

KOTA BAHARU: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata beliau berhasrat mengadakan pertemuan dengan anak Malaysia yang bertanggungjawab mereka bentuk pembinaan menara jam gergasi menghadap Masjidil Haram di Mekah.

Menyifatkan sentuhan indah Wan Nazri Wan Aria, 31, jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch itu satu kebanggaan, beliau berkata pertemuan itu sebagai satu penghormatan kepada pemuda berkenaan yang memiliki bakat luar biasa.

"Kita berasa bangga bahawa ada anak Malaysia yang berkeupayaan tinggi sehingga mendapat pengiktirafan pihak berkuasa Arab Saudi melalui bakatnya yang diselitkan dalam Menara Hotel Jam Diraja Mekah.

"Saya juga ingin bertemu dengan beliau, bergantung kepada kelapangan beliau, ini satu penghormatan besar dan kita ingin ucapkan tahniah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Temasya Dikir Barat Kelantan, di sini, Isnin.

Festival berkenaan merupakan program ke-16 daripada 20 program yang dirancang Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) bersama Kementerian Pelancongan sepanjang tahun ini.

Seramai 1,039 pendikir dan lapan kumpulan pergendangan seluruh Kelantan berhimpun menjayakan festival berkenaan.

Dr Rais berkata pada pertemuan itu juga beliau berharap Wan Nazri mampu berkongsi ilmu dan idea bernas melalui bakatnya untuk menyumbangkan sesuatu kepada negara.

"Semoga pandangan dan ilmu yang diberikan dapat diguna di tanah air terutama dalam melihat semula apa yang beliau boleh sumbangkan berhubung beberapa menara jam yang ada di tanah air kita," katanya.

Wan Nazri menjadi kebanggaan negara, apabila menjadi salah seorang tenaga pakar yang melakar sejarah di Mekah, melalui pembabitannya dalam kerja membina Menara Hotel Jam Diraja Mekah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait, mercu tanda terbaru yang dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi, di tengah-tengah kota di Tanah Suci Mekah.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau berkata kementeriannya telah mengenal pasti tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk dijadikan landasan utama menyebarkan festival seni budaya tanah air Pantai Timur.

Katanya bagi merealisasikan hasrat berkenaan, pihaknya akan mencungkil bakat dan mencari individu serba boleh dalam pelbagai kategori antaranya penceritaan, hikayat lama, pantun, syair kesusasteraan Melayu dan sebagainya.

"Usaha ini adalah untuk memartabatkan seni budaya dan menggarap semula nilai lama dan tradisi lisan di Pantai Timur.

"Selain itu kementerian juga nak lihat penggunaan jawi seperti di Kelantan dapat kita gunakan semula di negeri-negeri lain termasuk di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.

Lebih 5,000 hadir pada temasya yang berlangsung di Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara negeri Kelantan sehingga pukul 10 malam ini. -BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan