Ramadan Mubarak untuk orang yang beriman
Ahmad Baei Jaafar
Semua sudah tidak sabar hendak menyambut Ramadan. Orang yang beriman merindui Ramadan kerana di dalam bulan itu banyak ibadah yang disediakan dan pahala dilipat gandakan. Tetapi ada juga yang rindukan Ramadan kerana membayangkan syurga makanan sepanjang bulan. Manakala peniaga makanan pula, merindui Ramadan kerana itulah peluang untuk mereka mendapat meraih kewangan yang banyak.
Walau apapun niat mereka, puasa menjanjikan kebaikan kepada umat Islam. Yang penting waktu niat puasa dan menjalankan ibadah puasa dilakukan dengan penuh ikhlas kerana Allah. Allah akan menilai puasa mereka berdasarkan keikhlasan itu.
Cuma untuk puasa kali ini saya ingin mengajak anda sekelian agar segera membersihkan hati daripada dosa, dosa dengan Allah dan dosa dengan manusia. Bertaubatlah dengan Allah atas dosa yang dilakukan, dan mohon ampunlah dengan manusia atas kesilapan lalu. Semoga dengan ini peluang untuk puasa kita diterima Allah lebih cerah.
Memohon maaf dan memaafkan orang lain sangat penting dalam Islam. Apatah lagi sebelum menjalankan ibadah puasa. Hal ini kerana dalam hadis diceritakan malaikat Jibril berdoa menjelang Ramadan: “Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada); Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami istri; Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. Maka Rasulullah pun mengatakan Aamin sebanyak 3 kali.“
Oleh sebab itu, saya memohon kemaafan kepada semua peminat Fikrah Islamiah dan juga rakan FB jika sepanjang berkomunikasi ini terdapat salah dan silap yang sama ada disedari mahupun tidak. Seterusnya saya doakan kalian beroleh kejayaan memperoleh taqwa.
Selamat menyambut Ramadan, selamat berpuasa, maaf zahir dan batin, kollu ‘amin waantum bikhair.
سلامت مثمبوت رمضان، سلامت برفواس، ماعف ظاهر دان باطن، كل عام وانتم بخير
Tiada ulasan:
Catat Ulasan