Sabtu, 29 Oktober 2011

Muslim raih faedah dari tiga perkara selepas kematian

Ahad 30 Oktober 2011

Oleh TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

SABDA Rasulullah s.a.w. bermaksud : “Apabila mati seorang anak Adam, maka putuslah amalannya melainkan tiga perkara; iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaathttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg8DjdmuDueDLOFAShblxm46A66SLXLG-kwTKK6N8nQ209XO_fldjNscz2xsZTvdaPbk2qjIBaHDAqJDh3QaDLtRdkZr3kVJ8moZglZdiKMTRl441aF8VTm58qmg6mQTbCmm90tbvnsXHQ/s1600/20101102-kematian-batu-nisan.jpgkan dan anak yang salih yang mendoakan baginya.

Hadis yang amat masyhur itu seringkali diucapkan oleh para pendakwah, sebagai petunjuk dan penggalak dalam kehidupan setiap Muslim. Kesannya akan mendorong rajin beramal dan beribadat.



Jika perkara memberi manfaat kepada orang ramai, seolaholah mereka tidak mati lantaran pahala daripada amal yang dibuat semasa hidup itu terus kekal bagaikan air mengalir, meskipun amalannya telah terputus kerana kematiannya.

Hadis tersebut mendorong orang Islam jadi golongan paling rajin mengajar, mereka sedar adanya anugerah Allah SWT yang berterusan dengan pelbagai kelebihan mengajar itu.

Amalan anak Adam terputus dengan datangnya ajal. Namun berdasarkan hadis Nabi s.a.w., terdapat tiga perkara yang berkekalan pahalanya meskipun orang itu sudah meninggal dunia.

Pertama: Sedekah jariah, seperti mewakafkan harta untuk membina masjid, madrasah dan sebagainya. Untuk kepentingan masyarakat Islam beribadat dan menyebar ilmu Islam serta mendidik anak-anak supaya menjadi insan salih.

Ilmu

Selama binaan daripada wakaf jariah itu diguna pakai oleh masyarakat untuk kebajikan, selama itu pahalanya terus mengalir diterima oleh orang yang bersedekah jariah itu, meskipun setelah mereka meninggal dunia.

Kedua: Ilmu yang diajar dan dimanfaatkan dalam kehidupan mereka, khususnya ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengingatkan kepada hari akhirat. Malah apa jua ilmu yang mendatangkan faedah dalam kehidupan insan.

Ilmu tersebut jadi sumber pahala berterusan hingga ke hari kiamat, kepada orang yang mengajar selama ilmu itu bermanfaat kepada manusia dan pihak lain yang menerimanya.

Ketiga: Mempunyai anak salih sentiasa mendoakan baginya, sentiasa mengenang budi baik ibu bapanya dan menghormati mereka sejak kedua-duanya masih hidup, hingga mereka kembali ke rahmatullah.

Ciri anak yang salih ialah sentiasa berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, mendoakan kedua-duanya selepas solat atau waktu selainnya.

Doa untuk kesejahteraan ibu bapanya semasa hayat di dunia dan di alam barzah, mohon dihindar daripada azab kubur dan neraka, dan mohon dimasukkan ke dalam syurga.

Terdapat ayat Allah SWT yang berpesan agar anak-anak menghormati dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya.

Namun tiada ayat yang menyuruh ibu bapa menyayangi anak-anak, kerana Tuhan telah bekalkan naluri kasih sayang kepada setiap ibu bapa menyayangi anak-anak.

Tiada ibu bapa yang tidak menyayangi anak-anak mereka.

Jika ada, kemungkinan ada sesuatu yang tidak kena pada ibu bapa berkenaan, sama ada dari segi jiwa atau mental. Kerana haiwan yang tidak berakal fikiran pun menyayangi anaknya.

Lazimnya tiada masalah kasih sayang daripada ibu bapa terhadap anaknya, sebaliknya yang bermasalah ialah di pihak anak kepada kedua-dua orang tuanya.

Anak telah dikandung oleh ibunya selama sembilan bulan, anak dalam kandungan itu dapat berkongsi rezeki dengan ibunya melalui tali pusat. Meskipun tali pusat itu dipotong, Allah SWT takdirkan kesan pusat itu dapat dilihat dengan nyata hingga bilabila saja. Tuhan tidak jadikan kesan tali pusat pada perut bayi itu berkeadaan licin, seperti kesan luka yang lain.

Tentu ada hikmahnya, sekurang-kurangnya untuk sang anak mengingat kembali hubungannya erat yang ditentukan oleh Allah SWT dengan ibunya semasa dalam kandungan dahulu.

Semoga dengan mengenang betapa erat hubungan dirinya dengan ibunya, akan menyedarkan mereka agar sentiasa berdoa kepada Tuhan, sebagaimana yang diajar oleh al- Quran, seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka kedua-duanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil.” (Surah Al-Isra ayat 24)

Meskipun ibu bapa telah menjaganya dengan memberi makan minum dan pakaian, tetapi Tuhan tidak menyebut tentang memberi makan minum. Sebaliknya doa itu menyebut agar Allah SWT mengasihani mereka sebagaimana ibu bapa telah mendidiknya semasa kecil dahulu.

Didikan

Ini menunjukkan bahawa didikan itu lebih bernilai kepada anak berbanding dengan makan minum. Sekadar beri makan, haiwan pun tahu memberi makan kepada anaknya hingga sanggup dirinya berlapar.

Yang membezakan kasih sayang ibu bapa kalangan manusia dengan kasih sayang haiwan, ialah manusia memberi didikan terhadap anak-anaknya.

Jika tugas ibu bapa hanya beri makan minum tetapi tidak beri didikan, maka tiada bezanya kasih sayang manusia dengan kasih sayang haiwan yang tidak berakal.

Didikan manusia bukan sekadar untuk mengenal ibu bapanya, tetapi mengenali Allah SWT sebagai Pencipta serta mengutus para nabi dan rasul untuk mengajar wahyu kepada manusia.

Seterusnya mendididik hingga tahu dosa dan pahala serta meyakini hari akhirat. Agar berusaha sebagaimana yang ditunjuk oleh para rasul, menghindari azab neraka dan berusaha mencapai kebahagiaan syurga.

Kerana jasa ibu bapa itu, maka Islam mewajibkan anak-anak menyayangi dan mendoakan kedua-dua ibu bapa mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan