Naim Qlate
DALAM satu kes konsultasi dua minggu yang lalu, saya bersemuka dengan sepasang suami isteri yang sudah setahun berkahwin tetapi, baru enam bulan tinggal sebumbung. Sebelum itu mereka merupakan pengantin jarak jauh. Sadisnya, sepanjang tempoh enam bulan tinggal bersama, si isteri telah memecahkan tiga buah peti televisyen lantaran, marah dan mengamuk kepada suami.
Apabila ditanya, si isteri mengakui dia mempunyai sikap panas baran dan sikap tersebut diwarisi daripada ayahnya. Malah tiga saudaranya yang lain juga bersikap panas baran dan dia tidak boleh membuang sikap tersebut.
Perlu difahami, panas baran bukan sifat semula jadi malah, bukan juga penyakit keturunan, sebaliknya ia adalah sifat yang dibenarkan wujud dalam diri seseorang. Ini bererti sifat panas baran boleh diatasi dan dibuang terus daripada diri seseorang bergantung kepada kehendak dirinya sendiri.
Rasulullah mencadangkan dua tindakan bagi mengatasi panas baran iaitu dengan cara mengubah posisi atau cara duduk dan berwuduk. Kedua-dua saranan itu terdapat dalam sabda baginda yang bermaksud: "Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring."(hadis riwayat Muslim).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk."(hadis Riwayat Abi Daud).
Mengikut kaedah psikologi, panas baran berpunca daripada kegagalan seseorang individu mengawal emosinya sendiri.
Individu panas baran itu terlalu mudah mengikut emosi marah hingga menjadikan dirinya seorang yang pemarah dan panas baran walau hanya dengan sebab yang remeh.
Lantas, pakar psikologi mencadangkan beberapa kaedah bagi mengatasi sikap panas baran yang ternyata memberikan kesan buruk kepada perhubungan.
1. Jauhkan diri daripada situasi menimbulkan kemarahan
Jika anda tahu pasangan anda mempunyai sikap panas baran, elakkan daripada melakukan perkara yang boleh menimbulkan kemarahannya. Cepat memohon maaf jika tersalah dan akui kesilapan.
Bagi anda yang panas baran, jika bertembung dengan situasi yang boleh menimbulkan baran anda, segera jauhkan diri anda daripada keadaan tersebut dan carilah masa yang sesuai untuk bertenang.
2. Mendiamkan diri ketika marah
Panas baran bermula dengan tindakan demi tindakan. Cara terbaik untuk mengurangkan sikap panas baran anda adalah dengan mendiamkan diri tanpa mengambil apa-apa tindakan. Apabila anda berjaya menghayati sikap berdiam diri ketika marah, secara tidak langsung anda berusaha menghilangkan sikap panas baran anda sedikit demi sedikit.
3. Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat.
Jika sebelum ini anda terbiasa memekik atau bertindak garang ketika marah, usahakan untuk meluahkan rasa marah anda secara positif dan terhormat agar anda lebih dihormati.
Perlahankan suara, bercakap menggunakan perkataan yang tidak menyakitkan orang lain dan elakkan daripada bertindak secara fizikal.
4. Luah pada masa dan tempat sesuai
Emosi marah yang tidak terkawal juga berpunca daripada perasaan yang dipendam. Ledakannya ibarat gunung berapi pendam yang mungkin meletus bila-bila masa tanpa amaran.
Lantas, sentiasa luahkan emosi malah apa jua masalah yang anda alami bertepatan pada masa dan tempatnya. Tindakan ini akan dapat mengurangkan tekanan anda seterusnya mengurangkan sikap panas baran anda.
5. Bawa bertenang
Anda perlu sentiasa belajar mengawal diri dengan bertenang dalam menghadapi apa juga keadaan dan situasi yang menggugat kesabaran anda. Praktikkan untuk menarik nafas dalam-dalam dan lepaskan.
Jika anda Muslim, beristighfarlah kerana dengan beristighfar anda akan tahu anda adalah hamba-Nya dan jika Allah mampu mengampunkan hamba-Nya, kenapa tidak anda? Memaafkan orang lain dapat mengelakkan panas baran.
6. Senyum
Nampak macam satu perkara mudah tetapi percayalah, senyuman mampu meredakan tekanan. Praktikkan untuk sentiasa melakarkan senyuman tanpa mengira masa dan keadaan.
Senyuman yang sentiasa terukir di bibir menjadi satu penawar kepada kemarahan dan sikap panas baran anda.
Untuk Muslim, saya menyarankan anda untuk sentiasa mengamalkan zikir-zikir bagi mengingati Allah. Ucapkanlah zikir Sayidatina Fatimah iaitu "Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah wallahu akbar." Sentiasa lafazkan zikir ini, insya-Allah akan dapat membantu meringankan tekanan hidup anda sekali gus mengelakkan sikap panas baran anda berleluasa.
Ingatlah! Tiada satu faedah pun daripada sikap panas baran. Yang ada hanyalah keburukan yang memusnahkan perkahwinan, persahabatan, kerjaya dan kesihatan anda.
Ingatlah! Segala cadangan disebutkan tadi tidak akan berhasil jika anda tidak melakukan satu perkara paling penting iaitu berubah!
Hanya jika anda mahukan perubahan, barulah perubahan tersebut akan berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan