Ahad, 9 Oktober 2011

Kisah dan Sejarah di sebalik MALAYAN UNION.

Pentadbiran tentera penjajah British di bubarkan pada 31 Mac 1946 dan apa yang disebut Kerajaan Awam telah ditubuhkan. Bersamaan dengan itu British melaksanakan rancangan pengubahan perlembagaan yang pertama selepas Perang Dunia Kedua iaitu Malayan Union.

Rancangan ini ditelurkan Kerajaan Parti Konservatif British ketika Perang Dunia Kedua masih berlangsung. Pada bulan Julai 1943, imperialis British menubuhkan satu unit perancang Malaya di London bagi merekakan rancangan untuk membangun semula penguasaan penjajahannya setelah Perang Dunia Kedua.

Ketua unit itu ialah Major General Hone, Ketua Pegawai Hal Ehwal Awam Pentadbiran Tentera British setelah Perang Dunia Kedua. Anggota-anggota unit tersebut terdiri daripada pegawai-pegawai pejabat perang dan pejabat tanah jajahan British dan salah seorang di antaranya ialah Edward Gent, Gabenor pertama British ke Kuala Lumpur setelah Perang Dunia Kedua.

Unit Perancang tersebut telah menelurkan prinsip-prinsip pokok rancangan itu berasaskan dasar penjajahan imperialis British setelah mendengar pendapat-pendapat dari tuan punya ladang getah dan lombong bijih besar British dan dengan menimbangkan keadaan yang mungkin terjadi setelah Perang Dunia Kedua.

Sepucuk kawat dari bahagian Hal Ehwal Awam South East Asia Command tentera British bertarikh 24 Disember tahun 1943 berkata:
ringkasnya usul yang sedang dipertimbangkan ialah dalam masa pentadbiran tentera, wakil Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan yang berkuasa penuh harus menyederhanakan kedudukan perlembagaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat dengan cara menandatangani perjanjian baru dengan para sultan melalui perundingan.”

Parti Buruh British yang memegang tampuk kerajaan menjelang saat Jepun menyerah diri pada tahun 1945 telah mewarisi jubah Parti Konservatif. Setelah Jepun menyerah diri, Kerajaan Parti Buruh segera mengumumkan pelaksanaan rancangan yang telah ditelurkan Kerajaan Parti Konservatif sebagai langkah pertama bagi mewujudkan apa yang disebut “Pemerintahan Sendiri” di Malaya. Pada bulan Oktober 1945, Kerajaan Parti Buruh telah mengumumkan pokok-pokok rancangan tersebut sebagai berikut:

  • Malayan Union terdiri dari 9 buah negeri berserta Melaka di Semenanjung dan Pulau Pinang; Singapura tidak termasuk dalam Malayan Union.

  • Menubuhkan kerajaan pusat Malayan Union yang kuasa tertingginya berada di tangan Gabebor British. Kerajaan berbagai negeri di bawah tadbiran kerajaan pusat.

  • Majlis mesyuarat Undang-undang terdiri daripada ahli-ahli rasmi dan ahli tidak rasmi yang dilantik oleh Gabenor.

  • Untuk memikat hati orang ramai rancangan itu menetapkan bahawa siapa saja yang lahir di Malayan Union dianggap warganegara.

  • Selain itu orang yang sudah 10 tahun bermastautin terus menerus di Malaya dalam masa 15 tahun sebelum Perang Dunia Kedua juga boleh menjadi warganegara.

Kerajaan Parti Buruh juga telah mengutus seorang utusan khas bernama Herold MacMichael ke Malaya untuk menandatangani perjanjian baru dengan sultan-sultan dan Raja-raja berbagai negeri.

Rancangan ini bertentangan dengan kepentingan asasi rakyat semua bangsa kerana ia bukan saja tidak menyentuh barang sepatah katapun tentang kemerdekaan yang diidam-idamkan rakyat, sebaliknya sengaja menimbulkan ketidakpuasan Malaya.

Jika sebelum Perang Dunia Kedua imperialis British telah melaksanakan polisi “pecah belah dan perintah”, maka setelah peperangan itu ia menjalankan polisi “mencantumkan lalu memerintah” melalui rancangan Malayan Union, tapi disamping itu ia juga meneruskan polisi “memecah-mecah lalu memerintah” dengan mengasingkan Singapura daripada Malayan Union.

Dengan demikian, negeri kita tetap merupakan tanah jajahan imperialis British. Oleh yang demikian rancangan tersebut telah dikutuk dan ditentang oleh rakyat semua bangsa negeri kita setelah ia diumumkan.

Komplotan Imperialis British
Penentangan Malayan Union dianjurkan oleh penjajah British. Gabenor British Frank Swettenham mendorong Onn bin Jaafar dan sebangsanya supaya bangkit menentang Malayan Union.

Menghadapi keadaan demikian, imperialis British telah mengirim orang untuk menjalankan apa yang disebut “penyiasatan” di negara kita, di samping itu ia mendatangi bangsawan-bangsawan feudal dan pegawai-pegawai rejim penjajah untuk tampil membuat pendapat awam agar dapat menyelubungi perbuatan mereka sebagai pembantu jahat imperialis British dalam menumpas perjuangan kemerdekaan rakyat negeri kita di sebalik topeng “menentang Malayan Union”.

Antara mereka yang utama ialah pegawai kanan negeri Johor ketika itu yang kemudian menjadi Menteri Besar, Onn bin Jaafar (Bapa kepada Hussein Onn dan datuk kepada Hishamuddin Hussein), Tunku Abdul Rahman (yang melanjutkan pelajarannya ke Inggeris tidak lama setelah Jepun menyerah), Menteri Besar Kelantan masa itu, Nik Abdul Kamil, dan Abdul Razak (ayahanda Najib Razak, PM sekarang, yang mendapat hadiah dari imperialis British pada tahun 1946 dan pergi menjalani latihan di London pada tahun 1947) serta Tan Cheng Lock dan H.S. Lee (yang pulang dari luar negeri mengekori tentera British) dan lain-lain lagi.

Pada awal 1946, Onn bin Jaafar menentang rancangan pengubahan perlembagaan itu dengan dalih membela kedudukan dan hak istimewa sultan-sultan dan raja-raja. Dia dengan gila-gilaan menghasut-hasut cauvinisme dan bergembar-gembur hendak mempertahankan keadaan sebelum Perang Dunia Kedua.

Semasa Jepun menduduki tanah air kita, Onn bin Jaafar telah menyerah dan menjadi anjing buruan imperialis Jepun. Untuk mengatasi kesulitan menjelang saat menyerah diri, fasis Jepun menjalankan tipu muslihat hendak menghadiahkan Malaya apa yang disebut “Kemerdekaan” di samping menghantar sepasukan tentera Jepun yang menyamar diri sebagai Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (MPAJA) menyembelih babi di hadapan sebuah masjid di Johor dan telah mencetuskan bentrokan bangsa-bangsa.

Kemudian atas perintah tuannya, Onn bin Jaafar yang dibantu oleh sepasukan tentera Jepun telah melakukan penyembelihan besar-besaran yang mengerikan. Mereka telah membunuh ratusan orang dan mencederakan ribuan orang di kawasan Batu Pahat, Sengarang, Rengit dan Benut. Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya terpaksa menghalang mereka ketika mereka mendekati Pontian.

Mula-mula, TAJRM menyeru kepada massa (orang ramai) yang ditipu dan dipaksa, mendedahkan komplotan fasis Jepun yang terkutuk dan menasihatkan mereka supaya meletakkan parang panjang. Akan tetapi, tentera Jepun yang sangat ganas itu menggertak mereka dengan senjata api dan memaksa mereka menyerbu ke arah TAJRM.

TAJRM terpaksa menyerang balas untuk membela diri dan menghancurkan komlotan fasis Jepun. Setelah seplatun tentera Jepun itu dibasmi semuanya, massa yang ditipu dan dipaksa itu beramai-ramai meletakkan parang panjang dan menggugat kejahatan fasis Jepun.

Ramai yang kemudiannya telah mengambil bahagian dalam gerakan massa revolusioner yang dipimpin oleh PKM dan menyertai perjuangan bersenjata pada bulan Jun tahun 1948.

Berkat laporan dan bantuan massa rakyat, TAJRM telah menangkap Onn bin Jaafar yang menjadi biang keladi peristiwa penyembelihan besar-besaran itu, tapi setelah dia mengaku hendak bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, TAJRM melaksanakan dasar murah hati dan melepaskannya meskipun dosanya sudah menggunung.

Akan tetapi, Onn bin Jaafar yang lurus-lurus ekor anjing telah menyerahkan dirinya ke pelukan tuan lamanya bila imperialis British kembali ke Malaya. Untuk maksud yang tersembunyi, imperialis British memalsukan sejarah dalam dokumen rasminya, menyanjung-nyanjung Onn bin Jaafar dan memindahkan dosa penyembelihan itu ke atas parti komunis.

Dia berkata konon, parti komunis (orang Cina) yang dipelopori TAJRM cuba hendak merebut kawasan Batu Pahat dan Muar. Onn bin Jaafar yang menjadi pegawai daerah ketika itu telah mengetuai orang Melayu untuk menentang pencerobohan itu. Dari sini jelaslah imperialis British sudah lama merancang hendak memelihara dan menggunakan pengkhianat bangsa itu.

Setelah Malayan Union diumumkan sejumlah pegawai kanan rejim penjajah di Malaya sebelum Perang Dunia Kedua yang telah bersara pun bergerak dengan leluasa di London; antaranya belasan orang termasuk Frank Swettenham yang pernah menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat berturut-turut menulis surat atau artikel di suratkhabar The Times di London.

Mereka secara terang-terangan menggalak, menyanjung dan menyokong kegiatan-kegiatan Onn Bin Jaafar serta bangsawan-bangsawan feudal lainnya. Macdonald, Gabenor General British ke Asia Tenggara pada masa itu (kemudian ditukar namanya menjadi Commissioner General ke Asia Tenggara) juga membantu menggalakkan kegiatan mereka.

Roland Bradell, seorang peguam British yang pernah menjadi ahli exco Johor sebelum Perang Dunia Kedua dan penasihat sulit undang-undang kepada Sultan Johor, secara langsung menawarkan akal bulusnya kepada Onn bin Jaafar.

Justeru dengan adanya tunjangan imperialis British, Onn bin Jaafar telah menyelenggarakan mesyuarat agung pertubuhan-pertubuhan Melayu di Kuala Lumpur pada bulan Mac tahun 1946 dengan mengibarkan panji-panji membela hak dan kepentingan orang Melayu.

Pada bulan Mei tahun itu juga, UMNO telah ditubuhkan dan secara terbuka Roland Bradell menjadi penasihatnya.

Seorang dua pegawai imperialis British tanpa segan silu berkata “Malayan Union” yang ditelurkan kerajaan parti konservatif sebenarnya bermaksud hendak meluaskan sistem Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, (Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang); ke (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) yang dinamakan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu masa itu serta Negeri-Negeri Selat (Melaka dan Pulau Pinang),
sedangkan penaja Negeri-Negeri Melayu Bersekutu justeru Gabenor British Frank Swettenham yang menghasut-hasut Onn bin Jaafar dan sebangsanya supaya bangkit menentang Malayan Union.

sumber: mat amin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan