Hassan Juara 'Imam Muda 2'
KUALA LUMPUR: Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza (Hassan), 26, dinobatkan sebagai juara program pencarian Imam Muda musim kedua (IM2) selepas mengetepikan Nazrul Izwan Zolkiflee (Nazrul), 26, pada malam kemuncak yang berlangsung di Dewan Muktamar, Pusat Islam Jabatan Agama Islam Wilayah, di sini, Jumaat.
Menurut Mudir (Pengetua) Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz yang mengetuai penjurian dua finalis tersebut, Hassan dipilih sebagai pemenang berdasarkan prestasi yang konsisten dan sahsiah diri yang menyenangkan.
"Sebenarnya markah penilaian antara Hassan dan Nazrul tidak jauh berbeza. Cuma Hassan mempunyai kelebihan lima markah saja.
"Hassan mempunyai kelebihan pada penilaian teori yang konsisten sepanjang 10 minggu ini, selain suara yang lunak dan tidak lekang dengan senyuman," katanya.
Hassan yang terkejut dengan kemenangan itu berasa seperti bermimpi selepas dipilih sebagai juara.
"Saya bersyukur dan seronok. Rasa bagai bermimpi kerana tidak menjangkakan kejayaan ini. Ia adalah satu keajaiban dalam diri saya," katanya.
Kemenangan tersebut melayakkan Hassan membawa pulang hadiah tajaan biasiswa penuh pengajian di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, kereta Proton Exora, pakej haji dan umrah serta wang tunai RM55 ribu.
Dia juga menerima sebuah iPad, telefon bimbit, voucer Perabot Jati bernilai RM15 ribu, komputer riba Macbook, pakej percutian ke Vietnam, kamera digital dan trofi.
Selaku naib juara, Nazrul berkata dia tidak berasa kecewa walaupun tertewas di pentas akhir.
"Saya tidak berasa kecewa kerana tidak menyangka akan mara ke final.
"Lagipun matlamat saya menyertai IM2 bukan untuk mengejar gelaran tetapi untuk berbakti pada masyarakat menerusi ilmu dan pengalaman yang diperolehi di sini," katanya.
Nazrul menerima biasiswa pengajian di universiti yang sama, kereta Proton Persona dan wang tunai sebanyak RM20 ribu.
Pemuda dari Johor ini juga menerima voucer Perabot Jati bernilai RM10 ribu, pakej umrah, komputer riba Macbook, pakej percutian ke Vietnam, kamera digital, telefon bimbit dan trofi.
Sementara itu, lapan lagi peserta yang sudah tersingkir menerima biasiswa pengajian di universiti yang sama, pakej umrah, iPad, pakej percutian, kamera digital, telefon bimbit dan trofi.
Kesemua 10 peserta IM2 turut diberikan sijil pentauliahan dan penghargaan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Persembahan selingan pada malam itu dihiburkan oleh penyanyi Mawi dan pendakwah Akhil Hayy menerusi lagu Hambamu.
Hassan dan Nazrul mara ke pentas akhir selepas mengetepikan lapan peserta iaitu Amar, Ali, Azlan, Fadli, Fatah, Fakhrul, Mujahid dan Najdi sepanjang 10 minggu program berlangsung.
Malam kemuncak IM2 bersiaran secara langsung pada pukul 9 malam di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro HD (saluran 188).
: Hassan Juara 'Imam Muda 2'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan